Beria-ia sungguh iklan program tajaan ikim.fm berkaitan produk kesihatan cuci usus. Seolah-olah segala penyakit akan sembuh dengan menggunakan produk mereka sahaja. Sehingga kini pelbagai produk baru yang tumbuh bagai cendawan, menjanjikan manfaat kesihatan seperti membuang toksin badan, membakar lemak, membersihkan kerak usus, mengurangkan letih lesu, menyembuhkan kanser perut dan sebagainya.

Adakah ianya perlu?

Cuci usus ini sudah lama disebut. Popular sekitar tahun 1920 hingga 1930. Kepercayaan perubatan pada masa tersebut bahawa kerak usus yang kotor hasil dari makanan yang tidak hadam akan mendatangkan gejala buruk seperti kanser. Akibat dari kerak usus juga boleh menyebabkan toksin dikeluarkan dan akhirnya badan menjadi lemah, semakin gemuk dan pelbagai lagi kesan negatif.

Sehingga kini tiada lagi bukti sahih yang mendatangkan manfaat besar mengamalkan kaedah cuci usus ini. Ianya hanya kesan psikologi kepada pengguna kerana perut semakin lega kerana tiada najis yang bertimbun. Usus yang sememangnya tempat kekotoran najis tidak sunyi dari tahi. Selagi manusia itu hidup dan makan, tahi akan senantiasa terbentuk.

Secara fitrah fisiologi, usus manusia unik dijadikan Tuhan untuk bertindakbalas. Antara mekanisma tindakbalas badan adalah:

* Bakteria baik dalam usus akan menyahtoksin makanan yang tidak dihadam/serap sepenuhnya

* Hepar / Hati manusia juga salah satu organ yang berfungsi untuk melawan atau menutralkan toksin (jika wujud).

* Lapisan mukus di dinding usus juga pertahanan semulajadi bagi mengelakkan bahan toksid memasuki darah atau sel-sel usus.

* Sel-sel usus akan disalin (sheds) secara semulajadi setiap tiga hari. Mekanisma ini akan menghalang pembentukan bahan berbahaya berkerak.

* Pergerakan peristalsis (alunan usus) juga membantu pembuangan tahi dengan cepat dari usus kecil > Usus besar > kolon > anus.

* Pergerakan peristalsis ini tidak memberi ruang kepada penyerapan calori berlebihan dan akhirnya badan kita menjadi semakin gemuk. Kebanyakan kalori diserap di usus besar dan kecil.

Jika kita mengganggu keseimbangan semualajadi badan ini melalui ‘projek cuci usus’, dikhuatiri akan mendatangkan bahaya baharu pula pada badan. Terutamanya kepada pesakit-pesakit yang telah didiagnos seperti Diverticulitis, Ulcerative colitis, penyakit Crohn’s, Buasir, ketumbuhan usus, baru menjalani pembedahan usus, sakit jantung dan sakit buah pinggang. Ini kerana akan menambahkan mudarat penyakit-penyakit tersebut.

Beringatlah sebelum kena!

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

16.3.2017

Kuala Berang

Sumber: Natural Colon Cleansing: Is It Necessary? http://www.webmd.com/balance/guide/natural-colon-cleansing-is-it-necessary

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTrauma Healing di Palu Beri Kesan Mendalam
Next articleWaktu Asid Perut Keluar
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com