Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam #KempenTerengganuBersih di Pantai Batu Buruk pada petang tadi. Kempen ini adalah kempen kesedaran kepada masyarakat secara khususnya untuk menjaga alam sekitar dan kebersihan. Sesungguhnya kotoron yang merata di tepian pantai boleh merosakkan pemandangan dan sekaligus mencacatkan ekosistem alam.

Sempat saya catatkan di sini beberapa pihak yang terlibat dalam kesedaran kempen ini.

1- Pemimpin masyarakat: Yb Hj Ahmad Amzad Hashim, Yb Ustaz Ahmad Shah Mohamed, Yb Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Dr Balachandran dan Sdr Jefri Chua.

2- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

3- Pelajar-Pelajar OUM dalam program khidmat komuniti mereka.

4- Bridget Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN)

5- Komuniti kaum India dan Tionghua.

6- Ameerah dan Muslimat PAS Terengganu

7- Anggota dari Jabatan Amal Terengganu

8- Wakil dari Dewan Pemuda PAS Terengganu

9- Dan pemimpin-pemimpin masyarakat lain serta individu yang saya tidak sempat tulis di sini.

Usaha #KempenTerengganuBersih ini bukan terhenti setakat ini sahaja. Program-program lain akan terus dirancang bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa betapa pentingnya kebersihan persekitaran. Sekaligus negeri kita akan nampak cantik dan sejuk mata memandang. Kerja-kerja ini tidak lain semata-mata ingin memberi kesedaran kepada masyarakat agar menjaga alam sekitar.

Dua perkara yang perlu saya beri penekanan hasil dari #KTB di Pantai Batu Buruk tadi.

1- Terdapat banyak puntung rokok yang dibuang segenap ceruk terutama di laluan pejalan kaki pantai Batu Buruk. Sedangkan Taman Rekreasi, Pantai Batu Buruk dan Hospital Sultanah Nur Zahirah adalah kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan bebas asap rokok. Sejak tahun 2017 lagi Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR). Pewartaan kawasan tersebut adalah sesuai dengan perjanjian kawalan tembakau antarabangsa di bawah artikel 8 Perjanjian FCTC (WHO Framework Convention on Tobacco Control). Namun malang sekali terdapat segelintir masyarakat yang tidak mematuhi amaran yang dikeluarkan oleh pihak yang berwajib. Hasilnya, hampir setengah jam saya kutip puntung rokok dalam 5 meter radius sahaja sudah dapat kumpul lebih 100 puntung rokok. Menyedihkan keadaan ini berlaku di kawasan TBAR.

2- Kebanyakan sampah adalah plastik polisterin bekas makanan yang dibuang dan botol air mineral. Dua bahan ini amat sukar untuk dilupuskan kerana pembakaran terbuka boleh mendatangkan mudarat kesihatan. Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah tinggalan bekas plastik tersebut boleh menjadi sumber pembiakan nyamuk Aedes. Negeri Terengganu adalah salah satu negeri yang tidak pernah sunyi dari wabak denggi. Penyakit berjangkit ini merbahaya sehingga membawa maut. Seluruh negara sehingga kini sudah 50 kematian akibat demam denggi. Manakala 100 kes sudah dicatat di negeri Terengganu (statistik sehingga 28 Jun 2018).

Justeru itu masyarakat perlu dididik untuk mengubah sikap. Pentingkan kepentingan kebersihan adalah tanggungjawab diri sendiri bukannya pihak majlis perbandaran masing-masing semata-mata. Pupuk nilai dan budaya ini dari bermula dari kecil hingga tua. Tanamkan budaya sihat ini bukan sahaja pimpinan tetapi setiap rakyat jelata. Semua lapisan tidak terkecuali demi menjadikan negeri kita Terengganu sinonim dengan jolokan Negeri Cantik Budaya Menarik.

Sekian laporan dari

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.Com/drsuhazeli

Aktivis #KempenTerengganuBersih

29.6.2018

Pantai Batu Buruk

Kita nak jadikan bersih budaya org kita…

#SapohTohoSendiri

#BukanOrangkutik

#JumpeSapohKutik

#JangangBuangSapohNgateRawe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleOrang Ramai diminta Jangan Keliru
Next articlePokok Tembakau dari Kencing Iblis?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com