Program Soal Rakyat TV3

[Mungkin aturan jawapan berubah dalam bentuk kaedah penyampaian]

.

Q1) Apakah yang dimaksudkan dengan vaksin dan bagaimana fungsinya?

Vaksin adalah satu bahan yang digunakan bagi merangsang sistem imun secara spesifik untuk melindungi diri dari serangan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkit yang bahaya tersebut adalah Tb, Hepatitis B, Difteria, Pertusis, Tetanus, Hemofilus Influenza jenis B, Polio, Campak, Beguk, Rubella, Meninggokokal meningitis, JE, HPV dan beberapa lagi.

Q2) Secara umum apakah kandungan yang terdapat dalam sesuatu vaksin dan berapa lamakan tempoh vaksin itu berfungsi?

Empat formulasi utama yang biasa digunakan dalam vaksin

a. Kuman yang telah dilemahkan/dimatikan/diambil sebahagian struktur/toksoid.

b. Air. Seperti Air Nyah-kuman (Sterile Water), Air Salina (Normal Saline) dan Air berprotin.

c. Bahan Pengawet (Preservatives) dan Bahan Tambahan (Additives). Seperti Albumin, Phenols, and Glycine

d. Bahan Pembantu (Adjuvan). Seperti Aluminium, Antibiotik, Protin Telur, Formaldehyde (dibuang sebelum dimasukkan dalam botol pakej), Monosodium glutamate dan Thimerosal (raksa). Thimerosal, telah dikeluarkan dalam senarai adjuvan sejak tahun 2007.

#Nota: Bahan-bahan ini berbeza-beza pada vaksin-vaksin yang tertentu.

.

Tempoh berfungsi vaksin bergantung juga kepada kepada jenis vaksin. Terdapat vaksin yang berfungsi sepanjang hayat.

Q3) Dari segi keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin, bagaimana ia dapat mengelakkan kesan sampingan yang serius atau kesan jangkamasa panjang?

AEFI memang wujud, sejarah pembangunan vaksin sejak 200 tahun tidak sunyi dari kesan sampingan ini. Namun seluruh dunia masih terus menggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan. Kenapa? Kerana ianya satu kaedah yang ampuh setakat ini bagi mencegah dari penyakit berbahaya. Maksudnya juga vaksin telah menjadi satu titik sejarah dalam merawat penyakit yang penyebab berjuta kematian dan berjaya walaupun terdapat sedikit kesan sampingan. Para saintis yang mengkaji pembangunan vaksin senantiasa memperbaiki keselamatan dan keberkesanan vaksin. Jika kita perhatikan kajian kejayaan vaksin BCG contohnya pada tahun 1921. Pada peringkat awal kajian BCG diberikan melalui mulut. Asas vaksin tersebut yang diambil dari pesakit TB. Kanak-kanak tersebut adalah anak kepada si ibu yang mati akibat TB, dan nenek beliau pun kena TB. Tetapi inilah “risk and benefit” yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut dan pengkaji. Setelah tiga tahun anak itu diberikan vaksin BCG, beliau selamat tidak dijangkiti TB dan tidak mati.

.

Melihat kepada kejayaan pertama ini, data telah dicerap dari tahun 1921 – 1927, 969 kanak-kanak lagi dijalankan ujikaji. Didapati jumlah MATI dari ujikaji:

3.9% (Beri Vaksin – mati) vs

32.6% (Tidak Vaksin – Mati akibat TB).

Pembangunan keberkesanan dan keselamatan vaksin terus pesat dijalankan. Kita boleh melihat sendiri dalam dunia sekarang pun Bayi selamat setelah diberikan BCG.

.

Kesan sampingan yang tidak bahaya seperti ruam, sakit tempat suntikan, parut, kemerah-merahan kulit adalah sesuatu yang boleh berlaku. Namun ianya tidak boleh ditakuti sehingga kita lebih takutkan vaksin berbanding penyakit TB selaput otak itu sendiri akibat Tb (jika dijangkiti). Umpamanya kita lebih takutkan lipan yang merayap atas jalanraya berbanding dengan lori yang sedang laju igin melanggar kita.

Q4) Mengapakah anak-anak perlu diberi imunisasi sewaktu mereka masih bayi sedangkan badan mereka sedang mencipta system kekebalan imunisasi semulajadi.

Disinilah perlu kita faham konsep pembinaan umuniti kepada manusia. Imuniti terbahagi kepada dua, secara umum dan secara khusus. Imuniti secara umum (Innate) adalah senantiasa wujud melalui pemakanan, susu ibu dan elakkan bayi kita ditempat yang terdedah kepada punca penyakit. Manakala imuniti secara khusus (Adaptive) perlu dirangsang. Ini kerana kanak-kanak amat tinggi terdedah kepada risiko penyakit. Terutama yang berumur kurang dari 7 tahun.

.

Q5) Sejauhmana suntikan sesuatu vaksin itu boleh memberi jaminan untuk mencegah penyakit?

Program imunisasi kebangsaan yang telah diletakkan secara khusu dalam negara kita sejak sebelum merdeka lagi (1956) dengan pemberian vaksin DT.

Kita lihat statistik kejadian penyakit Difteria dan Tetanus turun secara mendadak. Begitu juga kita lihat keajayaan negara menghapuskan penyakit cacar (Small pox) yang amat digeruni pada satu ketika dahulu. Cuba kita bayangkan agaknya apakah ketakutan manusia pada ketika itu. Pada tahun 1967, 2 juta kematian dari 43 buah negara mati akibat penyakit cacar. Alhamdulillah setelah program pemberian cacar secara bersepadu dalam negara kita, Malaysia telah berjaya diisytiharkan hapus cacar tahun 1980. Satu perjuangan yang agak panjang. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain seperti Polio, Campak, Rubella dan penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Q6) Wujud golongan yang anti vaksin di Negara kita. Komen Dr tentang golongan ini.

Gerakan anti kepada perubatan moden sebenarnya sudah lama. Konflik antara perubatan emperikal dan moden ini dimulai oleh kumpulan gereja berfahaman ortodoks dengan alasan-alasan tertentu. Kefahaman itu berkembang sehinggalah pada zaman kini. Negara kita juga terpengaruh dengan kefahaman yang tidak berasaskan fakta kukuh itu sekitar 10 tahun lalu. Cuma ianya terus disemarakkan lagi di zaman dunia maya yang tiada sempadan adab. Inilah cabaran besar yang haris kami di KKM untuk terus berjuang agar masyarakat faham konsep, kepentingan dan mashlahat ummah dalam menjaga kesihatan.

Q7) Pejabat mufti Wilayah Persekutuan telah keluarkan fatwa bahawa vaksin adalah halal. Komen Dr.

Saya bersetuju dengan saranan yang telah dikemukakan oleh SS Datuk Seri Mufti Wilayah Persekutuan itu. Usaha padu perlu dilakukan oleh semua pihak dan agensi agar usaha murni ini akan terlaksana. Mungkin proses untuk mewajibkan vaksin itu mengambil masa yang agak lama, tetapi perlaksanaan peringkat demi peringkat harus dijalankan.

Boleh kita lihat contoh perlaksanaan dibeberapa negara jiran seperti di Australia dengan polisi “No Jab, No Pay”. Mereka berjaya menurunkan kejadian campak dan jumlah liputan yang meningkat. Begitu juga dengan negara-negara lain seperti Brunei dan Singapura. Kesungguhan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ini dibuat kerana melihat kepada wabak yang melanda negara. Terbaharu, Itali telah juga dengan tegas meneruskan akta yang telah digubal sejak 2018 lagi, iaitu:

1] Kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun tidak dibenarkan masuk pra-sekolah jika tidak mengemukakan bukti suntikan imunisasi dalam kad kesihatan masing-masing.

2] Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 16 tahun dibenarkan masuk sekolah. Tetapi mana-mana ibubapa yang tidak dapat membuktikan pemberian vaksin anak-anak mereka akan didenda €500.

.

Q8) Ada golongan anti vaksin memilih untuk perubatan homeopati, bagaimana Dr melihat perkara ini.

Kenyataan dari Presiden Homeopati Malaysia, Tuan Haji Zainol Azmi (Sept 2016), bahawa tidak ada vaksin dari globul homeopati. Manakala Persatuan Homeopati British pun mengeluarkan kenyataan yang sama.

Q9) Ada yang mengatakan vaksin penyebab autism, komen Dr.

Kesan sampingan vaksin dikaitkan dengan autism ini adalah yang selalu diperdebatkan. Sudah lebih 20 tahun golongan penentang vaksin menggunakan hujah kajian dari Andrew Wakefield (1998). Walaupun kajian tersebut adalah palsu dan sudah ditarik balik, tetapi mereka masih mengulang-ulangnya. Kerana apa? Sebab sudah tiada kajian yang sama dibuktikan bahawa vaksin penyebab kepada autism. Malah, sudah banyak kajian yang menemui sebaliknya. Kajian seluruh dunia oleh CDC dari cerapan data kes lebih dari 113000 yang diberi vaksin mendapati tiada satu pun dikaitkan mengalami autism. Terbaharu, stata terkini kajian dari Anders Hviid yang telah meneliti 650,000 bayi yang lahir antara 1999 hingga 2010, dan dijejaki mereka sehingga 13 tahun, tiada pun kaitan vaksin dengan kejadian autism.

.

Antara kandungan vaksin yang telah dikaji secara khusus adalah thimerosal, pengawet berasaskan merkuri yang digunakan untuk mencegah pencemaran botol multidose vaksin. Kajian menunjukkan bahawa thimerosal tidak menyebabkan Autism. Malah, kajian saintifik 2004 oleh IOM membuat kesimpulan bahawa “keputusan kajian yang dijalankan tidak menyokong dakwaan vaksin menyebabkan autism”. Sejak tahun 2003, terdapat sembilan lagi kajian CDC yang mendapati tiada hubungan antara vaksin berThimerosal dan autism, dan juga tiada hubungan antara campak, beguk dan rubella vaksin (MMR) dengan autism ke atas kanak-kanak.

.

Sebelum itu, antara 1999 dan 2001, vaksin berthimerosal telah ditarik balik atau dikurangkan jumlahnya dalam semua vaksin kanak-kanak kecuali sesetengah vaksin selesema (vaksin Influeza dalam bentuk multidose – vaksin pilihan bukan wajib). Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga kerana dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan vaksin dengan autism pada tahun berkenaan. Pada masa ini, satu-satunya vaksin kanak-kanak yang mengandungi thimerosal vaksin selsema dibungkus dalam botol multidose vaksin pilihan influenza. Pun begitu disediakan alternatif bebas-THIMEROSAL untuk vaksin selsema.

.

Kajian di Yokohama Jepun juga membuktikan bahawa tiada kaitan vaksin MMR (yang mengandungi Thimerosal pada masa itu) dengan Autisma. Kerajaan Jepun telah memberhentikan vaksin MMR tahun 1993, namun Autism masih tetap wujud dalam populasi di Jepun

.

Q10) Ulasan Penutup.

Marilah bersama-sama kita memberikan khidmat terbaik untuk menjamin kesihatan optima kepada masyarakat.

.

Dr Suhazeli bin Abdullah

fb.com/drsuhazeli

Sri Pentas TV3

Link Video: https://youtu.be/rUL40Hisi6A

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...