Sawan selalu disebut oleh orang awan sebagai satu keadaan penyakit yang boleh menyebabkan mangsa jatuh pengsan serta menggelupur. Pelbagai nama digelarkan oleh mereka. Antara nama yang masyhur adalah sawan demam, sawan tarik dan sawan babi.

Penyakit sawan berlaku tanpa mengira bangsa, tua atau muda, kaya atau miskin, cerdik atau dungu, semuanya mempunyai risiko dihinggapi oleh sawan.

Apakah puncanya? Lebih dari separuh kes tidak mempunyai punca pasti. Namun beberapa perkara boleh dikaitkan dengan punca berlakunya sawan.

1) Pengaruh keturuanan secara genetik. Adakala sesetengah individu terdapat sejarah keluarga, atau keturunan/genetik berlaku sawan.

2) Kecederaan kepala semasa kemalangan atau akibat hentakan lain juga boleh menjadi punca kepada berlaku sawan tarik.

3) Berkait dengan penyakit perubatan lain seperti angin ahmar (strok), serangan jantung, kegagalan buah pinggang juga boleh menjadi pencetus kepada sawan.

4) Proses penuaan yang menyebabkan penyakit nyanyuk (demensia) juga menjadi risiko seseorang itu dihinggapi sawan.

5) Jangkitan kuman ke otat atau selaput otak. Sawan akibat jangkitan sebegini agak kerap berlaku dikalangan indivdu. Serangan kuman seperti meningitis, HIV, virus ensefalitis, kuman tetanus dan banyak lagi boleh menyebabkan sawan ke atas pesakit.

6) Sawan berlaku di awal kelahiran bayi pula biasanya dikaitkan dengan kecederaan atau kerosakan otak bayi semasa dalam kandungan ibu atau kepayahan semasa dilahirkan. Kekurangan oksigen yang menjadi sumber pemakanan utama janin ini, boleh menyebabkan bayi berpenyakit cerebral palsy atau beberapa masalah saraf otak yang lain. Satu dari lima kes bayi yang cacat ini mengalami penyakit sawan yang memerlukan rawatan berpanjangan.

7) Terdapat juga bayi yang terbantut perkembangan fizikal dan mental seperti kes-kes bayi autisma dan down sindrom. Mereka juga mempunyai kecenderungan untuk sawan.

Kita akan rasa kesian melihat anak-anak yang terkena penyakit sawan ini. Otot-otot mereka akan tertarik-tarik tanpa di bawah kawalan sedar mereka. Kekadang mereka tidak ingat apa yang berlaku atas diri semasa tempoh sawan berlaku. Pada keadaan tertentu, kanak-kanak yang diserang sawan ini terpaksa tercungap-cungap menggapai oksigen dek kerana otot-otot mereka kejang terutama otot rongga dada.

Namun terdapat beberapa kesilapan yang disebarkan dikalangan kita melakukan sesuatu tindakan semasa sawan berlaku. Antara petua yang biasa kita dengar adalah, memasukkan sudu atau alatan keras dalam mulut mangsa agar tidak tergigit lidah. Bagi sesetengah orang yang terlalu perihatin, mereka sanggup memasukkan jari mereka dalam mulut mangsa. Adakah benar perlakuan sedemikian?

Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda lakukan demi membantu kesengsaraan pesakit sawan.

1) Jauhkan mangsa dari tempat merbahaya. Jika berlaku atas jalanraya/dalam kolam air/di tempat tinggi, bawa mangsa ke tepi atau tempat yang paling selamat.

2) Posisikan mangsa dalam kedudukan mengiring samada kiri atau kanan. Tujuan berbuat demikian bagi mengelakkan air liur atau muntah mangsa masuk ke dalam paru-paru semasa sawan. Jika berlaku kemasukan benda asing dalam paru-paru, mudarat lain akan berlaku.

3) Jangan masukkan jari anda atau benda keras dalam mulut kerana akan mencederakan gigi. Kebanyakan keadaan, lidah mangsa tidak akan terkeluar sehingga boleh tergigit dengan diri sendiri. Jika jari anda yang dijadikan sebagai penyendal, anda pula akan berisiko tercedera putus jari.

4) Dapatkan bantuan klinik atau hospital secepat mungkin.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

2.8.2018

Ipoh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleJangan Panik Jika Anak Dijangkiti HFMD
Next articleAktiviti Negatif LGBT Boleh Bawa Kemusnahan Negara?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com