Vaksin bukan segala-galanya. Tetapi semua orang mengharapkan vaksin terutamanya vaksin COVID-19 itu berjaya dicipta dalam tempoh terdekat. Mungkin anda pelik, mengapa tulisan saya sebegini pada kali ini. Seolah-olah saya tidak begitu mengharapkan sangat kewujudan vaksin dalam suasana pandemik COVID-19 masa ini.

.

Di sinilah perlunya kefahaman yang mantap bagi kita, bahawa vaksin itu salah satu bentuk ikhtiar. Jika ianya berkesan, berkualiti dan selamat digunakan, baharulah kita boleh mencanangkan kepada masyarakat umum untuk mengambilnya. Jika sekiranya ianya baharu diperingkat fasa pra klinikal atau ujian makmal atau fasa pertama yang hanya diuji atas sebahagian kecil manusia, tidak perlulah dibanggakan lagi. Malah tidak perlulah dicanangkan serata dunia bahawa kita sudah berjaya dan berbangga kita sudah menemui kaedah untuk mencegah COVID-19. Saya risau jika ianya adalah satu harapan palsu yang akhirnya kita tak boleh keluar dari kemelut wabak yang semakin mengganas di atas muka bumi.

.

Apa pun yang terbaik buat kita adalah berdoa agar vaksin COVID-19 itu berjaya dibina dan dikeluarkan untuk masyarakat dalam tempoh yang terdekat. Dalam erti kata lain, vaksin yang akan dipasarkan nanti sudah tentu wajib menepati ciri-ciri ianya berkesan untuk mencegah COVID-19, selamat digunakan, (di mana) kesan sampingan yang serius adalah boleh dihazafkan dan sudah tentu kaedah pembuatannya dikawal oleh piawaian berkualiti.

.

Sehingga kini tercatat lebih dari 82 penyelidik atau organisasi seluruh dunia sedang berusaha membangunkan vaksin COVID-19. Peringkat keberjayaannya masih terlalu awal. Pada awal April lalu Amerika Syarikat mengumumkan terdapat sebuah organisasi pengkaji telah berjaya menguji vaksin ke atas manusia yang dibina oleh mereka. Tetapi malangnya, ia tidak dibuat mengikut kaedah ketat seperti selalunya diwajibkan atas setiap organisasi penyelidik. Mereka masih belum pun melepasi kajian pra klinikal samada ke atas cakera piring pateri atau haiwan. Tetapi terus membuat dakwaan ujikaji ke atas segelintir kecil manusia (fasa 1).

.

Mungkin terlalu ghairah untuk mendapatkan perhatian dunia bahawa merekalah juara. Namun seperti yang saya sebut peringkat awal tadi, perjalanan membina sesuatu ubat atau vaksin mesti melalui kaedahnya yang termaktub dalam disiplin kajian. Bahkan perjalanan untuk membangunkan sebotol vaksin yang berjaya itu paling kurang mengambil masa 18 bulan atau lebih lagi. Contohnya vaksin BCG, mula ditemui dan dicipta pada tahun 1920, tetapi secara umum ianya digunakan untuk khalayak ramai adalah tahun 1927 di negara barat. Negara kita sendiri memulakan pemberian vaksin BCG pada tahun 1961.

.

Adakah vaksin COVID-19 akan berjaya dalam tempoh terdekat atau kajian mengenai akan terhenti? Atau akan mengambil masa berpuluh tahun sebelum ianya selamat digunakan seperti vaksin-vaksin lain yang sudah terdapat dipasaran pada masa ini?

.

June Almeida, seorang pakar virologi terkenal di Eropah menemui virus Corona pada tahun 1964. Penemuan beliau itu telah membuka mata kepada dunia barat bahawa wujudnya satu virus yang berlainan dari virus Influenza yang sebelum daripada ini menjadi punca utama wabak seluruh dunia. Para saintis dan pakar perubatan mempunyai cabaran yang besar bagi mencari formula baru bagaimana berlawan dengan makhluk yang tidak nampak dari mata kasar. Kajian-kajian ke arah pembinaan vaksin bagi berlawan dengan virus Corona itu sudah pun banyak dilakukan, tetapi kebanyakannya menemui jalan buntu.

.

Kita pun semua ambil tahu bahawa kisah keluarga virus Corona ini telah pun menyerang dunia sejak tahun 1960 lagi. Nama wabak yang besar adalah Common Flu, SARS, MERS-Cov. Sehingga kini tiada lagi kejayaan yang boleh dibanggakan berkaitan dengan pembuatan vaksin atau seumpamanya yang boleh mencegah keluarga virus Coronaviridae ini terus menjalar memusnahkan manusia.

.

Para pengkaji atau syarikat-syarikat ubat sedang berlumba membuat vaksin bagi mencegah virus Corona itu. Wabak SARS yang melanda dunia tahun 2002-2003 telah menjangkiti hampir 80,000 manusia dan menyebabkan kematian lebih 2000 orang, tetapi sehingga kini vaksin untuk SARS masih belum berjaya dipasarkan. Kajian itu terhenti sebab SARS hanya melanda secara hirisan lintang tahun yang spesifik, bukannya sepanjang zaman. Begitu juga dengan pengkajian dan pembinaan vaksin MERS-COV, ianya tidak berbaloi diteruskan kerana sudah tidak menjadi keperluan mendesak. Wabak MERS-COV hanya berlaku tahun 2012-2013 sahaja. Persoalannya, adakah vaksin COVID-19 mempunyai nasib yang sama?

.

Kita tunggu dan lihat. Tetapi tetap dalam benak kita menggunung harapan agar vaksin COVID-19 itu berjaya dan menjadi solusi yang ampuh bagi membebaskan diri kita semua dari penularan yang digeruni ini. Buat masa ini, kita jangan lupa, ‘vaksin’ yang terbaik adalah PKP, penjarakan sosial, jaga kebersihan tangan dan berubah kepada budaya baru (new norm) dalam masyarakat.

.

Dr Suhazeli Abdullah

28.4.2020

Tengkawang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...