Dapatkan Maklumat Sahih dalam Perubatan

Terima kasih atas kenyataan terbaharu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai maklumat imunisasi.

Kita yang sudah berkecimpung di media sosial sudah banyak menjawab pelbagai isu negatif mengenai vaksin dan banyak lagi isu lain seperti doula, produk sampah dll.

Dengan kenyataan rasmi yang dibuat oleh KKM ini, menunjukkan kesungguhan semua pihak membanteras segala salah faham dan maklumat tidak benar dari pihak-pihak tertentu.

Semoga masyarakat dapat menilai pergerakan mereka yang anti kepada pembungunan manusia itu. Walau atas nama apa pun pergerakan mereka, pertembungan antara pihak yang majoriti benar di Malaysia ini dengan pihak berhaluan kiri, tidak boleh menafikan fakta dan hujah yang telah kita kumpul.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:

Kenyataan Akhbar KPK 22 Januari 2019 – Penyebaran Maklumat Tidak Sahih Berkaitan Imunisasi.

Mutakhir ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati banyak maklumat yang tidak sahih berkaitan dengan vaksin di laman-laman media sosial. Terdapat golongan serta individu yang secara terang – terangan mempengaruhi orang awam untuk menolak vaksin dengan fahaman yang salah melalui penyebaran maklumat yang tidak sahih.

Kebanyakan maklumat tidak sahih mengenai vaksin digembar-gemburkan oleh mereka yang taksub dengan dakwaan bahawa vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak memberi manfaat dan menimbulkan banyak kesan buruk. Pada hakikatnya dakwaan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

KKM sentiasa memantau penyebaran fahaman yang salah terutama di media sosial oleh individu – individu tertentu yang menentang vaksin demi menarik lebih ramai ibubapa menyertai kumpulan mereka. Perbuatan tidak bertanggungjawab golongan ini telah menyebabkan usaha – usaha KKM berdepan dengan rintangan dan kesannya adalah peningkatan kes-kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin. Malahan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

Pemantauan KKM mendapati wujud ibubapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka setelah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan. Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik – klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada tahun 2016. Terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin tahun 2017 iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan oleh KKM secara meluas bersama pelbagai pihak awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan. Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit – penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan dan usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia – sia.

Jelas dilihat, penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin telah meningkat di negara ini, di mana kes demam campak (measles) meningkat daripada 195 kes pada tahun 2013 kepada 1,934 kes pada tahun 2018, iaitu peningkatan sebanyak 891.8% bagi tempoh 5 tahun. Bilangan kes demam campak yang tiada imunisasi meningkat daripada 125 kes (68.7%) pada tahun 2013 kepada 1,467 kes (75.9%) pada tahun 2018.

Pada tahun 2018, KKM merekodkan enam (6) kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi, lima (5) kematian difteria di mana empat (4) kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis), di mana 19 kes tiada imunisasi. Pemberian imunisasi boleh mencegah penyakit – penyakit ini dan mengurangkan komplikasi yang boleh membawa kematian.

Pada ketika ini, Program Imunisasi Kebangsaan mampu untuk mencegah 12 jenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu. Ianya diberikan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak warganegara di klinik – klinik kerajaan sejak tahun 1950an. Dengan program imunisasi dan peningkatan capaian perkhidmatan kesihatan, Malaysia telah berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85% bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup. Imunisasi juga telah berjaya membasmi cacar (smallpox) dari dunia ini. Manakala penyakit polio telah berjaya dibasmi di Malaysia.

This young girl in Bangladesh was infected with smallpox in 1973. Freedom from smallpox was declared in Bangladesh in December, 1977 when a WHO International Commission officially certified that smallpox had been eradicated from that country. Source: Centers for Disease Control and Prevention’s Public Health Image Library (PHIL)

A young girl displaying a deformity of her right lower extremity, which had been the result of her polio infection. Source: Centers for Disease Control and Prevention’s Public Health Image Library (PHIL)

berdosa menolak vaksin

Sumber: Berita Harian

Sehubungan dengan itu, KKM menyeru ibubapa untuk mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda tidak benar mengenai keburukan vaksin yang digembar – gemburkan di media sosial. KKM ingin menegaskan kepada semua pengamal perubatan untuk membantu KKM dalam usaha untuk meningkatkan penerimaan imunisasi. Mana – mana pihak yang mempunyai kemusykilan mengenai vaksin dan imunisasi dinasihatkan agar mendapatkan fakta yang tepat daripada laman sesawang http://www.myhealth.gov.my, www.infosihat.gov.my dan http://immunise4life.my. Ibubapa juga boleh datang ke mana – mana fasiliti kesihatan untuk berjumpa dengan anggota kesihatan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan vaksin dan imunisasi bayi dan kanak-kanak.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Januari 2019

Sumber asal: https://kpkesihatan.com/2019/01/22/kenyataan-akhbar-kpk-22-januari-2019-penyebaran-maklumat-tidak-sahih-berkaitan-imunisasi/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...