Sudah banyak kali para pakar menegaskan bahawa setakat ini dan sehingga kini penyakit kencing manis belum dapat disembuhkan. Ubatan dan gaya hidup sihat yang disyorkan oleh pengamal perubatan seluruh dunia adalah hanya untuk mengawal paras gula dalam badan pesakit.

Justeru, dakwaan pihak-pihak tertentu yang kononnya rawatan mereka lakukan boleh menyembuhkan penyakit kencing manis adalah terpencil, kajian tidak menyeluruh dan tidak tepat. Malah jika diteliti semula dakwaan mereka, terdapat banyak bias, kecenderungan faktor lain dan konflik kepentingan tertentu.

Saya membaca kajian yang dilakukan oleh Prof Madya Dr Nik Rosmawati dan rakan-rakan dari USM berkenaan rawatan bekam yang berjaya menurunkan paras gula dalam darah pesakit kencing manis. Satu kajian yang bagus untuk dinilai dan tahniah atas kejayaan pasukan beliau mengemukakan bukti berkenaan. Namun tidak ada pun satu perkataan yang menyokong bahawa bekam itu satu-satunya kaedah atau rawatan menyembuhkan kencing manis. Bekam adalah rawatan komplimentari, bukannya rawatan utama dalam menurunkan paras gula pesakit kencing manis mahupun merawat pesakit buah pinggang.

Saya menghubungi sendiri Prof Nik Rosmawati untuk pengesahan. Beliau menyatakan bahawa pihak tertentu telah mengambil hasil kajian beliau itu diluar dari konteks yang sebenar. Malah jika dibaca ayat demi ayat laporan kajian yang beliau tulis serta bentangkan semasa konferens, tiada pun menyatakan bahawa bekam itu penyembuh kepada kencing manis, sakit buah pinggang mahupun penyakit kolesterol dalam darah. Begitu juga penulisan yang dibuat oleh Prof Abdul Aziz Al Safi dalam buku beliau bertajuk ‘Sains Bekam’, kaedah bekam yang beliau sarankan itupun adalah komplimentari kepada rawatan moden.

Para pengkaji akan senantiasa mencari jalan ke arah inovasi baru dalam rawatan. Terbaharu, pakar dari Universiti Miami berjaya menemui kaedah merawat kencing manis dengan menyuntik sel islet (sel asas pankreas). Di mana sel ini akan berfungsi menggantikan sel-sel Islet asal dalam pankreas seterusnya mengeluarkan insulin bagi mengurangkan gula dalam darah.[1] Namun rawatan ini masih lagi diperingkat kajian makmal dan tidak boleh lagi diguna pakai kepada seluruh pesakit di dunia secara meluas. Jika fasa kajian telah lengkap, baharulah pesakit-pesakit kencing manis boleh menggunakan kaedah terbaharu ini.

Begitu juga kaedah inovasi para pakar dari Poland yang menemui kaedah merawat kencing manis melalui pembedahan perut.[2] Satu penemuan yang memberangsangkan. Namun berapa ramai pesakit kencing manis yang sanggup dan mampu menjalani kaedah rawatan ini? Bayangkan seramai 3.49 juta pesakit kencing manis dalam negara kita, adakah mereka sanggup mengambil kaedah ini?Berapa banyak kos akan digunakan? Walaupun penemuan terbaharu itu berhasil dalam satu tahap tertentu, tetapi ianya perlu pula dinilai dari sudut praktikaliti dan kemunasabahan. Adakah ianya berbaloi atau tidak dengan kos dan penyakit yang dihadapi!

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

3.1.2019

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Suntik sel Islet dari Universiti Miami. https://medicine-today.net/first-patient-in-diabetes-trial-is-now-diabetes-free/

[2] Sleeve Gastrectomy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5106379/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleJom RESTART NOW
Next articleTuntutan Palsu dan Auta
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com