Isu khitan anak perempuan dihangatkan semula sejak akhir-akhir ini. Perbahasan yang dikemukakan itu merujuk kepada definisi khitan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang membahagikan khitan kepada 4 kategori.[1] Potong Kemaluan Perempuan (Female Genital Mutilation) seperti yang digambarkan oleh WHO itu tidak sama dengan khitan alam melayu Islam di sekitar Nusantara ini. Tulisan ini merujuk kepada amalan khitan sekitar nusantara. Tiada satu standard khusus kaedah khitan yang pernah dicatat. Selain dari benua nusantara, khitan bayi perempuan ini banyak dilakukan dibeberapa negara muslim benua Afrika. Adakah kedua-kedua benua itu melakukan khitan bayi perempuan dengan kaedah yang sama?

.

Kategori khitan wanita yang WHO nyatakan itu sudah terkeluar dari amalan tradisi negara Malaysia sejak sekian kurun lamanya, di mana amalan tradisinya melukakan sedikit kelentit dengan jarum atau pisau khas. Ringkas sahaja tanpa perlu memotong keseluruhan kelentit, atau memotong kemaluan dalam (excision labia minora) atau kemaluan luar (infibulation labia majora) sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah tradisi arab Afrika. Amalan FGM itu agak keterlaluan sehingga menimbulkan fobia dikalangan anak gadis mereka. Kami juga melarang teknik berkenaan diamalkan dalam negara kita.

.

Mari kita perhatikan beberapa perbahasan dan ulasan yang meletakkan hujah amalan berkhitan ini masih diamalkan dikalangan umat Islam. Ianya merujuk kepada hadis Khitan anak perempuan dinaskan dalam syariat. Rasulullah SAW bersabda kepada ‘Ummu ‘Athiyah radhiyallahu ‘anha:

إذا خفضت فأشمي ولا تنهكي فإنّه أسرى للوجه وأحضى للزوج

“Apabila Engkau mengkhitan perempuan, sisakanlah sedikit dan jangan potong (bahagian kulit klitoris/kelentit) semuanya, karena itu lebih boleh membuat ceria wajah dan lebih disenangi oleh suami.”[2]

.

Kitab Fiqh Islami menghuraikan bahawa khitan adalah sunat bagi lelaki dan perkara yang elok bagi perempuan menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Manakala menurut Mazhab Syafei dan Hambali hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan.

Satu kajian hirisan lintang yang dijalankan oleh Dr Khatijah ke atas pengamal perubatan swasta seluruh Terengganu, mendapati 56.2% dari mereka menjalankan khidmat khitan bayi perempuan di klinik mereka. Dari jumlah tersebut pula, hanya 31.2% sahaja yang menganggap bahawa khitan perempuan ini sebagai wajib. Ianya agak kontrari dengan pegangan Mazhab Syafie di Malaysia.

Berkaitan dengan kaedah khitan pula, kajian ringkas tersebut mendapati 55.6% (n=15) di kalangan mereka hanya melukakan/hirisan kecil ke atas kelentit (lukisan 1), 25.9% (n=7); ada dikalangan mereka melukakan puncak klitoris dengan jarum steril (lukisan 2) dan 18.5% (n=5) memotong sedikit klitoris samada menggunakan jarum atau pisau steril (lukisan 3). Tiada seorang pun dari responden menggunakan kaedah seperti yang dikategorikan oleh WHO. Mereka mungkin menggunakan kaedah IV menurut kategori WHO tetapi tidak berlebihan dan memudaratkan bayi. Majoriti (62.9%) responden belajar menggunakan teknik berkenaan dari rakan-rakan senior dan pakar sakit puan.

.

Perdebatan yang panjang isu khitan perempuan dikalangan pengamal perubatan, sehinggakan sesetengah negara mengharamkan terus khitan anak perempuan. Mereka merujuk khitan perempuan itu kepada klasifikasi yang ditetapkan oleh WHO kerana kebanyakan kes yang dibuat kajian oleh pengkaji WHO adalah jatuh dalam kategori I, II, III. Teknik berkenaan diamalkan di kebanyakan negara Afrika.[4] Penentangan mereka bukan sekadar vokal di media cetak dan maya tetapi menetapkan akta khusus atas nama hak asasi wanita.

.

Mufti Wilayah perseketuan pernah menulis dalam lawam rasmi beliau berkaitan isu ini. Kata beliau;

“Timbul isu dalam kalangan masyarakat bahawa khatan wanita mencacatkan anggota dan tafsiran bahawa khatan wanita itu tidak disyariatkan di dalam Islam. Sebenarnya kami berpendapat isu ini berpunca daripada pengamalan budaya yang bukan Islam dan kejahilan sebahagian orang yang mengendalikan khatan yang melampau sehingga mencacatkan fungsi kemaluan wanita.

“Berkata Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Dan wajib dipastikan tidak berlaku pencacatan oleh mereka yang mengendalikan urusan khatan anak perempuan mereka berdasarkan cara yang datang daripada hadis. Dan tidak boleh dilabelkan perbuatan khatan itu sebagai satu bentuk jenayah yang dilakukan dalam kurun ke 21, melainkan dalam kes-kes yang melanggar had-had yang disepakati dalam Syarak, iaitu al-isti’sal (pemotongan/pengembirian kemaluan), berlebihan dalam memotong, dan dikendalikan oleh orang-orang yang jahil daripada kalangan bidan dan selainnya, dan janganlah ubatan yang digunakan itu memandulkan.”[6]

“Berkata Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili: “Berkhatan itu disyariatkan, dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting adalah hendaklah ianya disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ianya bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [7]

.

Akhir sekali beliau membuat penegasan:

“Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya, dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan Syariat Islam dan pengamalannya.

.

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

15.1.2018

Ketengah Jaya

.

Pautan:

[1] Female Genital Mutilation WHO. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs241/en/

[2] Hadis riwayat Al Khatib dalam Tarikh 5/327, dinilai shahih oleh Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah.

[3] Dr Bekir London. https://www.circumcision-london.co.uk/best-age-time-circumcision/

[4] Kajian khitan perempuan. https://mmabbasi.com/2014/03/14/fgm-female-genital-mutilation-by-country/

[5] Hukum berkhatan Kaum Wanita oleh Mufti Wilayah. http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/al-kafili-al-fatawi/1100-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita

[5] Fatwa MUI. http://www.hukor.depkes.go.id/?dokumen=global&type=4&th=2010

[6] http://www.qaradawi.net/new/Articles-4379

[7] http://www.umatia.org/ftawa12.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleDaun Betik Ubat Denggi?
Next articleAntivaksin Cemarkan Kesucian Islam
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com