Pertemuan dengan Doula

Antara isu yang para doula bangkitkan adalah pihak doktor tidak pernah pun ikuti kelas-kelas doula. Para netizen yang menentang doula pun juga tidak tahu apakah ilmu yang doula berikan semasa kelas dan semasa mendoula.

Tidak kenal maka tak cinta, itulah pepatah yang biasa disebut.

Demi menyahut cabaran ini, Papisma Malaysia mengorak langkah dengan mengadakan pertemuan mahabbah. Saya juga turut hadir dalam pertemuan tersebut. Berikut adalah sedikit catatan saya yang mungkin boleh dijadikan panduan kepada semua.

Pertemuan Papisma dengan Doula Zam

Satu pertemuan muhibbah telah kami jalankan pada 11 Mac 2018 lalu bersama dengan seorang doula di Bangi. Kami ucapkan terima kasih atas kesanggupan Puan Zamzilah Fairuz (DoulaZam) untuk hadir ke pertemuan meja bulat yang dianjurkan Papisma. Di saat rakan-rakan doula yang lain melarang kehadiran beliau, namun beliau nekad dan mengagahi diri untuk memberikan sarwajagat berkaitan doula. Beliau sendiri menegaskan bahawa kehadiran beliau kali ini bukan atas kapasiti kumpulan doula-doula, tetapi ianya atas kesedaran peribadi. Awal jemputan kami adalah tiga orang doula yang dinyatakan dalam website Amanibirth Malaysia. Namun 2 dari mereka menarik diri disaat akhir.

Dengan kerencaman perbahasan isu doula dimedia sosial, tujuan utama pertemuan meja bulat itu adalah bagi mencari titik kefahaman sebenar para doula di Malaysia berbanding dengan amalan para doula di luar negara. Akhirnya ingin memberi impulse positif kepada mereka mengenai hasrat utama slogan yang kami laungkan #SayNoToUnSafeBirth dan meletakkan asas kepada mereka agar Empowering Women for Safe Birth (EW4SB).

Sesi ini bukan sesi pengiktirafan para doula. Malah doula tidak ada kaitan pun mana-mana strata sistem kesihatan Malaysia pada masa kini. Justeru pertemuan ini bukan juga wakil rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia yang membolehkan hasil pertemuan diadaptasikan dalam sistem yang sedia ada.

Kami mendapat maklumat yang jelas dari DoulaZam. Sudah memadai pertemuan ini untuk dibuat kesimpulan bahawa tujuan asal usul doula hanyalah sebagai peneman dan pemberi semangat ibu sebelum, semasa dan selepas bersalin tetapi tidak sekali sebagai ‘advocate’ atau penasihat kaedah bersalin. Malah, didapati banyak gerakerja doula di Malaysia melampaui batas yang asalnya ditetapkan oleh pengasas Amani Birth iaitu Puan Aisha Al Hajjar. Maka lahirlah doula-doula yang ekstrimis serta mula bertindak atas kapasiti peribadi, yang menyebabkan semakin ramai yang menyanggah saranan pakar perubatan dalam bidang ini.

Jelas dan nyata pengakuan yang dinyatakan oleh Puan DoulaZam yang juga seorang berkelulusan undang-undang. Segala maklumat dan perbahasan dalam media sosial sudah di luar pegangan para doula yang sebenar. Tidak sama dengan objektif dan tugasan para doula sebagaimana asas yang diletakkan diperingkat antarabangsa.

Semua setuju bahawa Doula mempunyai peranan dalam membantu ibu-ibu hamil sebelum, semasa dan selepas bersalin. Peranan doula hanya sebagai peneman yang memberi sokongan emosi dan fizikal seperti urutan, dan bukan mengambil alih peranan doktor atau bidan bertauliah. Mereka tidak sesekali boleh terlibat dalam advokasi perawatan pesakit. Banyak kali DoulaZam sebut perkataan itu.

DoulaZam juga membawa beberapa buku rujukan mereka yang telah dikeluarkan oleh pangasas Amanibirth iaitu Puan Aisha Al Hajjar. Pesanan yang kami cuba sampaikan kepada para doula adalah memperbaiki buku ‘garis panduan’ itu kepada yang lebih tepat. Segala penulisan itu perlu diverifikasi dari sudut ketepatan fakta dan rujukan yang absah. Menyebabkan amalan yang diambil oleh para murid-murid doula bukan berdasarkan kepada Evidence Based Medicine.

Tetapi saya lihat ianya lebih kepada nota-nota berstruktur untuk menjawab persoalan yang berkaitan kehamilan, kelahiran bayi dan penjagaan lepas bersalin.

Terdapat nasihat yang diberikan itu tiada pun dalam silibus pembelajaran kedoktoran, kejururawatan atau perbidanan. Bahkan kebanyakan teori, pemikiran dan amalan itu lari dari standard ilmu seluruh pakar-pakar obstetrik & ginekologi seluruh dunia.

Semoga hasrat dan hasil pertemuan ini dapat disampaikan kepada semua doula di Malaysia serta pengikut-pengikut mereka.

Jadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran demi mashlahat ummah, iaitu menjaga nyawa sebagaimana salah satu paksi maqasid syariyyah, hifzunnafs.

Sekian dari Suhazeli Abdullah

Turut hadir dalam RTD #EW4SB

#SayNoToUnSafeBirth

11.3.2018

Amani Hotel Bangi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...