Para penggemar ketum melompat gembira apabila terdapat satu laporan akhbar dalam talian yang melaporkan ketum mempunyai khasiat perubatan. Kononnya juga laporan tersebut memetik hasil kajian dari seorang pensyarah di sebuah uiniversiti tempatan Malaysia.

Saya membaca dengan teliti setiap ulasan yang ditulis oleh wartawan itu. Sayugia saya merumuskan bahawa ketum masih lagi berbahaya untuk kegunaan awam. Kajian yang dibuat oleh Dr Rusdi dari Universiti Malaya itu pun masih diperingkat kajian dan memerlukan kajian susul lanjut serta kemas dari sudut methodologi.

Mana mungkin kajian yang berbentuk pemerhatian secara hirisan lintang itu terus boleh mendakwa ketum baik untuk kesihatan dan mempunyai manfaat perubatan? Para pengkaji yang mahir dalam bab statistik kajian tidak akan cepat membuat konklusi yang tidak tepat ini. Kerana akhirnya masyarakat umum akan menyalin tampal kenyataan yang tidak tepat itu diluar dari konteks sebenar. Atau mungkin ulasan wartawan yang tidak memahami kaedah statistik dan metodologi kajian untuk diterjemahkan kepada masyarakat umum?

Penulisan yang diberitakan dalam laman web berkenaan lebih kepada pengalaman seseorang yang berada dilapangan. Pengalaman orang tua-tua menggunakan ketum itu boleh diterima sebagai satu petua yang tiada alternatif lain dalam masa terdesak. Tetapi perlu diingat bahawa Ketum akan menjadi ketagih dan tanda-tanda ketagih mula timbul seawal 28 jam.[1] Oleh yang demikian unsur penyalahgunaan ini perlu dititik beratkan berbanding dengan manfaat yang sedikit. Tambahan pula masyarakat kita di Asia ini terlalu kreatif dalam mengambil ketum sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada badan.[2] Ada diantara mereka yang mencampurkan dengan dadah lain dan bahan-bahan bahaya seperti ubat nyamuk dan sebagainya.

Apa yang merisaukan kami diposisi ahli perubatan adalah, kesilapan kenyataan dari pihak tertentu itu boleh menyebabkan orang awam mendapatkan akses berubat dengan perkara yang masih belum dibuktikan secara emperikal yang sahih. Jika ianya hanya dalam bentuk anekdot dan tiada asas kajian yang kukuh, dibimbangi orang awam akan meletakkan sandaran berubat kepada sumber yang tidak tepat. Sedangkan kaedah untuk merawat penyakit-penyakit yang didakwa itu sudah pun terbina dalam perubatan moden. Badan Berkuasa Ubat pun telah beberapa kali mengeluarkn amaran atas dakwaan dan tuntutan perubatan yang tidak tepat mengenai khasiat perubatan ketum.[3]

Lebih menyedihkan lagi berita yang diluar konteks dan tidak tepat itu disiarkan dalam laman-laman web yang Islamik. Seolah-olah Islam membenarkan mengambil bahan terlarang tersebut. Sedangkan Majlis Fatwa dan Mufti telah pun mengeluarkan hukum bahawa ketum adalah haram. Lihat ulasan yang telah dibuat oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu ini:

” Daun ketum meskipun ada faedahnya, namun mafsadahnya lebih besar dan tidak hairanlah kerajaan Malaysia juga telah mengharamkannya melalui Akta Racun 1952, Seksyen 30 (3) dengan menyebutnya sebagai bahan psikotropik. Ini juga secara tidak langsung kaedah sad al-Zari’ah (menutup jalan-jalan mudarat) telah digunakan bagi membendung permasalahan penyalahgunaan daun ketum.”[4]

Oleh yang demikian, Pada 1 Ogos 2016 bersamaan 27 Syawal 1437H, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak telah memutuskan bahawa cadangan penanaman pokok ketum adalah diharamkan. Ini berdasarkan kepada mafsadah (kerosakan) dan mudarat yang lebih besar berbanding dengan manfaatnya.

Semoga pencerahan ini boleh menjelaskan kekusutan yang berlaku akibat dari kekeliruan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

5.1.2019

Kuala Berang

Pautan:

[1] Marc T. Sweggor. Kratom Use and Mental Heath: Systematic Review. Drug and Alcohol Dependence Jurnal. 2018; 134-140.

[2] Kirk L. Cumpston, DO et. al. Clinical outcomes after Kratom exposures: A poison center case series. American Journal of Emergency Medicine 36 (2018) 134–168

[3] Ketum by FDA. https://www.fda.gov/NewsEvents/Newsroom/PressAnnouncements/ucm620106.htm

[4] Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri. Irsyad al-fatwa ke-124: hukum menanam pokok ketum bagi tujuan Perubatan. http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/1242-irsyad-al-fatwa-ke-124-hukum-menanam-pokok-ketum-bagi-tujuan-perubatan-farmaseutikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTuntutan Palsu dan Auta
Next articleBuang Asid dalam Badan atau Bersedia untuk Mati???
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com