Saya membaca mesej viral mengenai tuala wanita yang kononnya beracun dan penyebab kanser wanita. Hairan saya kerana ada pula yang sanggup menyalahkan tuala wanita itu sebagai punca kanser dek kerana salah satu bahan yang terdapat dalam span tuala wanita bernama dioxin.

Setakat ini punca yang terbukti penyebab kanser pangkal rahim wanita adalah kuman Human Papiloma Virus (HPV). Sepatutnya isu kuman HPV ini yang perlu diviralkan bukannya isu bahan kimia yang terdapat didalam tuala wanita. Apa yang saya selidiki, mesej viral yang menuduh tuala wanita penyebab kanser itu disebarkan oleh penjual produk kesihatan terutama produk yang melibatkan alat kelamin wanita.

Dioxin yang terdapat dalam lapisan tuala wanita kononnya punca kepada kanser. Banyak laporan yang tidak tepat disebarkan demi menakut-nakutkan pengguna dari memilih tuala wanita yang berjenama tertentu. Kemudian mereka menyelitkan promosi tuala wanita merekalah yang selamat kerana tidak mengandungi bahan kimia termasuk dioxin.

Sejak sekian tahun isu dioxin ini berlegar dalam dunia internet. Ini kerana manusia terdedah dengan dioxin setiap hari. Pihak berkuasa Makanan (FDA) melaporkan 90% makanan kita terutama tenusu, ikan, daging dan kerang terdedah dengan dioxin.[1] Tetapi pendedahan kepada dioxin yang dikatakan bahaya itu tidak pula mendatangkan kesan negatif kepada manusia secara serius. Kajian demi kajian telah dijalankan bagi memastikan manusia tidak dicemari dengan bahan kimia seperti dioxin dan esbestos.[2]

Tuala wanita dan tampon yang dipakai oleh wanita selalu dijadikan rujukan bahayanya dioxin. Bagi menjadikan lapisan kapas dalam tuala wanita itu putih, pengilang menggunakan klorin dioksida sebagai peluntur. Produk sampingan tindakbalas peluntur dan kapas tersebut menghasilkan dioxin. Isu ini menjadi ketakutan kepada wanita, kerana dianggarkan seseorang wanita menggunakan tuala wanita sepanjang hidup mereka antara 12,000 hingga 17,000 biji. Satu jumlah yang banyak dan jika dikumpulkan semua dioxin yang melekat kepada organ kemaluan wanita, sudah tentu mendatangkan bahaya (dengan syarat wanita tidak pernah sekalipun bersihkan organ kemaluan mereka).

Namun kita berasa lega setelah kajian yang dilakukan oleh pengkaji dari Jepun mengenai isipadu pendedahan dioxin harian ke atas wanita yang menggunakan tuala wanita. Pengkaji Jepun tersebut menganggarkan wanita terdedah dengan dioxin antara 0.000024–0.00042 pg TEQ/kg/d. Bagi menyatakan paras bahaya dioxin dari tuala wanita atau seumpamanya, paras yang minimum adalah 0.7 pg TEQ/kg/d. Ini bermakna wanita yang terdedah dengan dioxin dalam tuala wanita selama ini terlalu rendah berbanding dengan kriteria kemerbahayaan yang disahkan oleh standard antarabangsa. Pendedahan dioxin 0.000024–0.00042 pg TEQ/kg/d di atas adalah 1666 hingga 29,166 kali ganda lebih rendah dari standard bahaya. Memang terlalu kecil peratusannya.[3]

Perlu diingatkan punca kanser adalah bukan kerana memakai tuala wanita atau tampoon ketika haid. Tidak termasuk senarai pun penyebab kepada kanser pangkal rahim, kanser usus, kemandulan, kanser payu dara itu berpunca dari dioxin. Janganlah pula akibat dari ingin mempromosi produk kesihatan kita, terus menuduh tuala wanita bahaya sehingga menakut-nakutkan masyarakat. Jika anda sendiri fobia dengan tuala wanita berjenama dioxin, tidak perlulah memburukkannya dengan pelbagai tuduhan yang tidak sahih. Tidak salah jika anda ingin kembali kepada kaedah tradisional dengan syarat tidak menyusahkan kehidupan seharian.

Terima kasih dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

27.12.2018

Ketengah Jaya

Pautan:

[1]Kesan Dioxin kepada Manusia. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/dioxins-and-their-effects-on-human-health

[2] Tampoon and pads safety. http://www.center4research.org/tampon-safety/

[3] Kajian kandungan Dioxin oleh pengkaji Jepun. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0273230014001755

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleGanja sebagai Ubat?
Next articleDr Riko Muranaka Pejuang Vaksinasi di Jepun
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com