Ketum adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh subur di Malaysia. Ianya sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand. Amerika menamakan ketum ini sebagai Kratum. Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.[1] Di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kontorversi mula di timbulkan apabila agensi RISDA mula menyuarakan keinginan mereka menanam ketum atas dasar ingin membantu para pekebun getah yang terhimpit dengan harga getah yang rendah. Harga ketum ini berkali-kali ganda nilainya sehinggakan boleh menjana ekonomi para pekebun kecil terutama di utara tanah air. Alasan yang selalu dikemukakan oleh mereka adalah ketum ini mempunyai tuntutan perubatan dalam merawat pesakit ketagihan dadah jenis opiod. Sandaran yang dirujuk oleh mereka adalah kajian yang telah dilakukan oleh sekumpulan pengkaji dari USM.[2]

Sehingga tarikh ini pihak Polis Di Raja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia masih konsisten dengan akta pengharaman ketum. Malah jika diperhatikan dengan laporan berita-berita yang menjengah ruang maklumat negara kita mendapati pengambilan ketum yang telah disalah gunakan ini banyak menimbulkan mudarat kepada masyarakat.[3] Penglibatan pelajar sekolah dalam penagihan ketum amat memalukan negara.

Sesuatu yang mudarat lebih baik ditinggalkan demi menjaga kepentingan masyarakat umum berbanding dengan manfaat yang sedikit hasil dari penjualan ketum. Andai sekiranya ketum mempunyai nilai perubatan sekalipun, kementerian yang lebih layak mengemukakan cadangan adalah Kementerian Kesihatan Malaysia itu sendiri. KKM sudah pasti mempunyai ramai tenaga pakar yang boleh diarahkan untuk mengenal pasti, mejalani dan memberi pengesyoran yang wajar berkaitan dadah mitraginin ini.

Kenyataan terbaharu dari Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) berkaitan dengan ketum ini adalah, ketum masih mengundang banyak mudarat (Feb 2018).[4]

1) FDA bimbang berkenaan potensi pengeluaran dan penjualan ketum secara komorsial akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan seterusnnya menyebabkan ketagihan. Terdapat laporan yang mengaitkan pengambilan ketum ini penyebab kepada sawan, komplikasi gangguan kesihatan dan terdapat kes kematian.

2) Sehingga tarikh ini tiada lagi dikemukakan laporan yang menyokong penggunaan ketum sebagai produk kesihatan dan melepasi standard perubatan yang dibenarkan. Apa yang berlaku adalah, kajian-kajian yang dijalankan setakat ini baru diperingkat tikus makmal. Jika terdapat kajian yang melibatkan manusia, ianya masih belum terdapat bukti bahawa ianya selamat dan berkesan.

3) Kajian yang dijalankan untuk membuktikan ketum itu sebagai dadah gantian kepada penagih dadah jenis opiod (heroin, morfin) pula menimbulkan satu masalah baharu. Di mana, dadah mitraginin yang terdapat dalam ketum menjadi punca ketagihan dan kebergantungan baharu kepada para penagih. Mereka mungkin berhenti dari mengambil opiod, tetapi mereka pula menjadi ketagih tegar ketum.

4) Kebimbangan pihak FDA ini dibuktikan dengan jumlah kematian akibat ketagihan ketum sebanyak 44 kes. Selain itu terdapat kes yang mengalami masalah gangguan paru-paru, koma dan sawan.

5) Kesimpulan yang dibuat oleh FDA bahawa kesan biologi yang terdapat pada ketum ini tidak boleh sesekali digunakan sebagai alternatif kepada rawatan ketagihan opiod kerana tiada bukti jaminan keselamatan pengambilannya.

Pendekatan yang harus diambil dalam sebuah negara yang merdeka adalah bebaskan diri kita dari unsur-unsur yang mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Laungan untuk membantu para pekebun getah dengan menanam ketum adalah tidak sesuai. Banyak lagi kaedah lain yang boleh dijalankan oleh pihak berkuasa bagi meningkatkan mata pencarian golongan yang berpendapatan rendah ini.

Ketum bukan caranya.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

31.3.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] Kenyataan dari PDRM. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/penjualan-air-ketum-tetap-salah-walau-untuk-perubatan-pdrm-55905

[2] Kajian atas tikus ketagihan opiod. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/25616583/

[3] Pelajar, murid berisiko terjebak dengan ketum. http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/kerajaan-perlu-pinda-akta-daun-ketum-1.719408

[4] Kenyataan FDA berkaitan Ketum. https://www.fda.gov/NewsEvents/Newsroom/PressAnnouncements/ucm595622.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBahaya Air di Rebus Semula?
Next articleBawang Putih Lanang atau Tunggal
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com