Catatan awal jurnal yang mengulas berkaitan pembedahan tophi akibat gout telah di tulis oleh Dr Larmon William, Dr Kurtz dan Dr James dari Ameka Syarikat. Tulisan mereka termuat dalam jurnal of Bone and Joint Surgery, Julai 1958.[1]

.

Mereka juga menegaskan perawatan yang paling utama dalam gout ini adalah dengan pencegahan dan rawatan tanda-tanda gout akut. Namun pada masa tersebut mereka mempercayai pembedahan kawasan bengkak akibat pengumpulan asid urik (tophi) pesakit boleh membantu dalam beberapa keadaan tertentu. Kriteria berikut ditetapkan bagi doktor yang ingin melakukan pembedahan gout:

(1) Apabila tophi tersebut kelihatan mengaibkan. Secara kosmetik, tidak cantik kelihatan.

(2) Apabila tophi itu menyakitkan

(3) Apabila tophi itu mengganggu fungsi otot tendon.

(4) Apabila tophi menjadi ancaman kepada kulit sehingga menyebakan kehitaman (necrosis) dan luka (ulceration).

(5) Apabila tophi membentuk luka dan sinus

(6) Apabila tophi menyerang dan menekan saraf.

(7) Apabila sendi yang dihinggapi tophi itu rosak dan alami kesakitan yang amat.

(8) Apabila jumlah asid urik dalam badan dijangka berkurangan dengan kaedah pembedahan.

.

Lapan kriteria di atas telah dikemukakan 60 tahun lalu. Adakah ianya menjadi amalan atau diajar disekolah-sekolah perubatan selepas itu? Atau setidaknya pakar-pakar ortopedik mengesyorkan kepada pesakit mereka bagi merawat gout?

.

Saya bertanyakan beberapa orang sahabat pensyarah universiti dalam kepakaran ortopedik. Mereka menjawab, tidak menjadi amalan serta ajaran kepada anak didik mereka untuk membedah wewenang gout. Samada pembedahan secara hirisan atau memasukkan saluran (incision and drainage) adalah ditegah sama sekali. Alasan mereka; tophi yang keluar itu akan tercemar dengan luka hirisan dan kulit luar. Tambahan pula jika ia dilakukan tanpa teknik pensterilan (nyahkuman) yang ketat, komplikasi jangkitan kuman akan mudah berlaku. Merawat luka torehan dan hirisan bengkak gout tadi menjadi semakin sukar terutama sekali pesakit kencing manis.[2] Proses penyembuhan (healing process) akan lambat atau terbantut dan akhirnya menjadi luka yang kronik (chronic ulcer). Nak untung sebakul, tetapi rugi sekarung guni. Kenapa? Rawatan luka kronik akan mengambil masa agak lama, duit ribuan melayang dan merugikan tenaga. Sekali lagi mereka beri amaran, agar jangan buat pembedahan gout. Jika nak buat juga sekalipun, silalah jumpa dengan pakar ortopedik, yang sudah barang tentu banyak kemahiran serta dilakukan dalam bilik kondusif. Sayangi lah kaki anda.

.

Ada pesakit kami yang sudah bergadai RM30 ribu dek kerana melakukan kaedah bedah ini tanpa prosedur yang rapi.

.

Kita sepatutnya menyokong saranan yang telah dibuat oleh Garis Panduan Klinikal (CPG) Perawatan Gout KKM.[3] Pakar-pakar yang menyediakan garis panduan berkenaan menyatakan, pembedahan gout dilakukan sebagai pilihan terakhir. Itupun atas kondisi yang tertentu sahaja seperti;

(1) Pengumpulan tophi yang teruk sehingga boleh merosakkan sendi yang terlibat

(2) Sendi yang terlibat terbantut pergerakannnya kerana tophi dan kesakitan yang memuncak.

(3) Pengumpulan tophi menyebabkan gangguan tekanan kepada organ lain seperti saraf sehingga mengganggu fungsi sebenar organ berkenaan. Contohnya penyakit carpal tunnel di sendi pergelangan tangan.

(4) Luka (ulceration) akibat tophi yang mengancam.

(5) Sebab-sebab kosmetik. Contohnya tophi di cuping telinga.

.

Arakian, kepercayaan pembedahan boleh sebabkan asid urik menurun adalah tidak benar sama sekali. Majoriti rawatan yang kita berikan di hospital atau klinik boleh menurunkan asid urik. Dr Mahyuddin, Pakar Ortopedik tersohor Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh pernah menulis, “Jika anda mahu Tophi anda mengecil, pastikan kandungan asid urik anda dalam darah adalah dibawah bacaan < 300.”[4] Teori yang dikemukakan lebih setengah abad dulu tidak dibuktikan secara praktikal.

.

Sekian ulasan dari insan dhaif suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

21.1.2018

Kuala Berang

.

[1] Pembedahan Gout. https://journals.lww.com/jbjsjournal/Abstract/1958/40040/The_Surgical_Management_of_Chronic_Tophaceous.1.aspx

[2] Rawatan Gout. https://www.podiatryinstitute.com/pdfs/Update_1997/1997_18.pdf

[3] Malaysian CPG. http://www.msr.my/file_dir/17082804864c8f1f4755066.pdf

[4] Kenyataan Dr Mahyuddin. https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1616504911773334

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleUbat Herba dan Rawatan Kanser
Next articleUjikaji Tipu-sains
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com