Setiap insan yang waras sudah pasti inginkan berkahwin, membina keluarga dan melahirkan zuriat yang soleh. Tetapi sebelum berlangsungnya sesatu ikatan yang sah, pasangan wajib mengetahui hak diri dan kemampuan masing-masing bagi melayari bahtera sehingga akhir hayat. Kemampuan itu terdiri dari kemampuan fizikal, mental dan sosio-ekonomi. Sihat tubuh badan, bebas dari segala penyakit yang boleh membahayakan diri dan pasangan adalah salah satu syarat penting untuk diambil kira. Salah satu syarat yang ditetapkan oleh jabatan agama dan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah mengadakan ujian HIV kepada bakal pengantin. Walaupun penyakit berjangkit seperti HIV ini boleh dikawal penularannya pada masa kini, tetapi kefahaman mantap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga perlu disalurkan oleh pihak yang berwajib.

Berikut adalah maklumat yang akan diberikan kepada individu yang telah dijangkiti HIV dan pasangan mereka semasa sesi kauseling yang akan dijalankan dalam beberapa peringkat.

1) KEFAHAMAN MENGENAI HIV

Topik-topik yang perlu dihadamkan kepada bakal pengantin adalah: Bagaimana cara jangkitan berlaku; cara mengelakkan jangkitan; cara TIDAK boleh menyebabkan jangkitan; rawatan yang boleh diperolehi; pemantauan semasa rawatan; paras sel pertahanan tubuh (CD4}; jumlah virus ayng terdapat dalam badan (Viral Load); manfaat menggunakan perlindungan (condom) semasa melakukan perhubungan seks; waktu subur wanita; Risiko jangkitan kepada pasangan; risiko jangkitan kepada janin dan anak jika si ibu dijangkiti dan beberapa ilmu lain lagi.

2) POLISI

Di premis KKM, HANYA pasangan sah berkahwin sahaja yang akan dimaklumkan, tetapi digalakkan supaya beritahu juga pasangan seksual yang lain (jika ada atau jika belum berkahwin). Kaunseling akan dijalankan oleh pegawai perubatan atau pakar yang terlibat dengan pengendalian kes.

Polisi Undang-Undang Syariah pula menetapkan Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) akan maklumkan kepada bakal isteri/suami (Pasangan yang terlibat) dan wali (mengikut budi bicara PAID). Untuk perhatian, HANYA wali yang sah sahaja yang akan dimaklumkan, BUKAN isteri wali dan/atau ahli keluarga wali.

3- KEPUTUSAN BERKAHWIN

Keputusan samada untuk meneruskan pernikahan atau tidak, bergantung kepada pasangan serta wali. Undang-undang Syariah Negeri serta pihak Jabatan Agama Islam Negeri TIDAK PERNAH serta TIDAK AKAN menghalang pernikahan tersebut TETAPI amat menggalakkan supaya pasangan melakukan apa sahaja demi untuk mengelakkan pasangan yang belum dijangkiti, menjadi mangsa jangkitan baru samada terhadap pasangan mahupun bayi yang akan dilahirkan (jika hamil). Kefahaman ini penting dihadam lumatkan oleh semua pihak yang terlibat.

4- PEMBENTUKAN SIKAP (ATTITUDE)

Individu yang disahkan positif HIV melalui ujian pengesahan MESTI bersikap terbuka, berlapang dada dan pasrah atas ketentuan ke atasnya. Sudah pasti ada hikmah besar yang diletakkan kepadanya demi kehidupan dunia dan akhirat. Beliau tidak boleh bersikap seperti kefahaman jabbariyah yang meletakkan segala sandaran yang berlaku ke atas dirinya itu sebagai qada & Qadar Allah. Sedangkan akidah ahli sunnah wal jamaah juga memberi ruang untuk beliau berikhtiar untuk berubat. Beliau MESTI dapatkan rawatan secepat mungkin dari doktor.

Pasangan yang terbabit juga MESTI ambil peduli rawatan yang diambil oleh individu yang dijangkiti itu. Jika ditakdirkan perkahwinan berlangsung dan rumahtangga terbina, pasangan terbabit juga MESTI mengambil cakna status dan progres rawatan pesakit termasuk jadual lawatan doktor, paras CD4, paras VL dan indikator status darah yang lain. Inilah makna cinta yang dimetrai hasil ijab kabul dihadapan wali.

5- KEMAHIRAN

Kedua-dua mempelai ini wajib mahir dalam mengelakkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku. Terutamanya kemahiran menggunakan kondom; kemahiran waktu makan ubat; di mana nak dapatkan ubat dan sebagainya lagi. Akhir sekali mahir bagaimana nak memberitahu wali mengenai status jangkitan serta rawatan dan/atau memberitahu Qadhi atau Naib Qadhi atau Pendaftar Nikah atau Juru Nikah jika enggan wali dimaklumkan atas sebab yang munasabah.

6- SEMAK SEMULA KEFAHAMAN

Pasangan akan diuji kefahaman dan kemahiran mereka diakhir sesi kaunseling.

7- RAWATAN

Individu yang dijangkiti akan diberikan rawatan segera setelah kaunseling ubatan diberikan.

Penyakit HIV ini terlalu sensitif dikalangan masyarakat. Individu yang terbabit atau pasangannya akan mengalami stigma negatif berterusan. Kerahsian amat penting dalam mengendalikan kes. Janganlah petugas kesihatan sendiri terjebak dalam stigma yang memeritkan ini. Beberapa isu yang perlu di ambil perhatian oleh semua

1- Pihak wali boleh dimaklumkan dengan bantuan Pengamal Perubatan serta diberi kaunseling yang sama samada secara individu atau bersama bakal pengantin. Persetujuan melakukan pemakluman itu tertakluk kepada perbincangan doktor dengan individu yang positif HIV tersebut. Pasangan pengantin WAJIB diberitahu oleh beliau sendiri dalam tempoh 24 jam. Namun bagi mengelakkan kekeliruan, pasangan akan diberi kaunseling oleh doktor.

2- Jika pada pandangan pasangan yang akan berkahwin tersebut pihak wali akan bertindak menghalang perkahwinan, maka pihak doktor akan mengeluarkan surat pengesahan kesihatan/perubatan kepada PAID menyatakan bahawa pasangan ini telah menjalani sesi kaunseling serta faham dengan situasi mereka & Individu HIV positif telah dimulakan rawatan serta berjanji untuk meneruskan rawatan dengan dibantu dan dipantau juga secara bersama oleh bakal isteri/suami. Pasangan akan bawa surat tersebut dan berbincang dengan PAID supaya wali tidak dimaklumkan.

3- Hubungan baik antara doktor yang merawat dan pasangan yang akan berkahwin ini amat penting bagi menjamin kesinambungan rawatan yang berterusan. Bukannya terhenti setakat kaunseling pra perkahwinan.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.Com/drsuhazeli

2.4.2018

Ajil

Adaptasi penulisan dan rujukan dari Dr Iskandar Firzada Osman, Pakar Perubatan Keluarga Jaya Gading, Pahang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleBedah Batin
Next articleEtika Pengguguran Bayi
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com