Vaksin Punca Autism?

Oleh: Nurul Fadhilah Salleh

Andrew Wakefield dan rakan-rakan dalam kajian mereka pada tahun 1998 yang melibatkan 13 kanak-kanak telah mengaitkan vaksin MMR sebagai punca autism. Dalam kajian tersebut, mereka berteori bahawa vaksin MMR telah menyebabkan inflamasi pada bahagian usus kanak-kanak, menyebabkan sejenis ‘protein misteri’ merentas keluar dari usus, mengganggu perkembangan otak kanak-kanak dan seterusnya menyebabkan autism.

Namun sehingga kini, tiada siapa pun, termasuk Wakefield sendiri yang dapat membuktikan apakah ‘protein misteri’ tersebut.

Kajian Wakefield tersebut telah menyebabkan banyak kajian dilakukan (dan tenaga dibazirkan) untuk mengkaji kesahihan teori beliau. Kebanyakan kajian tersebut bersandarkan kepada hipotesis bahawa ‘sekiranya benar vaksin MMR menyebabkan autism, pasti kadar autism akan meningkat dengan kadar pengambilan vaksin’. Namun, kebanyakan kajian tidak dapat membuktikan kesahihan teori Wakefield. Antaranya :

1) Kajian kohort terhadap data 537,303 kanak-kanak yang dilahirkan dari 1991 sehingga 1998 di Denmark gagal membuktikan kesahihan teori Wakefield (sumber : https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/12421889/)

2) Denmark sekali lagi melakukan kajian yang serupa terhadap 657,461 kanak-kanak yang dilahirkan dari 1999 sehingga 2010 turut gagal membuktikan kesahihan teori Wakefield. (sumber : https://www.acpjournals.org/doi/10.7326/M18-2101)

3) Sebuah case-control study yang dijalankan di Jepun juga tidak menemui hubungkait vaksin umum (bukan MMR sahaja) dengan autism (sumber : https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22521285/)

4) Di Kanada pula, kajian kohort terhadap 27,749 kanak-kanak yang dilahirkan dari 1987 sehingga 1998 juga gagal membuktikan teori Wakefield. Dan apa yang menarik tentang kajian ini adalah pengkaji mendapati bahawa kadar autism meningkat dalam kelompok kanak-kanak yang dilahirkan selepas 1996, tahun di mana Kanada tidak lagi menggunakan vaksin yang mengandungi thimerosal (bahan pengawet yang dianggap punca sebenar autism). Kajian ini juga mendapati bahawa kadar autism juga meningkat sekalipun kadar pengambilan vaksin MMR menurun dari 96.1% (dalam kelompok kelahiran 1988-1989) kepada 92.4% (dalam kelompok kelahiran 1996-1998). Kajian ini menyimpulkan bahawa kadar peningkatan autism itu bukanlah disebabkan pengambilan vaksin, tetapi disebabkan tahap kesedaran ibu bapa terhadap autism yang semakin meningkat dan juga kaedah diagnostik yang semakin bagus, maka masalah autism dalam kanak-kanak dapat dikenalpasti dengan lebih baik. (sumber : https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/16818529/)

5) Dan yang terbaru, WebMD, dalam artikel yang bertajuk ‘Autism Largely Caused by Genetics, Not Environment’, melaporkan bahawa dapatan sebuah kajian kohort yang dijalankan ke atas kira-kira 2 juta sampel di 5 buah negara (Denmark, Finland, Sweden, Israel dan Australia) yang diterbitkan dalam bulan Julai 2019 mendapati bahawa autism adalah sejenis diagnosis yang mana kebolehan untuk mewarisinya (heritability) adalah tinggi, iaitu sebanyak 80%. Ini bermakna faktor persekitaran (termasuklah vaksin) bukan faktor terbesar bagi masalah autism. Kajian penuh tersebut boleh dicapai disini 👇🏼

https://jamanetwork.com/journals/jamapsychiatry/article-abstract/2737582

Sebelum ini, pernah saya berhujah dengan golongan antivaksin dan bila saya menerangkan bahawa autism adalah sejenis masalah genetik, ibu antivaksin tersebut berkata pada saya ‘sampai hati kata autism ni genetik, sedangkan kami bukanlah autistik’.

Tuan puan, kesedaran terhadap autism masih baru di Malaysia. Saya rasa dalam 15-20 tahun kebelakangan baru istilah ni wujud di Malaysia, dan 3 tahun kebelakangan ni pula baru menyeluruh dalam segenap inci masyarakat, dengan bermacam platform media digunakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Saya berikan contoh situasi, bagi mereka yang dilahirkan sebelum tahun 1990 dan memiliki simptom mild autism, masalah mereka tidak dapat didiagnos kerana kurangnya fasiliti psikiatri untuk kanak-kanak di Malaysia pada zaman tu. Kebetulan pula simptom tersebut berkurang apabila mereka menginjak usia dan mereka dapat berfungsi sebagai ahli masyarakat yang normal; bekerja, berkahwin, memiliki anak dan sebagainya.

Tetapi dengan fasiliti kesihatan psikiatri yang lebih baik pada zaman sekarang, apabila anak mereka didiagnos dengan autism, mereka memilih untuk menjadi denial sedangkan mereka tidak tahu apakah masalah yang dihadapi ibu bapa mereka dalam membesarkan mereka. Maka adilkah untuk mereka mengatakan mereka bukan pembawa autism sedangkan mereka tidak penah dibawa berjumpa pakar psikiatri untuk penilaian sewaktu mereka kecil? Fikirlah.

Dan akhir sekali, saya ingin mengajak ibu bapa yang terjebak ke kancah antivaksin kerana termakan dakyah ‘vaksin punca autism’ yang dibawa oleh pemfitnah, untuk membaca pengakuan seorang ibu dalam post saya yang terdahulu dalam gambar di bawah.

Ibu ini termakan dakyah mereka, tetapi anaknya tetap didiagnos dengan autism. Si ibu tersedar dari kesilapan, dan cepat-cepat memperbetul kesilapan beliau. Kini anaknya sudah mendapat vaksin penuh, malah keadaan anaknya bertambah baik. Saya hormat dengan kejujuran si ibu yang menyesal dengan tanggapan salahnya sebelum ini, berani untuk bersuara dan berkongsi kisah dengan kita untuk memperbetulsalah faham masyarakat.

Yang masih pilih untuk setia dengan golongan pemfitnah ilmu, silakan 🥰

Komen disiarkan dengan keizinan si ibu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleCara Mudah Simpan Earphone
Next articleAdakah Doktor Tidak Didakwa?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com