Sejarah Perubatan Islam yang Dilupai

Tulisan Prakata dalam buku Historia Perubatan Islam karangan Tok Ilmam

Masyarakat mungkin tidak sedar bahawa Islam adalah pelopor kepada perubatan moden. Kemunculan tokoh-tokoh hebat seperti Ibnu Sina, Al Razi, Al Khawarizmi dan ramai lagi ilmuwan Islam adalah sebagai bukti bahawa Islamlah pencetus kepada kebangkitan sistem perubatan di alaf ini.

Istilah Perubatan samada perubatan Islam atau perubatan moden adalah suatu istilah yang sering dikelirukan. Jika ditanya kepada masyarakat umum apakah yang mereka faham dengan istilah Perubatan Islam? Pasti ramai yang menjawab, Perubatan Islam adalah kaedah rawatan yang menggunakan jampi-jampi untuk menghalau jin-jin, juga kaedah rawatan yang dilakukan oleh Rasulullah Saw seperti berbekam, menggunakan madu, jintan hitam dan sebagainya. Begitu juga jika ditanya, apakah perubatan moden, masyarakat akan memberikan jawapan yang skeptikal bahawa perubatan moden adalah perubatan barat yang menggunakan bahan kimia.

Namun persoalannya apakah itu sahaja yang dikatakan sebagai Perubatan Islam? Bagaimana pula dengan perubatan moden? Apakah rawatan moden yang dipraktikkan oleh doktor-doktor perubatan di hospital-hospital dan klinik-klinik yang mana kaedah rawatan tersebut tidak menyanggahi syariat itu, bukan perubatan Islam? Dikotomi kekeliruan perubatan Islam dan moden ini timbul setelah barat menjajah negara-negara umat Islam. Catatan sejarah kegemilangan kajian (Evidence Based Medicine) yang dilakukan oleh tokoh perubatan muslim telah dihapuskan oleh mereka. Lebih sadis lagi apabila barat menggali semula khazanah berharga itu, kemudian mengembangkannya. Lantas kejayaan baru yang mereka raih berdasarkan asas dari cendekiawan Islam itu tidak diangkat oleh mereka sebagai kegemilangan sejarah Islam.

Konsep yang jelas dalam Islam bahawa kaedah perawatan pesakit mesti berpandukan Al Quran dan Al Sunnah. Kesemuanya bertujuan memberi manfaat kepada manusia sejagat. Apa sahaja kaedah yang digunapakai bagi memberi kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan spiritual kepada manusia adalah dibenarkan, dengan syarat ianya tidak melanggari aqidah, syariat dan adat.

Sabda Nabi Saw yang bermaksud: Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri. (Muttafaqalaihi)

Dan Sabda Nabi Saw lagi yang bermaksud: Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan menyelesaikan kesulitan-kesulitannya di hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat. (HR Muslim)

Saya sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk meneliti buku yang ditulis oleh Dr Muhammad Ilmam bin Abdul Razak ini. Satu buku yang begitu baik dari sudut penulisannya dan penghuraian yang mendalam dari sudut sejarah perubatan tradisi Islam. Penerangan tiada dikotomi antara perubatan Islam dan Moden juga dikupas dengan jelas dalam buku HISTORIA ini.

Syabas saya ucapkan kepada beliau atas kesungguhan menghasilkan karya yang begitu bermutu ini. Semoga hasil penat lelah dan ketekunan beliau menjadi suri teladan kepada generasi kini serta akan datang dalam menyuburkan budaya menulis. Semoga beliau dan ahli keluarga terus diberi kekuatan untuk terus berkarya dalam penulisan-penulisan topik yang lain pula.

Saya tidak sabar untuk terus membaca.

Dr Suhazeli Abdullah

28.3.2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...