7 Tips Pesakit Menghadapi 1 Syawal

Apabila tibanya 1 Syawal, umat Islam diharamkan berpuasa. Hari itu adalah hari gembira kerana meraikan kejayaan kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Di sini mulalah kita lupa bahawa kita perlu berhati-hati juga mengambil segala jenis maklika makanan di hari raya. Oleh kerana terlalu ingin qodo makan pada waktu siang hari di bulan ramadhan, kita terus hentam makan tanpa ingat sejak awal bangun tidur hingga malam. Bukannya sehari dua raya tetapi sebulan Syawal!

Tidak dinafikan banyak juadah raya yang perlu dikecapi; rendang, ketupat, lemang, tapai dan banyak lagi. Minuman pun pelbagai jenis dengan warna berbeza-beza; Sirap, bandung, air bergas, air kathira, milo, teh, teh tarik dan banyak lagi. Amat menggamit nafsu makan! Akhirnya kita lupa tunai tanggungjawab kesihatan perut kita sehingga mendatangkan mudarat pula di pagi raya.

Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, sakit jantung pula macam ‘hilang ingatan’ bahawa mereka masih berkewajiban lagi memakan ubat-ubatan walaupun berhari raya. Antara alasan mereka adalah raya hanya sekali setahun, takkanlah tinggal ubat-ubatan sehari sudah bawa mudarat? Berilah peluang untuk menikmati hidangan raya yang amat menggiurkan itu.

Artikel kali ini mengesyorkan kita berhati-hati dalam memilih makanan. Tindakbalas sesatu makanan dengan makanan lain boleh berlaku sehingga menyebabkan perut kita berkecamuk. Begitu juga tindakbalas makanan dengan ubat-ubatan yang kita makan boleh juga menyebabkan kesan optima ubat tidak dapat disempurnakan.

Perhatikan jenis makanan yang anda ingin jamah pada hari raya.

1. Makanan yang pedas, boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada perut. Ini kerana perut akan mengeluarkan asid yang banyak bagi menghilangkan pedas itu tersisa. Mulalah perut anda akan meragam, loya serta muntah boleh berlaku;

2. Tambahan lagi jika dicampurkan dengan air berkarbonat. Campuran ini akan menambahkan lagi interaksi sesama makanan semasa proses penghadaman. Orang lain sibuk ziarah jiran tetangga, kita pula sibuk ziarah tandas.

3. Makanan yang banyak kandungan tyramin seperti tapai, cokelat dan keju boleh juga mengganggu penghadaman dan interaksi sesama makanan serta ubat-ubatan.

4. Makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi juga perlu dielakkan teruatama individu yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Interaksi makanan dengan ubat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk:

1. Makanan atau minuman itu menghalang penyerapan serta tindakbalas ubat di lokasi tertentu badan. Contohnya teh boleh menghalang penyerapan zat besi secara optima bagi ibu-ibu hamil yang mengalami anemia (kurang hemoglobin darah). Begitu juga dengan pengambilan kopi terutama kopi pracampuran yang mengandungi ginseng, tongkat ali dan sebagainya, boleh menyebabkan kesan tindabalas ubat semakin tinggi dari jangkaan yang sepatutnya. Akhirnya kandungan ubat-ubatan dalam badan akan berpanjangan. Sedangkan ubat-ubatan itu mempunyai tempoh tertentu yang sesuai berada dalam darah sebelum dikumuhkan melalui buah pinggang.

2. Makanan tertentu juga mempunyai pengaruh ke atas ubat-ubatan samada mengurangkan kesan tindakbalas yang sepatutnya atau meningkatkan kesan tindakbalas. Contohnya limau gedang, buah sitrus dan makanan berserat tinggi boleh bertindakbalas dengan ubat anti-kolesterol dan banyak lagi ubat-ubatan lain.

3. Sesetengah makanan boleh menggalakkan lagi kesan sampingan ubat. Seperti pesakit yang mengambil ubat cair darah (warfarin) untuk sakit jantung. Apabila pesakit memakan makanan yang tinggi vitamin K seperti brakoli dan beberapa lagi, akan mengganggu sistem pembekuan darah.

Andaikata kita tidak mampu untuk menahan nafsu makan, sehingga terpengaruh dengan keenakan makanan, ikutilah 9 tips untuk mengelakkan interaksi ubat dan makanan:

1. Sentiasa BACA LABEL pada sampul ubat dan sisip bungkusan (arahan pengambilan, peringatan, interaksi, langkah berjaga-jaga) yang dilampirkan bersama-sama bekas ubat.

2. Adalah sangat penting untuk MEMATUHI ARAHAN yang diberikan berkenaan cara pengambilan ubat yang selamat seperti yang telah diterangkan oleh ahli profesional kesihatan.

3. Ambil ubat bersama-sama segelas AIR KOSONG. Jangan campur ubat ke dalam minuman panas kerana suhu yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan sesetengah ubat.

4. JANGAN CAMPUR ubat ke dalam makanan kecuali diarahkan berbuat demikian.

5. JANGAN ambil herba pada MASA YANG SAMA ketika mengambil ubat.

6. JANGAN ambil ubat bersama-sama ALKOHOL/ARAK. Tapai juga mengandungi kandungan alkohol yang bukan bermaksud arak.

7. SENTIASA MAKLUMKAN doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat-ubatan serta herba / yang sedang diambil.

8. MAKLUMKAN ahli profesional kesihatan berkenaan sebarang PERUBAHAN dalam rutin harian (senaman, diet, pengambilan alkohol).

9. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan interaksi ubat-ubatan yang mungkin berlaku, BERTANYALAH PADA DOKTOR / AHLI FARMASI. Simpanlah nombor penting doktor atau farmasi yang anda sayangi.

Pesanan dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

29.5.2019

Ketengah Jaya

Pautan:

[1] Portal MyHealth. http://www.myhealth.gov.my/interaksi-ubat-dan-makanan/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...