TELADAN dan IBRAH

Kisah ini berlaku pada tahun 2012 di Melbourne, Australia. Seorang ibu muda yang cantik meninggal dunia akibat kecuaian pengendali semasa bersalin.

Mendiang Caroline Lovell mengambil keputusan untuk bersalin di rumah dalam kolam mandi. Teknik ini selalu diwar-warkan oleh kumpulan doula dalam banyak media maya seperti facebook dan blog. Beliau telah mengupah bidan untuk menemani beliau semasa bersalin dengan teknik dalam air. Mungkin selepas itu akan menggunakan kaedah lotus tanpa mengerat terus tali pusat bayi.

Perbicaraan kes kematian beliau dibaca oleh mahkamah tahun lepas. Antara perkara yang dititik beratkan dalam keputusan tersebut bahawa kematian mendiang boleh dicegah jika kecepatan pengurusan saat bahaya dipertingkatkan.

Gaye Demanuele, bidan yang terlibat dalam kes ini tidak pantas mengenal pasti tanda-tanda perdarahan teruk semasa bersalin. Pertukaran warna merah air kolam tempat bersalin tidak dapat ditentukan jumlah yang tepat sehingga beliau gagal menilai kemerbahayaan menjengah. Lebih sedih, apabila keadaan mendiang yang sudah pucat dan lemah itu dianggap sebagai gugup (anxiety). Sedangkan mendiang sudah banyak kehilangan darah. Tidak masuk dek akal juga rawatan untuk anxiety itu diberi ramuan ubat homeopati.

…..

Semoga kisah ini menjadi teladan kepada kita semua. Pesanan saya kepada semua ibu-ibu yang sedang hamil. Kami sayangi anda. Berfikirlah sejenak mengenai diri anda dan nasib anak yang bakal dilahirkan. Walaupun kita tahu bahawa kematian itu pasti walaupun diuruskan oleh pakar segala pakar sekali pun. Tetapi ruang ikhtiar tetap ikhtiar yang dibenarkan dalam akidah ahli sunnah wal jamaah. Jangan sesekali kita menjadi golongan jabbariyah yang sesat. Menyerahkan segala urusan kepada Allah kerana kita tiada kuasa ikhtiar!

Atas nama berpandukan kelahiran seperti Maryam, bonda Nabi Isa, sudah pasti salah ibrahnya kerana mereka berdua itu sudah ditentukan melalui mukjizat kerasulan. Tawakkal kita sebagai orang awam tidak sebulat para wali atau para Nabi-nabi. Hatta Rasulullah saw juga berikhtiar untuk berubat saat gering baginda sebelum wafat.

Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap badwi yang memahami konsep tawakal dengan hanya berserah sahaja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

(عَنْ أَنَسِ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ (رواه الترمذي

Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tungganganya, seraya berkata, “Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal. “Maka Nabi menjawab, “Ikatlah untamu dan bertawakallah kau.”

Ikat unta itu mestilah dengan tali sengkang unta yang kukuh, bukannya tali pelepah pisang! Tidak kuat dan senang putus. Sedangkan sebelum bertawakkal perlulah dijalankan ikhtiar sekukuhnya.

Sudah tentu bersalin di rumah dengan pelbagai kaedah samada dalam air, kedudukan menunggeng, merangkak, mencangkung atau apa sahaja nama canggih yang diberikan tidak menjamin kekuatan tawakkal yang dipasang. Masih banyak lagi ruang silap pemantauan pesakit boleh berlaku akibat dari kelengkapan yang terhad.

Jom share dan jadikan kisah ini sebagai teladan.

Seruan ikhlas dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

21.2.2018

Jerangau

#SayNoToUnSafeBirth

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleLahir Selamat
Next articlePertemuan dengan Doula
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com