Tiup Air dalam Bejana

Terdapat dalam beberapa kitab ulama yang membincangkan mengenai hukum meniup air dalam bekas yang panas. Pelbagai huraian telah dibuat oleh mereka. Ada diantaranya menyatakan haram, ada juga yang makruh dan mengharuskan perbuatan itu. Cantik sungguh perbahasan mereka demi menjaga teguran Rasulullah SAW mengenai isu tersebut.

Antaranya terdapat hadith bahawa Rasulullah SAW melarang daripada bernafas dalam bekas minuman. Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah RA:

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا أَتَى الخَلاَءَ فَلاَ يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ

Maksudnya: Apabila kalian minum, janganlah bernafas di dalam gelas, dan ketika buang hajat, janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan.

Sahih Bukhari (153)

Diriwayatkan juga bahawa:

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas.

Musnad Ahmad (1907) dan Tirmizi (1888)

Saya meneliti ulasan akhir yang telah dibuat oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, menyatakan: setelah meneliti pentafsiran dan penerangan para ulama, kami berpandangan bahawa hukum asal menghembus atau bernafas di dalam bekas makanan dan minuman adalah harus [1]. Hal ini kerana larangan yang disebut dalam hadith diikat dengan sebab-sebab tertentu, iaitu:

1. dibimbangi air liur dan bau nafas mengubah dan mengotori makanan / minuman

2. jika berkongsi bekas, ia boleh menimbulkan rasa tidak senang orang yang berkongsi bekas dengannya

3. Menampakkan sikap tidak sabar dan gelojoh dengan meniup makanan atau minuman panas supaya sejuk.

Cuma timbul satu sebaran maya yang mengaitkan meniup air panas dalam bejana boleh memberi kesan kepada jantung. Lantas dikaitkan dengan tindakbalas kimia yang berlaku apabila tiupan kita yang mengandungi karbon dioksida akan menghasilkan asam karbonat (Carbonic Acid).

Setelah pencarian saya mengenai isu ini, sehingga kini tiada lagi penemuan dalam kajian sains bahawa kaitan antara Carbonic Acid (CA) dengan sakit jantung atau mana-mana penyakit [2]. Sebatian CA ini memang wujud dan hanya berlaku dalam jumlah yang kecil dan terjadi sekelip mata sahaja. Kemudian sebatian ini akan larut dalam air kepada bentuk lain. Dengan kata lain, terlalu amat sukar CA akan memasuki badan manusia dan memberikan mudarat yang besar kepada tubuh badan kita.

Dengan tidak menafikan bahawa sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW itu mempunyai hikmahnya tersendiri, perbuatan sedemikian dari sudut adat pun tidak elok. Walaupun penemuan sains secara tuntas belum dibuktikan buat masa ini, tetapi ittiba’lah dengan sunnah, pasti ada kelebihannya tertentu.

Sains adalah ilmu alat yang diterokai oleh manusia berfikir merentasi setiap zaman. Apa sahaja yang dibuktikan sains adalah menifestasi kepada keagungan Islam itu sendiri. Jika sesuatu masih belum ditemui oleh sains, bukan bermakna Islam itu pincang, tetapi ilmu yang terbatas manusia masih belum menemuinya pada masa ini.

Sekian

fb.com/suhazeli.abdullah

9.10.2019

Tengkawang

Pautan

[1] Mufti Wilayah Persekutuan. Hukum Meniup Makanan dan Minuman Panas. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3119-al-kafi-1106-hukum-meniup-makanan-dan-minuman-panas

[2] Lynn Yarris. Unravelling the mysteries of carbonic acid. 2015. https://www.sciencedaily.com/releases/2015/06/150616131621.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...