,

Wujud ke Detox?

Masyarakat sering keliru dengan perkataan nyah-toksin atau bahasa inggeris adalah detox. Pemahaman yang kita perolehi dari pihak-pihak tertentu bahawa badan kita banyak toksin yang perlu dikeluarkan atau dibebaskan. Katanya toksin-toksin ini merbahaya. Ianya terbentuk hasil dari makanan kita yang banyak bahan kimia, udara kotor persekitaran yang kita sedut atau suntikan ubat hospital yang kita terima termasuk vaksin. Oleh yang demikian pelbagai produk dicipta bagi menyah-buang toksin-toksin tersebut. Dalam masa sama mereka membuat demonstrasi pembuangan najis yang keluar dari perut. Hasil yang keluar pelbagai rupa dan warna itu adalah kesan positif nyah toksin yang dijalankan oleh produk mereka.

.

Ramai sungguh yang tertipu dengan ekperimen ‘sains’ yang dilakukan. Ekperimen yang dilakukan adalah produk mereka boleh melunturkan larutan berasid kepada alkali.

Sememangnya perut itu tempat najis, apabila makan bahan tertentu, sudah pasti najis akan keluar. Samada lawas atau kesat najis tersebut bergantung juga kepada jenis makanan yang ditelan. Jika kandungan fiber banyak dan air yang mencukupi, maka lawaslah buang air besar. Tiada kaitan pun dengan keajaiban produk tertentu kecuali produk berkenaan banyak kandungan fiber atau dicampur dengan ubat pelawas.

Setelah air besar dibuang, perut kita akan lega dan berpuas hati. Itu satu fenomena yang lumrah. Tiada satupun yang ajaib dari sudut perubatan. Efek psikologi sudah terbentuk bahawa toksin telah dibuang melalui kaedah itu. Entah mungkin produk yang dijual itu dicampur dengan julap, kita pun tidak tahu.

Makna toksin itu merujuk kepada sejenis yang dikeluarkan oleh sel hidup atau bakteria. Ia boleh terbentuk secara semulajadi atau dibuat dikilang secara sintetik. Badan manusia cukup kebal untuk dimasukki oleh toksin kecualilah kita sengaja memasukiannya secara aktif. Contoh toksin yang berbahaya seperti botulinum toxin A (dari bakteria bernama Clostridium botulinum), tetanus toxin A (dari bakteria – Clostridium tetani), diphtheria toxin (dari bakteria – Corynebacterium diphtheriae), dioxin (sintetik), muscarine (dari sejenis cendawan – Amanita muscaria), bufotoxin (dari labah-labah – genus Bufo) dan sarin (sintetik).[1] Justeru, darah dan badan dalaman kita bebas dari toksin. Jika kemasukan toksin bakteria atau sintetik, badan kita akan bertindakbalas dengan segera. Andai badan tidak mampu melawan, antidot (ubat untuk melawan toksin) boleh digunakan. Manakala vaksin yang diberikan itu bukan toksin, ianya adalah toksoid. Sejenis bahan yang telah dilemahkan kefungsiannya tetapi molekulnya dikenali oleh badan bagi menghasilkan sel imuniti. Toksoid ini berfungsi untuk merangsang sel pertahanan badan supaya kuat untuk melawan kuman sebenar jika satu hari nanti tubuh kita diserang.

Mungkin istilah toksin itu merujuk kepada bahan kumuhan atau radikal bebas dalam darah yang tidak diperlukan oleh badan. Detox pula merujuk kepada kaedah membuang bahan kumuh tersebut. Urea, najis dan kesemua bahan kumuh itu dibuang oleh badan kita secara fitrah. Manusia akan kencing, berak dan berpeluh untuk menyeimbangkan badan dari berlebihan bahan kumuh.

Makanan kalori rendah dan berserat tinggi mungkin boleh membantu perkumuhan membuang sisa najis dalam usus kita. Apa sahaja makanan yang tinggi serat dan dicampur dengan air yang sepadan sudah mampu untuk menjalankan aktiviti perkumuhan.[2] Begitu juga makanan yang tinggi anti oksida seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh membantu mengikat radikal bebas dalam darah. Radikal bebas yang tidak digabungkan dengan antioksida seperti vitamin E, beta-carotene, vitamin C, selenium dan lain-lain lagi boleh membuatkan sel-sel tubuh kita musnah sedikit demi sedikit. Radikal bebas ini dikatakan mempunyai risiko kepada tercetusnya kanser dalam tubuh kita dalam satu tempoh tertentu.

Adakah ‘detox’ seperti yang disebut ramai itu boleh menyembuhkan penyakit dan menurunkan berat badan?

Dr Klien dan rakan-rakan telah membuat rebiu kajian-kajian klinikal yang mendakwa bahawa detox baik untuk kesihatan dan menurunkan berat badan. Dr Klien mendapati terlalu sedikit kajian yang menyokong dakwaan berkenaan. Kajian Detox yang dijalankan secara komersial pula tidak dijalankan oleh pengkaji yang mahir serta terdapat fakta yang disangsikan dari sudut metodologi dan saiz sampel yang digunakan. Kebanyakannya kajian-kajian tersebut dijalankan ke atas haiwan; fasa pra klinikal makmal dan tidak melepasi fasa kajian klinikal manusia pun. Mereka membuat kesimpulan bahawa masyarakat perlu diberi penerangan secukupnya berkaitan potensi manfaat atau mudarat sesuatu program detox yang dianjurkan.[3]

Sudut psikologi, ya peserta detox akan rasa puas, tetapi apa yang boleh berlaku jangka panjang? Sama-sama kita fikirkan.

Terdapat juga para penjual produk yang mendakwa produk mereka detox kepada paru-paru, hati, usus dan jantung. Mereka memberi nasihat kepada pelanggan untuk mengamalkan petua-petua tertentu sebagai pengubatan penyakit-penyakit.

Contohnya:

1) Petua bangun dinihari dan menghirup udaranya. Katanya pada waktu dinihari udara mengandungi banyak ozon, ianya baik untuk pesakit asma. Sebenarnya kita menggunakan Oksigen untuk bernafas, bukannya OZON. Mana-mana waktu pun oksigen adalah sumber tenaga bagi kita hidup samada berpenyakit asma atau tidak. Kesukaran bernafas bagi pesakit asma adalah kerana sempitan pada salur pernafasan, ia berpunca dari pelbagai pencetus. Cuaca sejuk mungkin salah satu darinya.

2) Petua membuang air besar wajib dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur di pagi hari. Jika kita tidak berbuat demikian najis akan mengeras dan kita akan dijangkiti penyakit sembelit.

Untuk pengetahuan semua sembelit atau tidak seseorang bukan bergantung kepada waktu bangun. Ia bergantung kepada komposisi makanan yang di makan atau penyakit yang dihadapi (jika ada). Begitu juga mandi air sejuk tidak pasti boleh menghilangkan gugup dan sebagainya. Mungkin sesetengah individu menjadi tabiat kehidupan untuk membuang air besar pada awal pagi. Baik, teruskan tidak menjadi halangan yang besar. Tetapi janganlah beranggapan tabiat itu pencegah kepada penyakit-penyakit yang merbahaya.

3) Petua makan sarapan pada waktu yang tetap. Tetapi ia bukanlah satu kewajiban untuk berbuat demikian. Memanglah sarapan perlu diambil waktu pagi. Ia boleh memberi sumber tenaga kepada kita untuk bekerja. Tetapi tidak perlu ditetapkan waktunya. Jika tidak ikut masa yang disarankan tersebut boleh mendatangkan mudarat, susah la kehidupan kita. Bagi orang berpuasa, Islam menetapkan makan sahur sebelum terbit fajar. Adakah sunnah itu tak susuai?

4) Petua mengharamkan minum air diwaktu matahari menegak. Kononnya organ limpa tidak dapat berfungsi waktu panas terik matahari. Ini satu lagi nasihat yang tak benar. Badan kita memerlukan air secukupnya terutama diwaktu panas matahari semakin meninggi. Tiada kaitan makan dan minum pada waktu ini boleh menyebabkan demam. Bagi pesakit DM pula yang mengalami tanda hypo, wajib mengambil minum atau makan yang bergula utk mengembalikan tenaga.

….dan seterusnya..banyak nasihat yang tak kena dengan fakta sebenar perubatan. Cuma berbentuk andaian sahaja.

Saya yang dhaif

Masih mancari sekelumit ilmu

Sekian untuk kali ini dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

Lombok.

Pautan:

[1] Poison and Toxin. https://www.sciencelearn.org.nz/resources/364-poisons-and-toxins

[2] Dr Kathlen M. Zelman. The Truth About Detox Diets. https://www.webmd.com/diet/a-z/detox-diets

[3] Klein AV, et al. J Hum Nutr Diet. 2015. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/25522674/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply