Kisah Bertukar Bayi

Pengalaman saya berkerja di dewan bersalin satu ketika dahulu amat sukar untuk setiap bayi bertukar ibunya. Sebaik sahaja lahir, tali pusat bayi diikat (clamp) dan terus kita unjukkan pada siibu supaya lihat bayi yang baru lahir itu. Kita akan minta siibu sebut secara jelas bahawa bayi itu lelaki atau perempuan. Kemudian setelah tali pusat dipotong, kita beri sekali lagi kepada ibu untuk dakap bayi dan memberi suapan susu kali pertama.

Pendek kata terlalu amat sukar untuk bayi-bayi yang dilahirkan di dewan bersalin itu tertukar atau tersalah beri kepada ibu kandungnya yang sebenar. Mungkin kes-kes terpencil yang tidak pernah kita dengar berlaku di hospital kita, bertukar bayi akibat tersalah letak lebel (tag) di kaki. Setahu saya tak pernah berlaku.

Bertambah pelik apabila terdapat satu viral tulisan yang mendakwa dua orang bayi berlainan jantina tidak dapat disahkan ibu mereka. Diberitakan peristiwa itu berlaku di Amerika Syarikat yang termaju dari sudut teknologi di atas dunia. Negeri mana di Amerika yang berlaku kes ini? Tidak disebut secara jelas. Komang sangat hospital berkenaan hinggakan ujian DNA pun tak boleh buktikan anak yang sah dari sudut biologi siapa ibu atau bapa kandung mereka?

Ayat al Quran surah an Nisa: 11 yang dijadikan dalil bahawa lelaki mempunyai hak dua kali ganda lebih dari perempuan adalah ayat yang menyentuh berkisar dengan hak pewarisan harta. Tiada ulama tafsir yang menafsirkan hak untuk mendapat nutrisi susu ibu lebih antara bayi lelaki mengatasi bayi perempuan. Bahkan ujian yang mengatakan perbezaan susu ibu untuk bayi lelaki vs bayi perempuan adalah tidak konklusif. Keputusan kajian masih lagi tidak dapat menentukan perbezaan dan perlu kajian lanjut dari para saintis yang mengkaji.[1]

Lagipun apa pula alasan yang hendak diberikan kepada bayi dari ibu susuan? Malah Rasulullah saw sendiri pun menyusu dari ibu susuan baginda, Halimah al Sa’diyyah. Kisah masyhur bahawa Rasulullah saw dipelihara oleh ibu susuan sepertimana catatan dalam kitab الانوار في سيرة النبي المختار. Halimah al Sa’diyyah menyusu dan mengasuh Rasulullah SAW selama 4 tahun disebuah perkampungan luar kota Makkah. Dalam kitab السيرة النبوية dan حدائق الانوار dinyatakan setelah dua tahun Halimah membawa Rasulullah SAW kepada bonda baginda tetapi Halimah memohon baginda terus dipelihara olehnya dan bonda baginda setuju dengan permohonan tersebut.

Walaupun Allah menjadikan biologi wanita yang hamil dan melahirkan zuriat jantina setiap anak berbeza, itu adalah mempunyai hikmah tersendiri yang Allah jadikan atas setiap manusia. Hatta setiap kali kehamilan, nutirisi kandungan susu ibu boleh berbeza-beza mengikut peredaran fisiologi badan siibu dan stimulasi yang dirangsang oleh anak. Tetapi berbezaan nutirisi itu bukan menjadi syarat atau dalil kepada pembahagian harta waris setelah siibu menjadi arwah.

Sekian ulasan suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

23.1.2019

Kuala Terengganu

Pautan

[1] Laura Galante et. al. Sex-Specific Human Milk Composition: The Role of Infant Sex in Determining Early Life Nutrition. Nutrients 2018, 10, 1194; doi:10.3390/nu10091194 www.mdpi.com/journal/nutrients

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...