TB Akibat Jin

Penyakit TB itu sejenis penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan pesakit batuk, demam dan kurang selera makan. Jika tidak dirawat penyakit ini boleh membawa maut. Sebelum penemuan antibiotik, Tb membawa kematian seorang dari 7 penduduk dunia.

Penyakit ini sebenarnya sudah wujud sejak sekian lama, cuma kuman tersebut tidak dapat dikenal pasti secara sahih. Mereka tahun bahawa tanda-tanda penyakit Tb sedemikian rupa, tetapi hanya berserah kepada takdir yang menentukan hidup mati. Antara rawatan di zaman sebelum penemuan antibiotik, pesakit dikehendaki berselimut, rehat dan makan ramuan makanan seperti minyak ikan Cod, urutan dengan cuka dan hidu minyak turpentin.

Walaupun Dr. Robert Koch telah mengenalpasti kuman TB tahun 1882, tetapi rawatannya masih lagi tidak dikaji. Sehinggalah 60 tahun selepas penemuan kuman TB, 1943, Selman Waksman, Elizabeth Bugie, dan Albert Schatz mengenalpasti antibiotik bernama streptomycin untuk merawat TB. Kemudian, penemuan beberapa penambahan antibiotik lain lagi yang digabungkan bersama selepas itu. Tujuan utama pemberian antibiotik secara gabungan ke atas pesakit TB itu adalah bagi memastikan kuman TB dihapuskan sepenuhnya.

Dos dan penentuan berapa lama pesakit dihendaki makan ubat TB Bukannya dibuat secara semberono. Ianya telah melepasi kajian demi kajian. Ujikaji dilakukan terhadap haiwan dan manusia sehinggalah ianya terbukti selamat dan berkesan. Selamat di sini bukan bermakna ianya bebas dari kesan sampingan, tetapi majoriti pesakit dapat mengambilnya dengan jaya walaupun terdapat kesan ringan. Terpenting sekali adalah sembuh dari penyakit TB dalam tempoh yang ditentukan.

Semuanya ini adalah kejayaan perubatan yang tidak dinafikan. Mungkin pada masa hadapan terdapat lagi kaedah lain yang lebih mudah, cepat dan kos yang murah. Mungkin! Namun buat masa ini, sains telah membuktikan bahawa pemberian antibiotik melalui DOTS (Directly Observed Treatment, Short-course) berjaya menyelamatkan berjuta nyawa.

Kita sedih kerana terdapat segelintir pihak yang menolak rawatan antibiotik untuk TB ini dengan alasan penyakit yang mereka alami adalah kerana rasukan jin. Walaupun mereka telah ke hulu ke hilir untuk berbomoh, sakit tetap tidak sembuh. Akhirnya kembali juga menemui doktor untuk mendapatkan rawatan sekadarnya. Mereka makan ubat TB dalam keadaan tidak ‘redha’ kerana pemikiran mereka masih lagi terbelenggu aruhan bomoh yang mengatakan jin itu terlalu kuat, ubat hospital banyak bahan kimia dan konspirasi orang kafir bagi melemahkan umat Islam.

Mereka lupa bahawa hakikat ilmu alat itu adalah sesuatu yang hilang dikalangan umat Islam. Jika apa sahaja penemuan ilmu alat melalui sains itu menguntungkan Islam, maka sepatutnya kitalah orang yang paling utama mengambilnya dan perjuangkan.

Sekian

Fb.com/Suhazeli.abdullah

5.10.2019

Kuala Berang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...