1. 🥗 Tidak semesti semua jenis makanan yang disebutkan di dalam al-Quran atau hadis boleh terus ditempel dengan lebelan “makanan sunnah” selagi tidak disebutkan menerusi nas tentang kelebihan yang khusus atau disuruh untuk memakannya.

2. 🥗 Tidak dinafikan khasiat saintifik yang terkandung pada makanan yang disebutkan di dalam al-Quran atau hadis, namun ia tidak boleh menjadi dalil ‘kesunnahan’ makanan tersebut, kerana makanan lain yang tidak disebutkan di dalam al-Quran atau hadis juga mengandungi pelbagai khasiat yang lain atau yang seumpama.

Misalnya sayur Brokoli yang kaya dengan pelbagai khasiat sekalipun ia bukan apa yang dimakan oleh Rasulullah SAW, namun ia menepati kriteria pemakanan sunnah yang menggalakkan pemakanan yang sihat.

3. 🥗 Kebanyakan makanan yang dimakan atau disukai oleh Rasulullah SAW termasuk dalam kategori perbuatan Jibilliyyah, iaitu kecenderungan semula jadi yang subjektif sebagai manusia, seperti baginda menyukai bahagian tertentu dari kambing atau lauk tertentu atau rasa tertentu mengikut zaman dan persekitaran baginda. Ia tidak termasuk dalam kategori sunnah yang dituntut kerana baginda tidak pernah menggalakkan orang lain untuk menuruti citarasa baginda.

Kesukaan baginda terhadap makanan yang manis dan sejuk umpamanya tidak bererti makan aiskrim atau minum Milo ais itu sunnah.

4. 🥗 Sebahagian makanan yang disebutkan di dalam hadis telah dipetik luar dari konteksnya, seperti cuka yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik lauk.

Hadis ini diungkapkan oleh baginda untuk menenangkan tuan rumah yang tidak memiliki sebarang lauk untuk dihidangkan ketika itu kecuali cuka, iaitu bahan murah yang jarang digunakan sebagai lauk. Baginda meminta lauk untuk dimakan, namun tiada sebarang lauk mampu dihidangkan kecuali ada sedikit cuka. Lalu baginda meminta untuk dibawakan cuka tersebut dan menyebut hadis ini. Justeru al-Bayhaqi menamakan bab hadis ini sebagai bab tidak meremehkan hidangan.

5. 🥗 Ramai peniaga hari ini terlalu ghairah untuk ‘mensunnahkan’ produk mereka dengan hanya mengekstrak sebahagian pati dari makanan yang dianggap sebagai sunnah itu, sedangkan kesan atau khasiatnya tidak lagi sama seperti bahan makanan yang asal.

Kesunnahan makanan perlu dilihat dari kaca mata yang lebih luas.

6. 🥗 Apa yang lebih utama dalam konsep pemakanan sunnah ialah mensunnahkan pemakanan kita mengikut syariat, seperti: Tidak membazir, gaya pemakanan sihat, tidak berlebihan kadarnya, meraikan adab ketika makan atau ketika bersama makanan dan lain-lain.

**Sebahagian dari kandungan pembentangan Dr. Kamilin Jamilin tentang “Makanan Sunnah: Antara Syariat dan Adat” yang berlangsung di KUIPs.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...