Kita silap menilai Perubatan Berasaskan Bukti (Evidence Based Medicine) sebagai hak eksklusif perubatan moden semata-mata.

‘Kita’ di sini merujuk kepada semua penggiat bidang perubatan samada perubatan moden itu sendiri mahupun perubatan komplimentari.

EBM adalah kaedah mengambil sesuatu amalan perubatan itu dengan lebih yakin. Walaupun sesetengah kaedah berubat itu masih lagi dalam proses yang belum sempurna, tetapi setidak-tidaknya asas berubat pada masa ini mengambil kira bukti terkini yang telah dicapai sesuai dengan zaman. Kaedah fekah menyebut;

الْيَقِنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

“Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan (Syak)”.[1]

Bermakna, sesuatu yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.

Andainya terdapat bukti terbaharu yang lebih diyakini melalui kaedah yang absah dalam menentukan sesuatu ubat-ubatan itu selamat, berkesan dan kurang mudarat, maka bukti terbaharu itu pulalah kita perlu ikuti. Perubatan itu dinamik bukannya statik dan jumud.

Tiada sesiapa pun yang berhak untuk menolak kajian dan fakta yang telah ada, kecuali terdapat kajian dan fakta lain yang lebih tepat dari fakta yang dikemukakan [2].

Firman Allah Taala

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya; “Hendaklah kamu bertanya kepada pakarnya (ahlinya), jika kamu tidak mengetahui”. [Surah An Nahl: 43]

Masyarakat Islam perlu dididik untuk mengikuti sesuatu yang bersandar kepada kebenaran fakta dan kajian ilmiah. Menyandarkan sesuatu hujah kepada sangkaan (zann) tanpa kajian ilmiah yang sahih dan fakta tepat merupakan suatu tindakan yang silap.

Firman Allah Taala ;

إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ ۖ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Ertinya; “Sesungguhnya, mereka tidak mengikut kecuali sangkaan (zann). Sesungguhnya, sangkaan (zann) tidak sedikit pun menandingi kebenaran.” [Surah Yunus: 36]

Terdapat golongan tertentu yang cuba mengunakan agama untuk mempengaruhi masyarakat untuk menolak fakta-fakta ilmiah. Sedangkan teori yang dibawa hanyalah berdasarkan sangkaan (zann) yang tidak dihasilkan melalui kajian ilmiah.

Mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan telah menjadi ahlinya, mestilah terus istiqamah dengan panduan ilmu yang ada padanya. Sesungguhnya, kesungguhan dan jihad yang lakukan untuk memelihara manusia dari kebinasaan serangan penyakit, pasti akan mendapat ganjaran yang melimpah ruah dari Allah swt.

Jika kita yakin berada dipihak yang benar dan apa yang kita sampaikan ini adalah kebenaran, maka kita tidak perlu berundur dan menarik diri.

Bahkan mengalah dan mengundur akan membuka ruang kepada keburukan dan kebinasaan yang lebih besar.

Firman Allah Taala;

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

Ertinya; “Jika kebenaran mengikuti hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit, bumi dan segala yang ada”. [Surah Al Mukminun: 71]

Ada pihak mencabar, kaedah perubatan tidak perlu kajian dan kesahihan sesuatu sumber yang dipegang. Mereka memberi contoh, air madu yang telah pun dinyatakan dalam Al Qur’an serta hadis Nabi SAW bahawa madu itu ubat segala penyakit kecuali mati. Begitu juga dengan air zamzam, air yang telah dirukyah melalui pengubatan Islam, tidak perlu disahihkan melalui kajian pun, hujah mereka.

Di sinilah perlunya tasawwur yang jelas dalam konsep berubat. Gambaran pemikiran dalam menggunakan kaedah berubat samada menggunakan ubat-ubatan atau air rukyah adalah termaktub dalam wilayah ikhtiar sebagai manusia. Usaha pencegahan, pengubatan samada secara fizikal ataupun spiritual adalah ikhtiar yang dianjurkan oleh Islam.

Tidak kurang dari dua orang ulama yang saya thiqah (percaya dan yakin dengan keilmuan mereka) menyebut hal yang sama, iaitu penggunaan ayat Quran sebagai ruqyah dalam berubat adalah dikira sebagai doa. Ianya adalah salah satu kaedah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak. Dengan syarat, pengamalnya yakin akan mukjizat al Quran sebagai merawat penyakit batin dan fizikal. Doa adalah juga sebagai ibadah. Justeru memohon doa akan berpahala dan jika salah guna boleh membuahkan dosa.

Diriwayatkan kisah seorang sahabat yang menggunakan surah al fatihah semasa merawat penyakit gigitan binatang [3]. Setelah dilaporkan kejadian itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengiyakan bahawa surah al Fatihah itu adalah ayat rukyah, yang sebelum ini mereka tidak mengetahui akan fadhilatnya. Atas keyakinan mereka bahawa ayat Al Fatihah mempunyai fadhilat, digunakan sebagai doa dan dengan izin Allah termakbul.

Amalan bacaan ayat-ayat al Quran yang lain sudah tentu mempunyai fadhilat yang tersendiri, tetapi bacaan tersebut tertakluk kepada meniatkan ianya sebagai kaedah doa dalam berikhtiar merawat. Dalam masa yang sama tidak menafikan kaedah lain boleh digunakan dalam merawat penyakit diri atau orang lain.

Begitu juga doa yang dijampikan ke atas air, ia juga merupakan konsep berdoa. Semoga dengan doa itu dimakbulkan oleh Allah Azzawajalla. Jika bertepatan dengan ketentuan dan iradat Allah maka, sembuhlah ia. Ibnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah menggunakan air zamzam dalam berubat. Namun tidak semua jenis penyakit beliau menggunakan air zamzam. Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah, air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim:

…Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali……[4]

Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah SAW tersebut [5].

Justeru timbul cadangan di sini, para perawat dari perubatan komplimentari termasuk ruqyah sebaiknya juga membuat catatan dan pelapuran sepertimana amalan EBM yang dilakukan dalam perubatan moden. Contohnya jika perubatan komplimentari mendakwa boleh merawat kes kencing manis, darah tinggi ataupun penyakit fizikal yang lain, seeloknya buat catatan dan pelaporan ilmiah. Dari sejumlah pesakit yang telah dirawat, berapa peratus yang telah berjaya dikawal sebagaimana proses kajian EBM yang dijalankan oleh perubatan moden.

Tidak salahkan buat laporan itu?

Malah ianya akan menambahkan lagi keyakinan masyarakat untuk menggunakan kaedah komplimentari itu. Kaedah cerapan dan pelaporan kes ini adalah langkah paling asas dalam EBM. Sedangkan syariat yang kita beramal dengannya pun memerlukan pengsahihan dari mana punca hadis atau al Quran sebelum kita beramal, adakah ianya sahih atau palsu. Begitulah juga dalam hal keduniaan seperti perubatan ini, perlulah juga mengambil konsep pengsabitan bukti sebelum diambil apa-apa bahan sebagai ubat.

Lihat contoh penggunaan madu dalam membantu merawat sakit kerongkong. Kajian dari Cochrane mendapati madu berguna dalam mengurangkan kesakitan pesakit yang mengalami deman viral dan membantu merawat luka [6]. Tetapi ianya masih tertakluk kepada perawatan sampingan bukannya ubat utama dalam merawat. Walaupun madu telah digunakan sebagai ubat sejak dari 2400 tahun sebelum masihi lagi, namun catatan berkaitan dengannya adalah lemah dalam mengubati penyakit-penyakit fizikal yang serius.

Adakah sabdaan Nabi tidak tepat? Tidak! Rasululullah SAW menyatakan sedemikian di dalam hadis itu adalah berdasarkan kepada kemudahacapaian perubatan pada masa tersebut dan itulah yang terbaik pada zaman itu berdasarkan bukti yang terhad. Rasulullah juga tidak menjadikan madu satu-satu yang mutlak dalam kaedah berubat pada zaman baginda. Rasulullah SAW juga menggunakan kaedah lain seperti ubatan dari doktor Al Harith Ibnu Kaladah yang masyhur dengan kaedah perubatan Yunani. Kesimpulannya kaedah yang diambil oleh Rasulullah SAW itu pelbagai berdasarkan kepada bukti yang termampu sesuai dengan sains teknologi di zaman baginda [7].

Suhazeli Abdullah

Insan Dhaif

Suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

6.6.2019

Kota Bharu

Pautan

[1] Qawaid Fiqhiyyah. http://www.tayibah.com/eIslam/yakin_tidak_dihilangkan_oleh_keraguan.php

[2] Md Shukri Ab Rahman. Kebenaran Berfakta. https://www.facebook.com/546572572048737/posts/2288083491230961?s=1033106371&sfns=mo

[3] Kisah khasiat surah Al fatihah. http://detikislam.blogspot.my/2013/01/kisah-sahabat-nabi-merawat-dengan-surah.html#

[4] Doa Air Zamzam Ibnul Qayyim. Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139

[5] Air Zamzam sebagai Ubat. http://suhazeli.com/wp/?p=722

[6] Madu merawat sakit kerongkong. https://www.evidentlycochrane.net/honey-for-cough/

[7] Mohd Mohiden. Perubatan dan Metode Umum Ibnu Qayyim. http://studentsrepo.um.edu.my/6172/5/BAB_4_22112015.pdf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleResepi Telur Goreng Mata Kerbau
Next articleSejarah Perubatan Islam yang Dilupai
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com