, ,

Penjelasan Sdr Rahman Baco Isu Vaksin Haram

Terima kasih Sdr Rahman Baco yang buat penjelasan.

Buku beliau itu saya dapat hadiah dari seorang pesakit yang menolak semua kaedah perubatan moden termasuk vaksin. Apabila beliau hadir diklinik, hanya untuk buat pemeriksaan tekanan darah, gula dll sahaja. Namun saya beri cadangan untuk beliau makan ubat atas penyakit yang beliau hadapi, ditolak nya.

Berlaku beberapa kali sesi konsultasi saya dengan beliau dan selalu menjadikan buku Abd Rahman sebagai rujukan. Akhirnya beliau hadiahkan saya buku tersebut. Saya baca dan teliti satu persatu. Bab vaksin yang dipaparkan saya sudah pun buat penjelasan bahawa KKM tidak menggunakan jenis yang disebutkan itu. Tetapi seperti biasa, golongan yang liat dengan ubatan moden ini akan mencari seribu alasan.

Saya juga menjawab isu maqosid syariah dan kepentingan darurat dalam menjaga mashlahat ummat. Namun golongan yang fixed minded vaksin itu haram sudah tidak mahu terima hujah yang dikemukakan. Hatta tulisan para mufti pun mereka bakul sampahkan.

Hakikat yang mesti diterima bahawa Tiada seorang pun mufti di Malaysia yang menolak vaksin.

Hakikatnya juga semua persatuan pakar-pakar perubatan seluruh Malaysia mengesyorkan vaksin.

Hakikatnya juga ulama juga menyokong vaksin.

Sebaliknya pihak yang selalu menakutkan orang ramai dalam isu vaksin pula terdiri dari akaun palsu facebook atau individu yang tidak ada autoriti bercakap hal-hal perubatan dan hukum.

Boleh baca penjelasan Sdr Rahman:

PENJELASAN PENULIS MENGENAI ISU VAKSIN MMR II DAN VARIVAX MENGANDUNGI BAHAN HARAM

Penjelasan ini adalah berkaitan isu vaksin MMR II (Measles, Mumps, Rubella) yang tular di socmed dan menjadi perbincangan ramai netizen dan pengamal perubatan.

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini adalah versi kedua daripada buku pertama saya “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” yang diterbitkan pada tahun 2010.

Tujuan penulisan dan penerbitan buku ini adalah untuk memberikan panduan dan rujukan kepada pengguna (pesakit) dan juga pengamal-pengamal perubatan mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita ambil dan apa pilihan alternatif yang ada.

Selain itu, buku ini juga bertujuan untuk:

1. Memberi kesedaran kepada pengguna mengenai Hak Pengguna untuk membuat pilihan dan keputusan “Informed Choice” daripada maklumat yang lengkap dan tepat. Pengguna berhak tahu apa kandungan dalam ubat-ubatan yang diberikan kepada mereka dan apa pilihan ubat yang lain sekiranya mereka menolak ubat tersebut.

2. Memberi kesedaran kepada pengamal perubatan (doktor, ahli farmasi, jururawat dan yang lain) untuk mengambiltahu mengenai kandungan ubat-ubatan yang kita berikan dan apa jenama-jenama ubat pilihan yang kita ada.

ISU VAKSIN MMR II

Saya sertakan gambar mukasurat 118 dan 152 daripada buku asal “Ubat Daripada Sumber Babi & Pilihan Alternatif” sebelum diedit dan diterbitkan.

Pada asalnya, saya menyenaraikan jenama-jenama pilihan ubat alternatif lain yang ada di dalam buku ini. Tetapi sebelum buku ini dicetak dan diterbitkan, Pihak Syarikat Farmaseutikal telah meminta saya untuk mengeluarkan atau tidak menyebut jenama ubat alternatif mereka kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah saya mempromosikan jenama ubat syarikat mereka dan menidakkan jenama ubat syarikat yang lain.

Jadi, buku yang diterbitkan tidak menyebut secara spesifik jenama ubat pilihan alternatif yang ada dan saya tambahkan daripada mana saya perolehi sumber maklumat mengenai kandungan ubat-ubatan ini.

DI MANA NAK DAPATKAN BUKU NI ?

Buku “Halalkah UBAT ANDA” ini hanya dicetak sebanyak 10 000 naskah pada tahun 2010, telah habis dijual di kedai-kedai buku dan diedarkan secara percuma semasa Perbincangan Meja Bulat Ubat-Ubatan Dari Sumber Haram.

Sebelum ini, saya hentikan sementara cetakan semula buku ini kerana dapati Maklumat dan Buku ini banyak disalah gunakan oleh pihak tertentu dan menyimpang daripada tujuan asalnya seperti:

1. Buku ini digunakan untuk mempromosikan rawatan-rawatan alternatif tertentu dengan menolak perubatan konvensional (moden).

2. Buku ini digunakan untuk menjual dan mempromosikan produk kesihatan tertentu dengan menolak ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dan ahli farmasi.

3. Buku ini juga digunakan oleh kumpulan yang menolak pemberian vaksin sepenuhnya dan menggunakan buku ini untuk mempengaruhi pengguna lain.

Saya sendiri mengambil vaksin, anak-anak saya semua diberikan vaksin. Isteri saya pun diberi vaksin dan juga mengambil vaksin tambahan kerana beliau juga merawat pesakit-pesakit yang dijangkiti penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin ini.

Sebagai tambahan maklumat di dalam buku “Halakah UBAT ANDA”. Saya petik tulisan daripada Mufti Wilayah Persekutuan di bawah mengenai Hukum Penggunaan Vaksin ini sebagai rujukan saya dan pembaca semua.

Penjelasan oleh,

Rahman Baco, Pharmacist

Penulis “Halalkah Ubat Anda”

Follow: www.fb.com/rahmanbaco.rx

.

.

.

HUKUM PENGGUNAAN VAKSIN

Dalam hal ini, jika diperbuat daripada bahan yang bersih dan suci, maka ia diharuskan

Jika diperbuat daripada bahan yang najis, ia terbahagi kepada dua:

Jika di sana ada alternatif lain, maka tidak boleh menggunakan vaksin yang najis. Ini kerana sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ R.Anhu yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.”

Jika di sana tidak ada alternatif yang lain, ia dibolehkan kerana ia termasuk dalam perkara darurat.

Terdapat beberapa kaedah yang digunakan dalam hal ini.

Kaedah الضرورات تبيح المحظورات iaitu mudarat mengharuskan yang haram. Tetapi kaedah ini diikat dengan kaedah lain iaitu الضرورات تقدر بقدرها yang bermaksud mengambil darurat cukup yang perlu sahaja.

Dalam penetapan hukum yang melibatkan penggunaan konsep dharurah, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepertimana berikut:

Dharurah itu memang benar-benar berlaku, bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa atau pun harta benda.

Kalau kekhuatiran itu berdasarkan andaian, anadaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

Orang yang berada dalam keadaan dharurah itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudharatan itu. contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia measti memilih pinjaman tanpa riba’ kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba’.

Orang yang dalam keadaan dharurah (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara ang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi syariat Islam dan usul akidah Islam, seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).

Ini bererti jika melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, Cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudharat yang lebih ringkas dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.

Ketika melepaskan keadaan dharurahnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan dharurah diukur dengan tingkatannya.

Dalam isu tepaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil. Lihat Penentuan Produk Halal-Haram dan Fatwa Vaksin di Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Nurdeng Deuraseh, UPM.

.

.

Penutup

Antara bukti yang menunjukkan Islam amat menitik beratkan penjagaan kesihatan adalah seperti berikut:

Meletakkan kesihatan adalah sebaik-baik nikmat selepas nikmat iman.

Meletakkan konsep mudah dan menolak kesukaran di dalam syariat Islam.

Nas-nas yang banyak mengenai pencegahan penyakit.

Perintah untuk mendapatkan rawatan dan keharusan berubat dengan menggunakan benda haram.

Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada kehidupan seluruh umat manusia.

Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.

Fenomema ibubapa enggan memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka di klinik-klinik adalah amat membimbangkan. Perbuatan ini bukan sahaja merbahaya kepada anak-anak yang merupakan generasi masa depan kita, tetapi juga boleh menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit-penyakit merbahaya tersebut.

Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta.

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.

Semoga dengan pencerahan ini kita tidak ragu lagi dalam mengizinkan penggunaan vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maslahat dalam kalangan kita.

Sumber tulisan:

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Baca artikel penuh mengenai isu vaksin ini melalui link di bawah:

http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2069-30

P.S. Mohon SHARE artikel dan post ni kepada kawan-kawan lain untuk rujukan bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply