Produk Lulus KKM Tapi Doktor Marah! Kenapa?
.
Produk yang dikategorikan sebagai lulus KKM perlu melepasi syarat-syarat yang ditentukan oleh KKM itu sendiri. Tidak boleh memandai mendakwa bagai bahawa produk mereka telah mendapat persetujuan KKM bagi merawat penyakit.
1. Setiap ubat tradisional yang berdaftar dengan KKM cuba diberikan jaminan berkualiti dan selamat mengikut profile pengeluar produk yang telah dikemukakan.
2. Tiada manfaat perubatan dan kesihatan secara khusus kecuali ianya bersifat umum.
3. Jika ubat tradisional mendakwa berkesan dalam merawat penyakit, maka pihak pengeluar wajib dan bertanggungjawab memberikan laporan kajian saintifik dan klinikal.
4. Sekiranya pihak berkuasa ubat menerima laporan itu sebagai menepati prosedur yang sepatutnya maka Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA – agensi bawah KKM) benarkan mereka menulis indikasi untuk ubat/produk tersebut dan mungkin ia tidak berada bawah tradisional tetapi berada bawah ubat terkawal utk tujuan rawatan berindikasi.
.
Kebanyakan kes, permohonan sudah cantik dah. KKM pun sudah beri notifikasi kelulusan untuk dipasarkan. Masalah mula timbul apabila terdapat tuntutan melampau sama ada pengeluar / stokis / penjual produk. Keadaan ini bermaksud, setelah berdaftar sahaja, pengeluar/pengedar tidak boleh buat sesuka hati nak membuat tuntutan selain apa yang diistiharkan semasa pendaftaran dengan NPRA.
.
Isu kedua, semua produk berdaftar perlu mendapatkan kelulusan lembaga Iklan ubat KKM untuk setiap bentuk promosi yang dikeluarkan termasuklah poster, pemphlet, video, audio, billboard, poster di media sosial & sebagainya. Jika tiada kelulusan dari LIU, bermakna mereka membuat satu kesalahan. Maka ia menjurus kepada dilabel sebagai produk sampah.
.
Menjadi tanggungjawab pengeluar produk untuk berusaha dapatkan kelulusan iklan ini. Jadi cuba lihat diri sendiri dahulu, betulkah kesemua kriteria dan syarat telah dipenuhi atau tindakan sepatutnya diperolehi sebelum promosi besar-besaran dibuat.
.
Doktor tidak marah kepada semua produk kesihatan / tradisional. Jika mereka ikut garis panduan yang ditetapkan, mereka boleh mempromosi dan menjual sepertimana termaktub dalam dokumen yang dihantar kepada NPRA. Cuba mereka tunjuk bukti dokumen itu. Biar masyarakat sendiri lihat apakah tuntutan dakwaan yang NPRA benarkan dan luluskan. Selalunya yang dibenarkan akan ada pada label produk sama ada pada kotak atau botol atau bungkusan produk.
.
Persoalannya sekarang, doktor selalu menegur produk berkenaan kerana pada label cuma beritahu digunakan secara tradisional untuk kesihatan umum, tetapi pada media sosial atau pada iklan cakap macam-macam. Buat tuntutan boleh merawat itu dan ini, boleh sembuhkan penyakit kronik, boleh rawat kencing manislah, rawat Buah pinggang lah. Jadi jangan marahlah kalau netizen label ianya produk sampah!!!
.
Jika benar NPRA luluskan sebagai produk tradisional dengan tuntutan seperti dapat merawat DM atau merawat buah pinggang atau apa-apa penyakit, sila tunjuk dokumen tersebut. Kemudian dapatkan kelulusan lembaga Iklan ubat KKM untuk setiap bentuk bahan promosi. Jika tak dapat ikut sepertimana yang dikehendaki oleh NPRA dan LIU, jangan ugut untuk saman doktor yang bongkarkan kepalsuan itu. Para doktor nasihat dan beritahu masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan produk yang mendatangkan mudarat.
.
Doktor sudah melihat sendiri banyak kesan mudarat yang ditimpa pesakit akibat mengambil produk. Lihat graf statistik kejadian kesan sampingan produk tradisional dalam negara, amat menakutkan [lihat gambar]. Sejak 2003, kejadian meningkat secara mendadak.
.
Oleh itu jangan segan bertanyalah doktor dahulu sebelum makan apa-apa produk. Sekian
.
Suhazeli Abdullah
23.1.2020
Kuantan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...