Oleh Dr Amirul Amzar

Tahniah kerajaan Malaysia atas kejayaan memasukkan vaksin pneumococcal dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan bermula 2020. Tahniah juga rakyat Malaysia atas manfaat yang besar ini.

Vaksin pneumococcal mencegah dari jangkitan streptococcus pneumoniae. Ia adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada telinga (otitis media), sinus (sinusitis), paru-paru (pneumonia) dan juga selaput otak (meningitis). Malah, pada sesetengah orang, ia boleh menyebabkan jangkitan yang amat merbahaya; jangkitan darah (bacteremia and invasive pneumococcal disease, IPD).

Individu yang berusia bawah 2 tahun dan lebih 65 tahun lah paling berisiko untuk jangkitan kuman ini.

Vaksin pneumococcal ada 2 jenis; conjugate vaccine dan polysaccharide vaccine. Yang akan dimasukkan dalam jadual kita kelak, adalah jenis conjugate vaccine (belum dipastikan Synflorix 10 ataupun Prevnar 13). Keduanya lebih mahal. Kosnya kalau ambil sendiri, antara RM180 ke RM320 untuk satu dos bergantung pada jenis vaksin itu. Dan semakin kecil seorang bayi itu, dos yang diperlukan adalah lebih banyak.

Kenapa conjugate vaccine?

1) Ia lebih berkesan dalam melindungi dari invasive pneumococcal disease berbanding polysaccharide vaccine.

2) Ia bukan sahaja melindungi daripada IPD, malah melindungi dari jangkitan pneumococcal yang tidak melibatkan darah (otitis media contohnya). Polysaccharide vaccine tidak.

3) Ia menjana imuniti lebih lama berbanding polysaccharide vaccine.

4) Ia juga membunuh bakteria yang ada pada pembawa (asymptomatic carrier).

5) Kajian menunjukkan, jika semua kanak-kanak diberi vaksin ini, insiden IPD berkurang termasuk dalam mereka yang TIDAK DIVAKSIN dan juga TERLALU KECIL untuk menerima vaksin ini. Ini lah HERD IMMUNITY.

Apa ada dalam conjugate vaccine?

1) Ia ada aluminium sebagai adjuvan. Ianya selamat kerana aluminium telah berdekad-dekad digunakan sebagai adjuvan dalam vaksin. Tiada satu kajian pun berjaya mengaitkan aluminium dalam vaksin dengan sebarang penyakit kronik atau perkembangan otak. Dan kandungan aluminium dari susu ibu dan susu formula jauh lebih tinggi dari kandungan aluminium dalam vaksin kalau semua vaksin dalam jadual diambil kira.

2) Ada 10 atau 13 antigen (bergantung pada vaksin yang diambil) mengikut jenis strain kuman streptococcus pneumoniae yang berbeza. Strain-strain ini adalah strain yang telah dikaji dan didapati paling merbahaya dan kerap menjangkiti antara lebih kurang 90 strain pneumococcal yang wujud. Jadi, sedikit ini sudah memadai.

3) Antivaksin akan kata ada Diphteria dalam vaksin ini. Mereka tidak belajar perubatan sebab itu keliru. Dalam vaksin Prevnar 13, memang ada protein dari toksin Diphteria yang telah DINYAHTOKSIK, CRM197. Apa fungsi dia? Dia dilekatkan pada antigen pneumococcal tadi bagi menjana imuniti yang lebih kuat. Kehadiran CRM197 ini lah yang membezakan manfaat conjugate vaccine dengan polysaccharide vaccine. CRM197 tidak sama dengan diphtheria yang menyebabkan jangkitan Diphtheria yang tular akibat penolakan vaksin di Johor dan Kedah 2016 dahulu. Begitu juga dengan Synflorix 10, ada protein dari kuman lain seperti Hemophilus influenza B, Tetanus toxoid ataupun Diptheria toxoid. Ianya juga berfungsi untuk menguatkan tindak balas imuniti dan ianya tidak menyebabkan jangkitan.

4) Ia tidak mengandungi merkuri mahupun thimerosal

5) Ia tidak mengandungi khinzir, janin mahupun sel haiwan. Dalam penghasilan vaksin ini, medium yang digunakan adalah protein soya.

Adakah vaksin ini ada kesan sampingan?

Sama seperti vaksin lain, ia sudah dikaji sebelum dilesenkan. Kalau baca insert vaksin ini, kajian keselamatan mereka sangat mendalam. Kesan sampingan yang timbul biasanya ringan seperti ruam dan demam. Dalam insert juga diterangkan, sepanjang tempoh kajian, kesan sampingan serius dan kematian yang berlaku TIDAK DAPAT DIHUBUNGKAITKAN dengan vaksin ini. Sebagai contoh, kejadian hypotonic-hyporesponsive episode yang berlaku dalam kajian mereka rupanya berpunca dari whole cell pertussis vaccine yang tidak lagi digunakan di negara kita sekarang ini.

Siapa yang tidak boleh ambil vaksin ini?

Hanya bayi bawah 2 bulan. Sebab itu dos pertama, paling awal pun 2 bulan. Selain dari itu, semua orang boleh ambil, termasuklah mereka yang ada masalah sistem imuniti. Kontraindikasi vaksin ini hanyalah pada mereka yang ada alahan teruk (anaphylaxis) terhadap sebarang komponen dalam vaksin ini.

Berbanding dengan polysaccharide vaccine, conjugate vaccine adalah lebih mahal. Namun atas kebaikan-kebaikan yang saya beritahu tu lah, kerajaan sanggup berbelanja lebih bagi memastikan kesihatan anak-anak kita terjaga.

Wahai ibu bapa, bersyukur lah. Jangan lah kamu menjadi ibu bapa yang zalim. Anak-anak kamu semua dah diberi peluang untuk menikmati suntikan ini secara percuma mulai 2020. Jangan jadi bodoh dan tolak vaksin.

Dr Amirul Amzar

Exco Perancangan Strategik Kempen Imunisasi

Medical Mythbusters Malaysia, M3

Sumber:

1) Insert Prevnar 13, https://www.fda.gov/files/vaccines%2C%20blood%20%26%20biologics/published/Package-Insert——Prevnar-13.pdf

2) Pneumococcal Disease CDC, https://www.cdc.gov/pneumococcal/index.html

3) Pneumococcal Vaccine CDC, https://www.cdc.gov/pneumococcal/clinicians/index.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTiup Air dalam Bejana
Next articleGolongan Anti Fatwa
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com