Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin BCG

Kesan yang tidak dijangka selepas suntikan vaksin (AEFI) memang wujud. Dalam sejarah pembangunan vaksin sejak lebih 200 tahun, pemberian vaksin tidak sunyi dari kesan sampingan ini.

Namun seluruh dunia masih terus menggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan. Kenapa? Kerana ianya satu kaedah yang ampuh setakat ini bagi mencegah dari penyakit berbahaya. Maksudnya juga vaksin telah menjadi satu titik sejarah dalam merawat penyakit yang penyebab berjuta kematian dan berjaya walaupun terdapat sedikit kesan sampingan.

Adakah kita abaikan kesan sampingan sedikit itu? Tidak, justeru sistem pemantauan wujud untuk melihat sejauh mana keseriusan AEFI. GPFVK adalah sistem pemantauan pemberian vaksin, ianya bukannya kitab untuk menakut-nakutkan orang ramai dengan segala andaian kemungkinan yang akan berlaku!

Para saintis yang mengkaji pembangunan vaksin senantiasa memperbaiki keselamatan dan keberkesanan vaksin. Jika kita perhatikan kajian kejayaan vaksin BCG contohnya pada tahun 1921. Pada peringkat awal kajian BCG diberikan melalui mulut, bukan suntikan bawah kulit seperti zaman kini. Bahan asas vaksin tersebut yang diambil dari pesakit Tunerkulosis (TB). Kanak-kanak tersebut adalah anak kepada si ibu yang mati akibat TB, dan nenek beliau pun sedang dijangkiti TB. Tetapi inilah “risk and benefit” yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut dan pengkaji. Setelah tiga tahun anak itu diberikan vaksin BCG, beliau selamat tidak dijangkiti TB dan tidak mati. Inilah sejarah kejayaan yang perlu kita lihat.

Melihat kepada kejayaan pertama ini, data telah dicerap dari tahun 1921 – 1927. Seramai 969 orang kanak-kanak lagi dijalankan ujikaji yang sama. Didapati jumlah MATI dari ujikaji:

3.9% (Beri Vaksin – mati) berbanding sebanyak 32.6% (Tidak Vaksin – Mati akibat TB).

Walaupun terdapat kesan mudarat seperti kematian, vaksin BCG tetap menjadi pilihan kerana mudarat kematian serangan TB itu sendiri lebih besar.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pembangunan keberkesanan dan keselamatan vaksin terus pesat dijalankan oleh para pengkaji. Kita boleh melihat sendiri dalam dunia sekarang pun bayi selamat setelah diberikan vaksin BCG. Jumlah serangan TB kanak-kanak juga menurun. Ianya berjaya menyelamatkan jutaan nyawa. Andaikata pihak berkuasa pada ketika itu menghentikan pemberian vaksin BCG dek kerana takutkan AEFI yang rendah risikonya, sehingga sekarang kita akan terus bergelut dengan jangkitan TB kanak-kanak.

Kes Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin

Tb Lymphadenitis

Kes bengkak kelenjar bawah ketiak adalah perkara biasa kemungkinan boleh berlaku setelah vaksin BCG. Laporan kejadian antara 100-1000 dalam 1 juta dos vaksin BCG yang diberikan [1]. Tempat yang biasa terbentuk benjolan jangkitan itu adalah di bawah ketiak bayi. Jika terdapat benjolan di bahagian lain, perlu disahkan samada berpunca dari vaksin BCG atau kuman lain yang tiada kaitan dengan vaksin.

Vaksin BCG mengandungi bakteria Mycobacterium Bovis dan telah dilemahkan. Walaupun ianya dari jenis M. Bovis, tetapi antibodi terbentuk boleh melindungi bayi dari bakteria M. Tuberkulosis.

M. Bovis ini tidak bahaya sehingga kematian atau kecacatan. Tetapi ianya boleh memberikan perlindungan dari penyakit TB Meningitis (Selaput Otak) dan TB Miliari (akibat Bakteria M. Tuberkulosis) dikalangan kanak-kanak. Pemberian Vaksin BCG juga boleh melindungi bayi dari penyakit kusta yang berpunca dari jangkitan kuman M. Laprae [2].

Dapatkan khidmat perawatan dengan doktor jika anak anda mengalami benjolan seperti ini. Kes seperti ini akan diberi pilihan oleh pakar samada dilakukan pembedahan atau diberi antibiotik. Setiap rawatan mempunyai manfaat dan risiko tersendiri. Kedua-duanya mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi dengan syarat patuhi arahan yang diberikan. Apapun berbincanglah dengan doktor anda secara rundingan terus di klinik.

Parut setelah sembuh [Sumber dari fb Nur Yusof 3]

Bagi merawat bengkak itu, tidak nafi, pesakit akan di’paksa’ makan ubat untuk membunuh kuman. Akan tetapi percayalah beliau sudah mendapat perlindungan yang optimum dari dijangkiti oleh bakteria M. Tuberkulosis yang lebih berbahaya. Sehingga kini tiada lagi kes kematian akibat bengkak kelenjar. Mereka sembuh dan hidup ceria selepas itu.

Jika ingin dibandingkan perjuangan nenek moyang kita terdahulu semasa awal penemuan vaksin BCG, kita hanyalah lebih takut perkara yang boleh dirawat berbanding dengan risiko kematian. Masalahnya adalah, kita tidak meletakkan kepercayaan kepada perawat dengan memberi gambaran negatif setiap kejadian AEFI yang berlaku terhadap anak-anak kita.

Begitu juga kesan tidak dijangka yang tidak bahaya lain seperti ruam, sakit tempat suntikan, parut, kemerah-merahan kulit adalah sesuatu yang boleh berlaku. Namun ianya tidak boleh ditakuti sehingga kita lebih takutkan vaksin berbanding penyakit TB selaput otak itu sendiri akibat kuman tuberkulosis. Umpamanya kita lebih takutkan lipas yang merayap atas jalanraya berbanding dengan lori yang sedang laju ingin melanggar kita.

Suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

13.5.2019

Ketengah Jaya

Pautan:

[1] Kejadian Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin BCG.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3216207/

[2] BCG juga perlindungan dari penyakit kusta. https://www.who.int/immunization/sage/meetings/2017/october/1_BCG_report_revised_version_online.pdf

[3] Perkongsian Nur Yusof. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1045386715516962&id=100001369292100

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...