Ramai yang tanya saya, semua ubat darah tinggi yang mengandungi LOSARTAN tu boleh sebabkan kanser ke? Ramai yang baca dalam media sosial dan buat ulasan sendiri. Termasuk golongan yang selama ni memang sudah anti-ubat hospital, terus menuduh bahawa ubat-ubat lain untuk rawat darah tinggi pun penyebab kanser! Tidak kurang juga mereka yang memerli bahawa kononnya ubatan hospital sudah melepasi tahap keselamatan, keberkesanan dan berkualiti itu pun boleh ditarik balik. Justeru kembalilah kepada ubatan sumber alami yang tidak mengandungi bahan kimia – seru mereka!
Saya pohon jangan kelirukan orang ramai isu ubat darah tinggi ini. Sudah jelas apa yang disebut dalam kenyataan akhbar dari Ketua Pengarah KKM dan Pihak Berkuasa Ubat Singapura itu.[1,2] Tolong baca dengan teliti apa isi kenyataan media tersebut dan janganlah guna pukat tunda menuduh semua ubat berjenama LOSARTAN dalam pasaran negara kita penyebab kanser!
Kenyataan itu menyebut bahawa hanya 7 jenis dos ubat darah tinggi berjenama LOSAGEN, LOSARTAS dan TOZAAR keluaran dari TIGA syarikat India di tarik balik. Mana-mana jenama lain yang tidak terkait dengan jenama tersebut boleh digunakan tanpa was-was. Hanya tiga jenama ini sahaja yang ditarik balik. Jelas!
Ubat darah tinggi di premis KKM dan juga swasta dalam negara kita bukan tiga jenama  ini sahaja. Berpuluh-puluh jenama lain lagi dalam pasaran dari pelbagai syarikat pengeluar seluruh dunia.
Masyarakat kena faham, untuk diluluskan sahguna sesuatu ubat dibawah Akta Ubat, ubatan itu wajib melalui proses yang ketat. Sudah tentu ubat itu yang sudah dikemukakan kepada badan berautoriti, setelah disahkan lengkap profil produk dengan maklumat sokongan berdasarkan Evidence Based Medicine. Unit yang bertanggungjawab di KKM adalah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA). Ubat tidak boleh digunakan atau dipasarkan selagi tidak mendapat kelulusan NPRA. Pakar-pakar yang berbincang dalam kelulusan ubat pun bukan calang-calang, mereka mahir dalam disiplin perubatan yang mereka ceburi.
Setelah diluluskan, baharulah premis KKM dan swasta boleh membeli ubatan tersebut dari syarikat berkaitan. Inilah kaedah yang digunakan, walaupun ubatan yang dibenarkan kegunaannya, KKM tidak biarkan begitu sahaja. Kajian pemantauan dan pengawalan dijalankan dari masa ke semasa. Jika terdapat dalam jangkmasa tertentu hasil kajian memberikan mudarat atas pelbagai sebab, wajib ubat berkenaan diistiharkan tidak boleh guna dan ditarik balik. Proses ini adalah proses ketelitian dan ketelusan.
Berbalik kepada isu produk Losartan yang ditarik dari pasaran ini. Produk losartan seperti yang di tarik ini tidak di pesan oleh KKM untuk kegunaan premisnya. Tetapi pihak swasta bebas untuk beli dan guna kerana diluluskan oleh NPRA sebelum ini.
Kenapa ditarik?
Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat (FDA) membuat penyelidikan bahawa losartan yang ditarik balik itu tidak tulin kerana masih berbaki sedikit bahan peluntur (NMBA) semasa proses pengilangan. Kajian ke atas haiwan mendapati N-Nitroso-N-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA), diklasifikasikan sebagai karsinogen.[3] Produk asal sebelum ini tiada pun NMBA didalamnya. Kejadian ini adalah jarang berlaku dalam proses pemprosesan dan pengilangan produk.
Walaupun tiada lagi bukti lanjut kaitan NMBA pencetus kanser terhadap manusia, FDA mengambil sikap berhati-hati dengan membuat kenyataan penarikan balik produk di pasaran. Kajian penentuan keselamatan sedang dijalankan buat masa ini.
Manakala ubat yang mengandungi losartan lain yang bukan dari syarikat berkenaan adalah selamat digunakan. Kenyataan ini perlu difahami oleh semua. Sila bertanyakan doktor anda, apakah jenis ubat yang diberikan selama ini, sama atau tidak?
Kita boleh simpulkan bahawa ubatan yang berdaftar seluruh dunia amat teliti dalam setiap aspek pembuatannya dan juga setelah dipasarkan.
Justeru tidak perlulah penjual supplemen atau pembuat ubat herba memperlekehkan ubatan moden ini. Mereka harus menilai dan mengoreksi diri sendiri, adakah pemprosesan, pengilangan dan pemasaran produk mereka juga melalui proses ketelusan dan ketelitian ini? Jawapannya mereka hanya sembang kosong, terpenting bagi mereka adalah masuk fulus dalam poket. Apa nak jadi kepada pesakit yang diberikan produk? Lantaklah.
Sekian dari suhazeli.com
1.4.2019
Kuala Berang
Pautan:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBelajarlah Buat Website
Next articleTB Paru-paru
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com