Isu Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) sememangnya senantiasa hangat jika dibincangkan dalam dunia maya. Ini kerana kumpulan LGBT ini sudah mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pelbagai bentuk. Secara umum terma lesbian, gay, biseksual adalah lebih dekat dengan orientasi seks secara songsang dan dikaitkan dengan aktiviti negatif yang mereka lakukan dalam kehidupan. Manakala transgender pula melibatkan kecelaruan pemikiran yang seseorang itu keliru tentang identiti jantina diri. Satu lagi kekhuatiran kita sebagai masayarakat umum adalah semakin membiak golongan lelaki yang melakukan seks sesama lelaki (Men Sex with Men – MSM). Walaupun ianya hampir sama dengan kumpulan Gay tetapi keterampilan mereka ke arah gay tidak di lihat pada mata kasar. Akhir-akhir ini muncul satu lagi kumpulan yang mempersoal kejantinaan mereka — Intersexual Questioning (IQ). Kewujudan mereka adalah ibarat puncak kecil dari bongkah ais yang lebih besar kepada permasalahan keseluruhan yang mendasar serta berakar umbi dalam masyarakat mengenai isu LGBTIQ ini.
Dunia melihat aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan LGB itu sebagai sesuatu yang perlu dibendung kerana sudah banyak terbukti membawa penyakit seperti yang kita sendiri lihat dalam negara. Laporan dari Global AIDS Response Progress (Malaysia) 2016, mendapati perbandingan ketara jangkitan baharu HIV melalui transmisi seksual berbanding transmisi penggunaan jarum suntikan dadah. Pada tahun 2016 sahaja sebanyak 2864 (84%) kes transmisi HIV akibat hubungan seks berbanding 377 (11%) transmisi HIV melalui suntikan jarum. Amat membinbangkan juga, pecahan dari transmisi hubungan seksual itu mendapati 1553 (54.2%) adalah di kalangan homoseksual/biseksual. Jumlah ini dilaporkan meningkat setiap tahun sejak dari 2015 lagi.[1] laporan yang sama juga mendapati anggaran penduduk yang mengamalkan MSM seramai 170,000 orang.
Sekaligus kita boleh menyimpulkan bahawa kegiatan homoseksual lebih mendatangkan mudarat besar dari sudut sosial dan kesihatan. Gejala jangkitan penyakit seksual lebih tinggi dikalangan pelaku homoseks sebagaimana kajian yang dilakukan oleh Franklyn N et al. Penyakit seperti Gonorea, Sifilis, Herpes dan pelbagai lagi meningkat berkali ganda dikalangan para pelaku homoseks.[2] Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC juga melaporkan punca utama (83%) jangkitan sifilis adalah melalui homoseks.[3] dan banyak lagi kajian rentas yang dijalankan, membayangkan bahawa aktiviti yang berkenaan banyak mendatangkan kemusnahan fitrah sebagai manusia. Kita tidak perlu melihat angka-angka ini dengan bersahaja, tanpa rasa cetusan hati bahawa sesuatu harus dilakukan bagi menyelamatkan negara kita dari terus dilanda fenomena negatif ini.
Kita tidak menafikan bahawa usaha yang begitu gigih para pengamal perubatan bagi mengekang gejala HIV. Dengan pelbagai kecanggihan teknologi dan kepesatan perubatan, penyakit HIV boleh dikatakan berjaya dikurangkan.[4] Namun dalam masa yang sama, aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV atau jangkitan penyakit kelamin yang lain dikalangan masyarakat perlu dibendung. Kita selalu mengalu-alukan mana-mana pihak untuk berkerjasama bagi menyaring, memberi khidmat kaunseling dan merawat para mangsa yang belum/telah dijangkiti oleh penyakit berjangkit itu. Initiatif yang besar telah dilakukan oleh sesetengah pihak bagi mengurangkan jangkitan penyakit terutama HIV.[5] Ruang yang luas diberikan untuk menuju ke arah HIV sifar. Antara initiatif yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah mengurangkan stigma golongan LGBT untuk terus mendekati premis kesihatan bagi saringan, kaunseling dan rawatan.[6]
Terbaharu, WHO cuba membuka ruang kepada Transgender agar diklasifikasikan sebagai bukan penyakit mental. Sejak tahun 1990 lagi WHO meletakkan transgender sebagai berpenyakit mental.[7] Usaha yang berterusan dari pihak yang vokal menyokong gerakan ini agar istilah LGBT dihapuskan dalam kamus kesihatan sedunia. Sehinggalah pada tahun 2013 “gender identity disorder” telah dibuang dari definisi transgender sebagai salah satu penyakit mental dalam DSM-5.[8]
Apakah solusi yang boleh dilakukan? Pihak perubatan dan kesihatan, teruskan dengan kempen-kempen kesedaran, saringan, kaunseling, rawatan dan rehabilitasi supaya penyakit-penyakit yang senang berjangkit melalui aktiviti tidak sihat itu terus dibendung. Usaha ini perlu dilakukan oleh semua pihak. Tidak perlu diskriminasi dizahirkan terhadap golongan LGBT supaya mereka mendapat peluang untuk akses kepada khidmat perubatan dan kesihatan. Melalui pengamatan yang saya lalui, para pengamal perubatan tidak pernah mendiskriminasi (dari sudut akses perubatan dan kesihatan) terhadap sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti tidak sihat seperti pengambilan dadah, seks bebas,dan seumpamanya. Hatta termasuk kepada golongan LGBT, mereka boleh hadir dengan bebas ke premis-premis kesihatan untuk saringan, rawatan dan seumpamanya. Sesuai dengan kod etika perubatan yang dipegang oleh setiap pengamal perubatan seluruh dunia — merawat tanpa prejudis. Perbuatan songsang yang mereka lakukan itu adalah urusan mereka dengan Tuhan dan masyarakat. Jelas.
Namun dalam masa yang sama, pengamal perubatan mempunyai hak untuk terus menegur mereka dari terus melakukan aktiviti terkutuk seperti, homoseksual dan biseksual. Modul-modul yang dibangunkan diperingkat kebangsaan berkaitan dengan isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, merokok dan sebagainya digunapakai bagi memberi ruang kepada pangamal perubatan mengambil bahagian dalam mencegah gejala sosial itu terus merosakkan anak bangsa. Perkara ini tidak perlu dipandang remeh kerana, pengamal perubatan mempunyai akses yang paling tinggi jika golongan yang berisiko itu hadir bagi mendapatkan rawatan. Peluang (opportunity) ini perlu digarap bagi melengkapkan perawatan secara holistik.
Secara tanggungjawab sosial pula, pihak berwajib perlu berhemah dalam menangani isu. Kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mengiktiraf golongan LGBT tidak sepatutnya dikeluarkan. Tatasusila dan suasana negara Malaysia agak berbeda dengan dengan negara barat, kerana Malaysia masih lagi mengekalkan nilai keagamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Jika diukur dari sudut syariat pun, aktiviti homoseksual, biseksual adalah haram. Terdapat hukum khusus dijatuhkan bagi pelaku perbuatan terkutuk itu. Semoga negara kita terselamat dari bala yang akan menimpa jika kita sendiri tidak mencegah kemungkaran yang berlaku depan mata.
Sekian komen dari suhazeli.com
8.8.2018
Jerangau
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleAnak Sawan Tarik, Apa Perlu Anda Buat?
Next articleAdakah Khunsa itu Sama dengan Transgender?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com