,

Vaksin MR Haram?

Isu yang sengaja dibangkitkan oleh golongan penentang vaksin MR (Measles dan Rubella) di Indonesia mula merebak ke negara Malaysia.

Kisahnya, Kerajaan Indonesia telah memulakan pemberian vaksin MR terhadap anak-anak mereka sejak sekian lama.[1] Sebanyak 57.8 juta dos vaksin itu telah berjaya diberikan di 7 wilayah Tanah Jawa. pengumuman terbaharu kerajaan untuk meluaskan imunisasi terhadap lebih dari 31.9 juta penduduk luar Tanah Jawa september lalu menjadi polimik penentangan.[2] Walaupun pihak kerajaan telah membuat kenyataan keharusan menggunakan vaksin MR tersebut, masyarakat masih lagi tidak memahami kepentingan pemberian vaksin kerana masih stigma dengan isu vaksin haram. Penentangan dikatakan ramai dikalangan masyarakat muslim yang mendakwa vaksin MR yang di import dari Bio Pharma India itu mengandungi gelatin babi. Di atas kekangan ekonomi dan politik tertentu, kerajaan Indonesia mengambil langkah meneruskan pemberian vaksin MR ini. Bahkan pihak berkuasa Indonesia sendiri telah merujuk kepada para ulama dalam isu yang dibangkitkan itu.[3] Para ulama sepakat dalam mengharuskan pemberian vaksin MR tersebut atas dasar menghalang mudarat yang lebih serius. Kenyataan telah dibuat oleh Majlis Ulama Indonesia bahawa harus penggunaannya.[4]

Penentang tegar vaksin di Malaysia pula mengambil kesempatan ini untuk terus menaruh kekeliruan vaksin yang digunakan dalam negara kita. Mereka juga sengaja beralasan anak mereka sihat afiat tanpa pemberian vaksin dan mula mendabik dada bahawa vaksin itu hanya omongan para doktor dan pihak berkuasa sahaja. Sedangkan kita pun semua tahu bahawa vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella) di Malaysia adalah halal.[5] Negara kita tidak menggunakan vaksin MR ke atas bayi berumur 9 dan 12 bulan di premis kesihatan. Sebaliknya KKM menggunakan MMR berjenama Priorix.

Kita pun tahu bahawa golongan antivaksin biasanya sengaja beralasan, walaupun sudah banyak fakta diberikan kepada mereka. Antivaksin hanya mendakwa menolak satu jenis vaksin yang dimomokkan haram itu, sedangkan vaksin lain yang sudah jelas dinyatakan dalam fatwa kebangsaan pun mereka menolaknya. Ini adalah alasan kurang cerdik, berselindung disebalik ilmu fekah agama semata-mata takut dicucuk jarum. Seolah-olah mereka lebih hebat dari para alim ulama yang berada dalam majlis fatwa itu sendiri.

Konsep vaksin adalah pelindung kepada anak-anak yang cenderung (vulnerable) dijangkiti kuman berbahaya. Tidak dinafikan vaksin itu bukan 100% mencegah, tetapi anak-anak yang tidak diberikan vaksin, mereka terdiri dalam kelompok 5% terlindung. Jika liputan pemberian vaksin meluas, peluang untuk kuman berbahaya masuk menyerang akan berkurangan. Inilah pertimbangan risiko-manfaat (risk-benefit) yang selalu para doktor bincangkan dengan para ibubapa semasa pemberian vaksin. Sama juga dengan larangan para doktor supaya tidak merokok. Antara risiko merokok adalah kanser paru-paru dan banyak penyakit lain lagi. Tetapi ada manusia yang kurang cerdik membandingkan bahawa terdapat orang tua dikampung mereka yang hisap rokok sejak belasan tahun hingga umur mencecah 80-an, tapi tidak kena kanser atau mati awal pun!

Saya mengharapkan masyarakat lebih cerdik dengan mengambil maklumat tepat dari pihak yang bewibawa dalam isu sebegini. Bukannya membaca tulisan dari pihak yang tidak bertanggungjawab untuk terus mengelirukan masyarakat. Jika mereka sendiri tidak tidak melihat mashlahat umat ini penting bagi menjamin kesejahteraan kesihatan, bagaimana ini memandu umat?

Sekian

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

Kuala Berang

10.9.2018

Pautan

[1] MUI bolehkan kegunaan MR kerana darurat. https://www.bbc.com/indonesia/indonesia-45248643

[2] Biopharma MR Vaccine diharuskan oleh Majlis Fatwa. https://en.tempo.co/read/news/2018/08/02/055920455/Bio-Farma-MR-Vaccine-Used-in-Muslim-Countries

[3] Kesatuan ulama haruskan penggunaan vaksin. http://www.vaccinesafety.edu/Porcine-vaccineapproval.htm

[4] Fatwa MUI isu MR. http://m.kbr.id/berita/08-2017/kemenkes__vaksin_mr_tidak_haram__tapi_sertifikasi_halal_butuh_proses/91882.html

[5] Vaksin Halal di Malaysia. https://today.mims.com/moh-vaccines-in-malaysia-are-halal-and-must-be-administered-to-children

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply