Agak lama saya gantung artikel ini untuk publish. Hari ni baru siap untuk tatapan setelah banyak betulkan tatabahasa dan susun ayat agar tidak mengelirukan mana-mana pihak.

.

Isu batal puasa ujian swab #Covid19.

.

Adakah Swab Kerongkong pesakit yang disyaki (PUI) dan pesakit positif COVID-19 batal atau tidak puasa? Persoalan ini berlegar dikalangan doktor sebelum puasa. Semuanya mengharapkan ianya tidak membatalkan puasa. Saya pernah menulis isu ini sebelum Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang 20 April 2020 lepas.

.

Majlis fatwa kebangsaan memutuskan tidak batal puasa.

Majlis fatwa negeri Kedah juga memutuskan tidak batal puasa.

Majlis fatwa negeri Perlis juga memutuskan tidak batal puasa.

Majlis fatwa Sarawak juga kata tak batal.

Kenyataan dari Mufti Kelantan juga kata tak batal. Sudah banyak yang meyakinkan kita bahawa buat ujian COVID-19 melalui jolok hidung dan mulut itu tidak batal.

.

Saya baca, sudah terdapat penerangan yang jelas diberikan oleh fatwa-fatwa berkenaan. Ianya disertakan beberapa sandaran serta dalil dari kitab-kitab dan pandangan ulama secara teliti.

.

Keputusan dari majlis fatwa berkenaan itu berdasarkan dalil dari beberapa qiyas dari kitab-kitab muktabar. Bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan pun mengambil pandangan dari mazhab Syafie yang memasukkan sesuatu ke rongga itu masih tidak melepasi rongga (jurf) batiniah.

.

Hujung kapas swab ujian Kerongkong bagi pengesahan COVID-19 tidak melepasi makhraj huruf “ha”, maka puasa tidak batal. Ianya selari dengan beberapa pandangan dari 3 mazhab lain.

.

Isu memasukkan sesuatu dalam rongga ini terdapat banyak kekhilafan antara ulama. Ada sebahagian dari ulama yang membatalkan perbuatan itu, manakala terdapat juga yang berpandangan sebaliknya. Inilah adalah perbincangan khilaf panjang dikalangan ulama 4 mazhab yang muktabar. Semuanya merujuk kepada dalil dan dipadukan dengan keperluan sains perbuatan pada masa kini. Sehinggakan terdapat pandangan dari fatwa luar negara (rujuk: Persidangan IOMS ke-10 pada 1997 di Morocco bertajuk: “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Problems), prosedur endoskopi atau seumpamanya pun tidak membatalkan ibadah wajib berpuasa.

.

Namun terdapat juga dikalangan para alim ulama yang masih menetapkan buat diri (secara peribadi) mereka bahawa ujian swab Kerongkong COVID-19 itu membatalkan puasa. Saya lihat ulasan mereka lebih kepada pandangan peribadi, bukannya secara rasmi mahupun khulasah (ulasan) secara jamai (keputusan konsensus ramai). Kita yang berada di bidang kesihatan ini, tidak mahu berbahas panjang. Sementelah fatwa yang sudah jelas diberikan, kita gunakan fatwa itu tanpa pertikai.

.

Isu ujian Swab Kerongkong ini harus diselesaikan secara harmoni supaya petugas yang berada di barisan hadapan dapat meneruskan kerja dengan aman. Tidak perlu berbalah dengan pesakit yang agak keliru dengan beberapa pandangan yang mengatakan batal puasa.

.

Apa yang pasti, menjalankan ujian swab kerongkong itu adalah wajib. Ertinya kami wajib mengambilnya demi kepentingan pesakit dan juga masyarakat. Tugas menjaga dan merawat penyakit adalah kerja hakiki kami yang tidak boleh dibuat secara sambil lewa.

.

Namun kita tidak memaksa mereka. Jika pesakit mengambil keputusan mengatakan batal, maka batalkan puasa mereka demi kepentingan kesihatan dia juga. Lepas Ramadan nanti ganti balik hari-hari yang dibatalkan itu. Andainya pesakit mengambil pandangan tidak batal, maka teruskan berpuasa. Sesungguhnya beliau telah bersandar kepada dalil yang juga kukuh dari sudut syarak. Tidak perlu berhabis masa kita menerangkan lanjut hingga habis berjam-jam menghuraikan sumber hukum.

.

Sekian

.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

12 Mei 2020

Tengkawang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleCOVID-19 adalah senjata Biologi?
Next articleTatacara Mendaftar dan Verify Nama Doktor dalam Sistem MERITS
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com