DOKTOR TERNGANGA BILA MINYAK ZAITUN GANTI RAWATAN SAKIT JANTUNG

.

“Encik wajib beli produk ni. Ada pelanggan saya beli sebotol dua minggu lepas.” Sambil menghulurkan sebotol minyak zaitun kepada saya. Itulah Sapaan awal seorang jurujual di sebuah pekan sempadan Malaysia.

.

“Patutnya beliau diberi temujanji pakar untuk buka (bedah) saluran jantung minggu lepas. Tetapi setelah amal minum minyak zaitun ni, jumpa doktor pakar semula Hospital XXX, semua terkejut sebab sudah tiada saluran jantung tersumbat! Pembedahan dibatalkan.” Ujarnya lagi untuk menguatkan hujah bahawa minyak zaitun itu mempunyai kuasa ajaib.

.

“Aaaa.” Melopong saya terkejut dengan pendedahan menakjubkan itu. Bisik hati saya, boleh tutup kedai doktor bedah jantung kalau benar dakwaan dia. Atau boleh lah saya tukar profession, dari jadi doktor pakar perubatan keluarga kepada menjadi jurujual minyak zaitun penyembuh sakit jantung ini.

.

Adakah benar dakwaan sedemikian? Sukar saya sahihkan kerana ianya berbentuk testimoni. Jika saya ingin ambil ianya sebagai sampel kes kajian pun amat sukar. Saya cuma hadir bercuti di satu pekan yang agak jauh dari tempat saya berkhidmat. Jika orang kampung saya yang terlibat sebagai sampel kes itu, sudah pasti saya ambil nombor telefon dan dijadikan kes kajian. Memang menakjubkan promosi yang dibuat oleh jurujual. Seminggu sahaja minum minyak zaitun terus sakit saluran jantung tersumbat hilang. Sedangkan doktor pakar berpuluh tahun belajar hingga mahir lakukan pembedahan pun tidak punyai kuasa ajaib sebegitu.

.

Adakah kami para doktor, tidak menerima testimoni? atau secara tepatnya tidak menerima ubatan alami yang katanya menakjubkan itu? Doktor tidak menolak keajaiban jika ianya benar berlaku. Tetapi doktor juga tidak akan menerima keajaiban menyembuhkan sesuatu penyakit itu atas asbab akibat yang pincang dari sudut ketentuan hukum akal (sunnatullah). Kecualilah sesuatu itu berlaku atas kerana mukjizat, keramat, irhasy (kemuliaan pada seseorang yang Allah berikan) atau seumpamanya. Namun jika ingin diambil pukul rata dalam kaedah berubat dengan percaya terus kepada testimoni dari individu yang menjual produk, maka doktor perlu berpegang kepada prinsip yang kukuh.

.

Jika dakwaan sesuatu bahan itu mampu merawat penyakit, maka bawalah bukti yang lebih sahih. Berapa ramai yang sudah sembuh? Bagaimana kaedah kajian yang dijalankan sehingga diputuskan bahan tersebut boleh merawat penyakit? Sudah berapa lapuran berwasit telah pun dikeluarkan?Adakah pihak berwajib telah meluluskan penggunaannya untuk merawat? Atau hanya sekadar untuk kegunaan kesihatan secara am sahaja? Serta banyak lagi persoalan yang perlu dikemukakan sebab memeriksa dan merawat pesakit oleh doktor tidak boleh bergantung kepada buah mulut testimoni seorang dua. Doktor pun perlu kemahiran khas untuk memberi diagnosa seterusnya mengemukakan pilihan rawatan, bukannya ambil kaedah di tepi-tepi kaki lima pasar hujung minggu.

.

Inilah kita namakan perkembangan akal fikiran yang Allah anugerahkan kepada manusia supaya berfikir. Surah pertama kenabian Muhammad SAW pun menyeru kepada kita membaca. Membaca dengan nama Allah yang menjadikan kita. Ilmu sekelumit yang Allah izinkan untuk diamalkan oleh para doktor itu juga adalah anugerah dari Allah.

.

Sekali lintas bacaan di atas, menampakkan seolah-olah doktor perubatan tidak percaya kepada kuasa Allah yang boleh menyembuhkan segala jenis penyakit. Bahkan minyak zaitun itu adalah pemakanan sunnah yang telah disebut mempunyai banyak khasiat.

.

Betul ke?

.

Dunia penyakit tidak berdiri atas kehendak sendiri. Pasti ada sebab akibat yang menjadikan seseorang itu sakit. Malah melalui kudrat yang Allah swt berikan kepada doktor juga salah satu asbab untuk mengubati penyakit seseorang. Itulah namanya ikhtiar penyembuhan kepada penyakit yang Allah swt berikan kepada segolongan manusia yang berfikir.

.

Sesuatu penyakit tidak sembuh kecuali ikhtiar dan doa. Ikhtiar itu pula wujud sesuai dengan hukum akal yang digali oleh seseorang ahli dalam bidang berkenaan. Jika berlaku sesuatu kesembuhan diluar dari norma akal, bermakna ianya mungkin mukjizat, karomah, irhasy atau keistimewaan khusus kepada segelintir manusia yang terpilih. Tidak semua orang memilikinya. Orang awam juga tiada keajaiban itu.

.

Marilah kita kembali kepada perubatan Islam itu sendiri yang berkembang atas muka bumi ini. Pelopor dan para sarjana Islam amat menjunjung ilmu akal (sunnatullah) yang disertai dengan bukti kajian. Bukannya kaedah perubatan itu diambil semberono dan mendakwa itu dan ini bagi mengubati penyakit.

.

Boleh kita kaji bahawa seberapa ramai ilmuwan Islam seperti Ibnu Al Nafis, Al Khawarizmi, Zakaria Al Razi dan banyak lagi, mereka menyatakan dalam karya dan amalan perubatan mereka berdasarkan kajian empirikal. Ianya sesuai pada zaman tersebut. Inilah perkembangan ilmu yang patut diterap dalam masyarakat. Bukannya menerima segala bentuk bahan yang kononnya didakwa sunnah, tetapi difahami secara literal. Tanpa meneliti dan menelusuri perkembangan zaman.

.

Nasihat saya kepada semua masyarakat awam, janagan mudah terpedaya dengan testimoni walau disalut dengan perubatan palsu atau agama sekalipun. Sebab ianya sudah lari dari displin ilmu asbab akibat yang Allah minta setiap manusia menggunakan akal fikiran.

.

Firman Allah SWT:

“Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil pelajaran.”

Maksud Al Quran. Ar Ra’d: 19

.

“Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.”

Maksud Al Quran. Az Zumar: 21

.

Merujuk balik kepada isu minyak zaitun tadi, sebagai pengamal perubatan, saya terus mencari dan membuat bacaan jurnal, jika benar wujud di tempat lain seluruh dunia peristiwa yang sama. Mungkin sudah ada doktor lain yang telah menemuinya dan menulis dalam dapatan mereka.

.

Berikut adalah dapatan carian saya. Dapatan ini mungkin tidak menyeluruh, tetapi inilah yang terbaik saya temui.

.

1. Minyak Zaitun Dara / Virgin Olive Oil (VOO) didapati membantu mengurangkan kes sakit jantung bagi individu yang belum kena sakit jantung lagi [1]. Ianya satu pemakanan yang baik tetapi ia bukannya ubat untuk merawat penyakit. Pendek kata ia berguna untuk pencegahan sakit jantung. Ianya bukan ubat rawatan jantung tersumbat atau seumpamanya.

2. Memang terdapat khasiatnya secara am, tetapi bukan spesifik. Khasiat am ini bukan terdapat dalam minyak zaitun sahaja, malah banyak lagi sumber lain yang boleh diambil. Justeru terlalu amat silap jika doktor perubatan sendiri yang mengesyorkan kepada pasakit mengambil minyak zaitun untuk merawat sakit jantung tersumbat dan meninggalkan rawatan utama yang sedia ada di hospital.

3. Minyak Zaitun Dara ini masih tidak dibuktikan untuk mengubati pesakit yang sudah diserang sakit jantung [2]. Konklusi dari kajian itu menyeru kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan.

.

Semoga perkongsian kali ini membuka mata kepada semua pihak supaya tidak menggunakan status masyarakat mereka dalam menipu demi meraih sedikit keuntungan dunia.

.

Sekian, terima kasih

Suhazeli Abdullah

fb.com/suhazeli.abdullah

11.12.2019

Tengkawang

.

Pautan

[1] Olive Oil Prevention of Heart Disease. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5691704/

[2] Stent vs Medical Therapy. Havard University. https://www.health.harvard.edu/heart-health/medication-vs-stents-for-heart-disease-treatment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...