Serangan penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) mula melanda negara sejak lebih dari tiga minggu berlalu. Jumlah kes amat membimbangkan. Terbaharu, berlaku kes kematian akibat komplikasi penyakit HFMD ini di Mukah Sarawak. Masyarakat mula risau dan panik akan kesihatan anak-anak mereka.

Masyarakat seharusnya mendapat maklumat tepat mengenai penyakit ini. Bagaimana ia boleh terjadi, bagaimana merebak dan apakah rawatan yang sepatutnya. Ini kerana sejak munculnya kesedaran masyarakat mengenai penyakit HFMD ini pelbagai produk kesihatan telah muncul bagai cendawan lepas hujan mempromosi kemujaraban produk mereka.

Justeru, apakah yang perlu masyarakat tahu berkenaan penyakit HFMD dan cara mencegahnya?

Virus HFMD sebenarnya virus yang tidak membawa maut. Kes-kes yang membawa kematian adalah kes terpencil apabila berlaku wabak yang besar. Itupun kematian bukan akibat dari virus itu secara langsung, tetapi ianya adalah komplikasi teruk jika mangsa tidak dirawat sebaik mungkin.

Terdapat dua virus yang punca kepada HFMD; Coxsackie Virus dan Enterovirus. Virus ini boleh berada dipersekitaran dan biasanya mengjangkiti kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Oleh kerana sistem pertahanan badan kanak-kanak masih tidak kuat, virus ini boleh menyebabkan tanda-tanda terhadap mangsa. Antara tanda-tanda serangan virus itu adalah seperti:

i) Demam

ii) Kurang selera makan

iii) Lepuh dalam rongga mulut (ulcer) dan sakit kerongkong.

iv) Letih dan tidak bermaya.

v) Ruam bintik merah di tapak tangan, kaki dan mulut.

Bintik merah akan nampak makin jelas setelah hari kedua selepas demam. Ketika ini lah ibubapa penjaga kanak-kanak mula panik dan mencapai pelbagai rawatan demi melihat anak mereka sembuh segera. Jika maklumat yang tidak tepat mereka perolehi dari dunia maya, maka akan berhabis ribuan ringgit membeli produk-produk sampah.

Penyakit virus HFMD ini adalah pulih dengan sendiri (self limiting). Ia tidak membawa kepada keterukan jika diuruskan dengan baik. Tempoh serangan virus ini boleh berlangsung sehingga 10 hari. Oleh yang demikian dinasihatkan ibubapa penjaga menggunakan ruang sepenuhnya untuk memberi tumpuan penjagaan kesihatan ke atas anak mereka sepanjang tempoh tersebut. Kunci utama supaya jangkitan tidak merebak adalah jaga kebersihan dan elakkan berhubungan dengan orang luar. Istilah kuarantin seketika boleh lah digunakan bagi memastikan anak anda selamat dan tidak merebak jangkitannya. Dalam masa yang sama ibubapa penjaga wajib mengetahui tanda-tanda penting yang memerlukan rawatan segera di hospital.

Tips berikut boleh digunakan:

i) Tidak benarkan anak anda dipeluk cium sembarangan. Walaupun arahan ini agak zalim bagi saudara mara yang hadir menziarahi anda. Namun tempoh penting ini patut diambil serius supaya virus tidak merebak.

ii) Didik diri dan keluarga supaya menjaga kebersihan persekitaran, rumah dan semua perkakas yang terdedah. Virus HFMD boleh sahaja bertenggek di mana-mana sahaja dalam persekitaran dalam tempoh tertentu. Dengan menjaga kebersihan diri, amalan membasuh tangan dengan sempurna dan menggunakan pelekap muka jika perlu terlalulah amat berguna pada masa ini. Semburan dari produk tertentu tidak membantu, kerana permukaan yang kering dan bersih amat diperlukan bagi menghalang virus berjangkit. Penggunaan antiseptik boleh digunakan pada ketika memegang anak anda atau sebelum/selepas menyentuh perkakasan rumah.

iii) Tahan diri anda dan anak-anak untuk bersiar-siar ke tempat yang ramai orang seperti pasar raya, pasar malam dan seumpamanya. Ditempat sebegini pelbagai jenis manusia wujud dengan pelbagai kuman hinggap bukan semata-mata virus HFMD. Jika terdesak sangat untuk membeli belah barang keperluan, serahkan kepada ketua keluarga untuk membeli. Tidak perlulah kesemua anak-anak kita yang masih kecil berasak-asak memenuhkan pasaraya. Virus HFMD senang merebak apabila orang yang dijangkiti atau pembawa virus itu batuk, bersin, bernafas depan muka dan bersentuhan dengan kita.

iv) Dapatkan rawatan segera untuk kurangkan demam anak anda. Pastikan alat pengukur suhu di simpan dalam rumah. Senantiasalah periksa sendiri suhu anak anda. Jika demam tinggi melebihi 38 C atau demam berlarutan melebihi lima hari, sila jumpa segera doktor anda. Pastikan anak anda minum air secukupnya, makan mengikut jizi yang sepadan. Jika kelihatan tidak bermaya atau kelakuan/perangai anak lain macam, sila ke hospital segera. Senantiasalah bersama anak anda dalam tempoh tersebut, jangan asyik bermain wasap dan leka dengan facebook.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

30.7.2018

Kuala Terengganu

Pautan

Jose R Romero (2018) UpToDate: Hand, foot, and mouth disease and herpangina.

Hand, foot and mouth disease – Clinical Practice Guidelines, Ministry of Health, Malaysia.

Centers for Disease Control and Prevention (CDC) – Hand, Foot and Mouth Disease (2017).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleProbiotik Punca Kanser?
Next articleAnak Sawan Tarik, Apa Perlu Anda Buat?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com