Pastikan jika anak anda demam, tidak mempunyai tanda-tanda penyakit campak (Measles). Tanda-tanda klasikal bagi kanak-kanak yang diserang demam campak adalah:

1- Demam sehingga mencecah 38.0 C

2- Batuk

3- Selsema / hidung berair

4- Mata merah (radang konjuntivitis)

5- Ruam merah bermula di bahagian muka kemudian merebak ke seluruh badan. Biasanya ruam itu terjadi pada hari ke 3 demam.[1]

6- Pengidap penyakit campak akan juga mengalami gatal mata, pening, sakit urat, kerengsaan kerongkong dan pembengkakan kelenjar.

Demam campak adalah sejenis jangkitan virus yang boleh merebak dengan cepat terutamanya di pusat asuhan kanak-kanak. Tempoh minggu pertama serangan campak ini amat mencabar ibubapa yang menjaganya. Kanak-kanak akan merengek, kurang selera makan dan tidak dapat tidur malam.

Kesan serius yang menakutkan akibat penyakit campak ini adalah kematian. Dicatatkan pada tahun 2013, terdapat 145700 kematian akibat campak seluruh dunia.[2] Pecahan ini mencatatkan 400 kematian bagi setiap hari dan 16 kematian setiap jam. Satu angka yang amat menggerunkan.

Empat perkara penting yang wajib anda tahu mengenai keseriusan demam campak.

1- Ianya boleh membawa maut jika tidak bertindak dan diuruskan dengan baik. Fakta mendapati komplikasi serius boleh berlaku terhadap kanak-kanak yang berumur kurang dari 5 tahun. Satu dari empat kanak-kanak yang diserang campak akan dimasukkan ke wad akibat keterukan penyakit. Satu dalam seribu kes demam campak mempunyai risiko bengkak otak dijangkiti virus dan satu atau dua kes dari seribu meninggal dunia. Menunjukkan pengesanan dan pengurusan kes demam campak perlu dijalankan sebaik mungkin. Jangan sesekali memandang enteng pemeriksaan para doktor dan rawatan yang dijalankan.

2- Virus campak paling senang merebak. Hanya dengan batuk, bersin atau pernafasan pesakit yang sudah dijangkiti di tempat yang tertutup boleh menjadi wabak. Sembilan dari sepuluh orang lain berisiko dijangkiti dalam sesatu kes yang positif. Pembawa yang dijangkiti mungkin boleh timbul tanda-tanda serangan atau menjadi pembawa virus sahaja. Ianya bergantung kepada tahap imuniti badan masing-masing.

3- Peningkatan kes penyakit Campak sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Sebagaimana laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada bulan Jun 2015 bahawa kes penyakit Campak (measles) di WP Kuala Lumpur sebanyak 73 kes. Kes berkenaan disahkan positif dihinggapi kuman Campak melalui ujian darah. Julat umur kes tersebut antara sebulan sehingga 43 tahun. Lebih menyedihkan majoriti (79%) daripada kes tersebut didapati tiada suntikan vaksin Campak (measles).[3] Begitu juga kes wabak penyakit Campak ini di Kuantan Pahang yang melibatkan sebuah sekolah agama, didapati liputan pemberian imunisasi Campak tidak mencapai 85% di lokalliti terbabit. Dengan ertikata lain, tiada lindungan Imuniti Berkumpulan (Herd Immunity) ke atas kanak-kanak di lokaliti berkenaan. Menyebabkan wabak penyakit berjangkit berbahaya seperti penyakit Campak ini senang merebak.

4- Pemberian vaksin khusus bagi pencegahan penyakit Campak semasa umur 9 bulan dan setahun kanak-kanak telah berjaya menyelamatkan 15.6 juta kematian dari tahun 2000 hingga 2013. Sebelum era vaksinasi (1980), jumlah kematian kanak-kanak dianggarkan 2.6 juta setiap tahun seluruh dunia akibat wabak penyakit Campak ini. Membuktikan vaksinasi memainkan peranan penting dalam kehidupan sejagat manusia.

Sasaran penyakit campak sifar 2010 musnah kerana jumlah yang menolak pemberian vaksin kepada anak-anak semakin bertambah. Sasaran terbaharu pihak berkuasa untuk menjadikan negara kita sifar campak 2015 juga tidak tercapai kerana jumlahlah semakin maningkat. Jika semua pihak tidak memainkan peranan bagi penghapusan deman campak ini, tidak mustahil sasaran sifar campak tahun 2020 juga akan gagal. Apa yang kita perhatikan punca yang boleh dikaitkan secara tidak langsung adalah wujudnya golongan yang menolak vaksin. Ibubapa yang menolak pemberian vaksin semakin meningkat setiap tahun. Sejajar dengan peningkatan kes campak yang juga bertambah.

Seruan saya agar setiap pihak mainkan peranan samada masyarakat awam mahupun ahli politik dan sebagainya agar virus campak ini pupus. Kita tidak boleh menyalahkan takdir jika usaha dan ikhtiar kita tidak dijalankan secara optimum.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

9.9.2018

Langkawi

Pautan

[1] CDC. Measles (Rubeola). https://www.cdc.gov/measles/index.html

[2] World Health Organization. Measles Facts Sheet. February 2015. Accessed online http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs286/en/known

[3] Dato Dr Noor Hisham. Kenyataan Akbar 28 Julai 2015. Capaian online di http://www.mmgazette.com/peningkatan-kes-measles-di-wpkl-terutama-di-kalangan-yang-tidak-divaksinasi-kkm/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleJus Lemon Beralkali Anti Kanser?
Next articleVaksin MR Haram?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com