,

Aktiviti Seks Selepas Serangan Jantung

Seorang sahabat karib baharu sahaja diserang sakit jantung minggu lepas. Umur beliau baru mencecah 28 tahun, tetapi bentuk badannya gempal dan kuat merokok.

Beliau bertanyakan nasihat kesihatan dari saya sementelah selalu melakukan akitiviti persatuan bersama. Apakah tip-tip kesihatan yang membolehkan beliau kekal sihat dan terhindar dari serangan sakit jantung kali kedua?

Nasihat pemula yang wajib diberikan kepada pesakit serangan jantung adalah jangan bersedih dan murung. Sokongan moral dan kaunseling psikologi perlu diberikan oleh para perawat dan sahabat handai. Ini kerana pelbagai pemikiran bermain dalam benak mereka bahawa mereka sudah menjadi ‘cacat’ kerana sudah tidak dapat menjalankan aktiviti aktif seperti sebelum terkena serangan jantung. Kemurungan selepas terkena serangan jantung adalah lumrah. Satu dari 3 pesakit akan mengalami gangguan kesihatan mental selepas serangan sakit jantung.[1] Ujian saringan perlu dilakukan oleh doktor peribadi anda dan dapatkan nasihat yang berpatutan darinya. Rujukan kepada pakar psikologi akan dilakukan jika sekiranya kemurungan dan/atau penyakit gugup (anxiety) yang teruk. Namun kebiasaannya pesakit akan pulih dari masalah kesihatan mental ini dalam tempoh enam bulan. Jika tanda² kemurungan berlangsung lebih dari enam bulan, pakar akan memberikan rawatan yang spesifik.

Oleh yang demikian sokongan moral dari saudara mara, sahabat handai serta rakan taulan amat diperlukan dalam tempoh sebulan pertama selepas serangan sakit jantung. Jangan biarkan diri mereka terasa asing atau tersisih dari masyarakat. Melepaskan perasaan di ruang maya seperti facebook kekadang bagus untuk luahkan emosi. Namun komen-komen negatif dari rakan-rakan maya terkadang boleh menyusutkan fikiran.

Soalan yang paling kerap ditanya oleh pesakit serangan jantung adalah berkaitan dengan makanan. Apakah pantang larang makanan yang perlu dijaga bagi pesakit jantung? Kita harus kembali menilai semula bentuk jizi makanan yang diambil. Janganlah ambil jalan mudah dan bercakap sedap bahawa tidak perlu berpantang seperti sebelum terkena serangan jantung. Bagi pesakit yang sudah sedia ada penyakit kencing manis atau darah tinggi, kurangkan makanan manis, masin dan lemak. Nasihat secara terperinci sukar disebutkan di sini. Silalah bertemu dengan doktor dan pakar pemakanan untuk dapatkan menu secara tepat. Ini kerana juadah makanan setiap individu berpenyakit perlu disesuaikan dengan keadaan penyakit, umur, berat badan dan beberapa parameter lain lagi.

Asasnya seseorang pesakit jantung perlu mempunyai sasaran untuk turunkan/kekalkan berat badan unggul, tidak merokok dan kekal aktif dengan kadar tertentu. Kawalan tekanan darah dan paras gula juga perlu optimum.

Bagaimana pula dengan aktiviti lasak? Adakah boleh diteruskan seperti biasa seperti mengait buah sawit dan memikulnya ke lori angkut, menebang pokok atau membanting padi atau apa sahaja aktiviti yang kategorikan sebagai guna tenaga yang banyak? Adalah dinasihatkan supaya berehat dari melakukan aktiviti lasak tersebut dalam tempoh empat minggu dari terkena serangan jantung. Berehat bukan bermakna tidur sepanjang masa dan baring atas katil. Tetapi proses aktiviti senaman menguatkan jantung perlu diadakan seawal 10 hari pertama. Rehabilitasi jantung ini penting bagi memastikan otot jantung akan mendapat sumber darah yang secukupnya (revascularisation). Doktor akan merujuk anda kepada pegawai rehabilitasi jantung untuk tujuan itu.

Senaman untuk kuatkan jantung perlu dimulakan secara perlahan. Ia bergantung kepada kapasiti anda dan status serangan jantung anda. Mulakan dahulu dengan berjalan sekitar rumah 10 minit setiap sesi dan kemudian ditingkatkan setiap minggu sehingga kadar minima 150 minit seminggu (purata minima 20 minit setiap hari).[2] Jika semasa senaman ini anda terasa sebak dada, sakit atau sesak nafas, sila berhenti segera dan dapatkan khidmat nasihat doktor keluarga anda.[3]

Pertanyaan yang paling kurang ditanya oleh pesakit jantung adalah aktiviti seksual. Kajian mendapati ramai yang ingin bertanya tetapi segan untuk memulakan persoalan apabila bertemu dengan doktor. Akhirnya mereka mengagak sendiri tempoh yang terbaik untuk bersenggama selepas serangan jantung. Didapati dari kajian 0.6% hingga 1.7% pesakit jantung meninggal dunia semasa melakukan hubungan seks. Majoriti dikalangan mereka adalah melakukan hubungan dengan pasangan luar nikah dan pasangan lebih muda.[4]

Justeru, bagaimana aktiviti seks ini boleh dilakukan selepas terkena serangan jantung? Secara umumnya terdapat 3 kategori pesakit jantung yang meletakkan masa sesuai untuk bersenggama.

1- Serangan jantung yang tidak dirawat melalui intervensi pembedahan angioplasti/stent/pintasan jantung. Kategori ini ‘boleh’ melakukan hubungan intim seawal 10 hari selepas terkena serangan jantung. Saya letakkan ‘boleh’ di sini bagi memberi perhatian bahawa, sila berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu tanpa segan silu. Sudah pasti doktor anda lebih mengetahui status jantung anda.

2- Pesakit jantung yang dirawat melalui angioplasti dan stent, tempoh ‘boleh’ kembali bersenggama adalah antara 4 hingga 6 minggu. Ya, sekali lagi sila bawa berbincang dengan doktor anda.

3- Pesakit yang melakukan pembedahan pintasan jantung pula perlu rehat dari melaksanakan aktiviti berat termasuk aktiviti seksual paling minima 6 minggu. Tempoh enam minggu adalah masa paling sesuai untuk otot jantung anda menjalani pemulihan.

Sifir umum untuk mengetahui samada fungsi jantung anda sesuai atau tidak untuk melakukan aktiviti fizikal adalah; samada anda mampu menapak naik dua tingkat anak tangga bangunan tanpa sakit dada atau sesak nafas. Jika berjaya tanpa tanda-tanda serangan jantung, maka anda lulus untuk bersenggama. Sekali lagi pesanan saya, bertanyalah doktor anda.

Satu pertiga pesakit jantung akan mengalami masalah tidak kuat tenaga seks. Maksud lainnya adalah mati pucuk (erectile dysfunction).[4] Pelbagai faktor mempengaruhi setiap pesakit itu mengalami mati pucuk antaranya gangguan jiwa kemurungan, ubat darah tinggi yang diberikan dan pelbagai lagi. Masalah timbul apabila pesakit mula mencari alternatif untuk menguatkan tenaga. Mereka mencari ubatan/herba luar yang katanya penguat nafsu dan tenaga. Tetapi ubat/ramuan perangsang seks tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada mereka. Dibimbangi ubat ajaib perangsang tersebut dicampur dengan ubat terlarang (sildenafil). Ubat sildenafil ini akan bertindakbalas dengan ubat jenis nitrat (ubat sakit jantung) yang menyebabkan tekanan darah turun secara mendadak dan pesakit akan pengsan. Kematian juga boleh berlaku jika tidak dirawat segera. Justeru, berhati-hatilah.

Semoga pesanan ringkas ini boleh menjawab persoalan sahabat saya tadi dan didoakan beliau kekal sihat tanpa sebarang serangan baharu demi kesinambungan perjuangan yang penuh berliku ini. Nasihat akhir: Berhentilah merokok.

Sekian

Suhazeli.Com

Fb.Com/drsuhazeli

25.8.2018

Manila

Pautan

[1] AHA. Depression after Heart Attack. http://www.heart.org/HEARTORG/HealthyLiving/StressManagement/HowDoesStressAffectYou/Depression-After-A-Cardiac-Event-or-Diagnosis_UCM_440444_Article.jsp#.W3yl9KQRWEc

[2] AHA. Exercise after Heart Attack. https://www.heartfoundation.org.au/after-my-heart-attack/heart-attack-recovery/exercise-after-a-heart-attack

[3] NHS. Recovery after Heart Attack. https://www.nhs.uk/conditions/heart-attack/recovery/

[4] Sexual Activity after Heart Attack. Havard University. https://www.health.harvard.edu/heart-health/resuming-sex-after-a-heart-attack

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply