Lahir Selamat

Kehidupan doktor banyak yang manis. Saat paling manis apabila kita dapat selesaikan suasana cemas pesakit.

Klinik kami memang sediakan khidmat ABC (Alternative Birthing Center). Ianya dikhususkan kepada kes-kes yang berkod putih. Ibu hamil kali ke 2 hingga 5, tiada penyakit lain, kedudukan bayi tidak songsang/senggeng/melintang dan beberapa kriteria lain lagi. Kod ini sesuai untuk lahir di ABC.

Pernah satu ketika pesakit yang dipantau di ABC kami sudah tiba saat bersalin (os fully), tapi agak lama walaupun digalakkan untuk teran. Biasalah bilik ABC itu gamat dengan teriakan bidan supaya si ibu meneran sepenuh hati. Si ibu rileks sahaja, tidak menggerutu dan tidak memandang serong dengan situasi sebegitu. Bagi sesetengah ibu, sensitif dengan keadaan bilik bersalin yang agak rencam. Mereka mahu tenang setenang air di tasik dan alunan merdu musik mengusik jiwa. Kami tidak nafikan. Apakah itu perlu kami tunaikan permintaan si ibu sedemikian?

Si ibu juga tidak merasa jelek atas kehadiran saya sebagai seorang doktor pakar lelaki. Saya dipanggil kerana bayi masih tidak keluar walaupun tempoh os fully sudah berlalu lama. Setelah membuat pemantauan bayi dan ibu, semuanya keadaan stabil. Jantung janin masih sekata, scan juga menunjukkan janin berada di posisi betul. Saya arahkan masuk ubat untuk kuatkan kontraksi peranakan melalui aliran vena.

Alhamdulillah tidak sampai lima minit, dengan semangat kuat si ibu disamping galakan meneran para bidan bayi keluar dengan jayanya. Tangan saya sendiri sambut bayi tersebut tanpa koyakan perineum. Syukur.

Cuma bayi tidak terus menangis, mungkin akibat cekikan dari tali pusat yang terbelit di tengkuknya. Mungkin ini juga punca kenapa bayi lambat keluar. Bilik ABC kami sudah dilengkapi dengan alatan untuk bantu pernafasan bayi jika berlaku. Saya terus bawa bayi ke katil resus dan tepuk tapak kakinya agar sedar dan menangis. Pengetahuan dan pengalaman kami tahu bahawa jika bayi tidak menangis dalam tempoh lima minit, bermakna ruang paru-parunya tidak terbuka. Bayi akan mengalami masalah (Neonatal hypoxia). Dalam masa sama, jururawat yang bantu sedut rongga hidung dan mulut bayi. Banyak keladak air ketuban yang telah ditelan olehnya. Rupanya bayi sudah tertelan air ketuban yang bercampur najis (moderate meconium). Sekali lagi kami bersyukur, bayi dapat dipulihkan sebelum sempat 5 minit. Nyaring sungguh suaranya, sama kuat dengan laungan azan yang saya kumandangkan atas permintaan si ibu.

Apabila teringat kembali kenangan manis ini saya tidak boleh bayangkan bagaimana akan berlaku jika si ibu dibiarkan bersalin di rumah hanya bertemankan suami? Walaupun saya yakin suami itu sudah belajar proses bersalin melalui youtube atau video-video yang dipaparkan dalam kelas doula. Tetapi pengalaman, kemahiran dan kelengkapan di rumah tidak sama dengan hospital atau klinik. Jika sekadar ilmu teori semata-mata dan cuba jaya atas isteri sendiri, tiada jaminan yang boleh dipertahankan. Jika berjaya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya nauzubillah.

Kepada ibu-ibu hamil yang pasang niat untuk bersalin di rumah. Tanya diri sendiri. Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan kes bayi songsang/melintang? Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan kes perdarahan bersalin? Adakah anda atau peneman mampu kendalikan bayi henti bernafas? Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan ibu pengsan dan menyetok (sawan) akibat darah tinggi? Adakah anda dan penasihat ada bawa bersama vitamin K dan Vaksin? Dan banyak lagi soalan yang perlu dijawab.

Saya paparkan kisah ini bukan untuk mendabik dada bahawa akulah terhebat dan bukan bermakna kami 100 peratus maksum. Akan tetapi kita merujuk kembali kepada anjuran agama itu sendiri:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Bermaksud: Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.

-Sura Al-Anbiya’, Ayat 7

Rasulullah saw juga menggesa agar kita mengambil pandangan ahlinya dalam urusan keduniaan kita sebagaimana sabda Baginda,

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

“Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.” (HR. Muslim, no. 2363)

Saya tidak dapat bayangkan juga jika si ibu atau ayah yang kendalikan kelahiran sendirian. Tawakkal mereka teguh, tetapi tidak kena pada tempat berpaut. Tambah pula melakukan konsultasi dengan para doula. Mereka pun tidak pernah hadapi kes-kes kecemasan dan tanda-tanda kecemasan yang memungkinkan kes perlu dibawa segera ke hospital. Lagi parah apabila khidmat nasihat itu melalui wasap!

Kata kunci adalah kelahiran selamat di tangan orang yang mahir, ditempat yang tersedia lengkap, itulah ikhtiar hidup dunia agar kita selamat. Jika mati juga, baharulah kita boleh berlapang dada dan katakan bahawa ianya sudah di takdirkan sejak luh mahfuz lagi.

Sekian kenangan manis suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

19.2.2018

Ketengah Jaya.

#SayNoToUnSafeBirth

P/s: Gambar baby sudah diberi izin untuk paparan internet.Saya lupa bondanya letak nama apa….rasanya suhazeli juga…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.