7 Sebab Penyakit dibawa oleh Warga Asing?

PEKERJA ASING PUNCA PENYAKIT ?

.

Saya terbaca satu tulisan seorang doktor perubatan yang rungsing dengan lambakan pekerja asing dalam negara kita. Tambah beliau, pekerja asing yang membuat pemeriksaan kesihatan tidak melepasi tahap kesihatan sebelum masuk negara kita. Kes yang beliau temui bahawa, beliau cuba diberi rasuah untuk menutup keputusan xray yang telah dilakukan. Pemeriksaan xray tersebut dikhuatiri pesakit dijangkiti kuman tuberkulosis. Dakwa beliau lagi beribu-ribu kes yang terlepas masuk dalam negara kita. Para pekerja asing bebas diselinap tempat yang mungkin boleh membahayakan kesihatan orang lain jika mereka itu positif Tb, hepatitis B.

Gambar Hiasan dari Google.

Tidak kurang juga ramai dikalangan netizen yang menaruh kebimbangan dijangkiti penyakit berjangkit yang merbahaya seperti Tb, hepatitis, kepialu, HIV dan lain-lain lagi akibat kesangsian mereka terhadap sistem pemeriksaan kesihatan yang tidak telus. Para pekerja asing bebas bergerak di sekeliling kita terutamanya di pusat membeli belah dan restoran. Anggapan mereka lagi bahawa terdapat doktor-doktor yang sanggup menerima rasuah untuk meluluskan tahap kesihatan. Mempertaruhkan nyawa anak bangsa dek kerana kepentingan peribadi sehingga sanggup melakukan hal terkutuk sedemikian. Begitu juga dengan vaksin BCG yang mereka mengatakan bahawa para pekerja asing tidak diberi vaksin, justeru boleh menjadi punca wabak.

.

Beberapa pernyataan yang boleh kita ambil perjalanan bersama bagi mengatasi masalah ini.

1) Pencegahan jangkitan TB dikalangan dewasa bergantung kepada kaedah pergaulan, menjaga kebersihan diri dan etika ketika batuk. Selain itu, kita dianjurkan menjaga cara hidup sihat agar terhindar dari penyakit yang boleh mengurangkan sistem pertahanan badan seperti kencing manis, kegagalan buah pinggang, HIV dan seumpamanya. Ini kerana sistem pertahanan badan yang rendah akan meningkatkan risiko jangkitan kuman TB.

2) TB Paru-paru pula adalah kategori yang paling kerap berlaku. Ianya senang dijangkiti melalui pernafasan. Orang yang positif TB paru-paru berisiko menyebarkannya kepada sanak saudara, rakan taulan yang rapat semasa bergaul. Kajian mendapati tempoh efektif antara 4 hingga 8 jam seseorang yang bergaul rapat dengan pesakit TB paru-paru berisiko tinggi untuk dijangkiti. Ia juga bergantung kepada tahap sistem pertahananan badan, pengudaraan tempat pergaulan tersebut dan amalan langkah-langkah pencegahan. Risiko semakin tinggi jika seseorang itu mempunyai kencing manis dan HIV.

3) Adalah dinasihatkan juga para pesakit yang positif TB paru-paru agar mematuhi etika batuk. Di mana semasa batuk hendaklah ditekup hidung dan mulutnya, paling tidak dengan sehelai tisu muka. Paling baik, sepanjang tempoh rawatan intensif (biasanya 2 bulan pertama), pesakit dikehendaki memakai topeng muka. Elakkan berada ditengah khalayak ramai atau tempat yang terkurung bersama dengan orang ramai. Bagi pesakit yang bekerja pejabat, pihak doktor akan berikan cuti sakit dalam tempoh yang munasabah. Di pejabat biasanya sistem penghawa dingin yang berpusat memudahkan lagi pengedaran udara yang tercemar. Penyakit lain seperti hepatitis B, penyakit kelamin tidak sesekali boleh berjangkit dengan pengudaraan dan pernafasan.

4) Setakat ini tiada lagi kes yang dilaporkan jangkitan TB paru-paru diperolehi dari para pekerja Bangla, Nepal, Indonesia dan lain-lain.[1] Tidak semudah itu ingin menuduh mereka menghidapi TB dek kerana mereka tidak ambil vaksin BCG. Lagipun kedai kopi atau restoran agak terbuka. Kita makan atau membeli pun tidaklah sampai melebihi 4 jam disesatu kedai. Malah kita bukan bergeseran badan dengan mereka sehingga mendengar hela nafas dikeluarkan. Walau bagaimanpun, jumlah pengidap TB dikalangan para pekerja asing itu sendiri meningkat. Tahun lepas sahaja dicatatkan sebanyak 12% jumlah pesakit TB dalam Malaysia adalah warga asing.[2] Peningkatan ini mungkin boleh dikaitkan dengan pemeriksaan kesihatan yang agak longgar terhadap pekerja asing. Ramai juga dikalangan mereka yang masuk ke Malaysia secara haram. Keadaan ini semakin merumitkan pihak berwajib untuk memantau status pemeriksaan kesihatan mereka.

5) Langkah tuntas telah dijalankan oleh pihak berkuasa, iaitu dengan memperkenalkan sistem pengecaman biometrik. Sistem ini telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali pada bulan ogos tahun lepas. Beliau berkata sistem pengecaman biometrik itu akan menjadi lapisan kedua saringan pekerja asing yang bekerja di negara ini.[3]

Katanya lagi , sistem saringan kesihatan biometrik itu akan memastikan hanya pekerja asing yang sihat bekerja di negara ini.

“Kita dapati beberapa peratus pekerja asing yang guna orang lain untuk tujuan saringan kesihatan. Kita tidak kompromi kalau ada pemalsuan”.

Tahun 2017, seramai 407,890 pekerja asing melalui pemeriksaan saringan kesihatan dari Januari hingga Jun. Daripada jumlah itu, sebanyak 10,618 atau 2.6 peratus pekerja asing gagal saringan kesihatan dengan majoritinya mengidap tibi, hepatitis B dan STD (penyakit jangkitan seksual).

Pekerja asing dari Indonesia menduduki tangga teratas tidak lulus saringan kesihatan dengan mencatat 3,129 kes, Nepal (3,021) diikuti Bangladesh (1,643).

Pekerja asing yang gagal saringan kesihatan akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

6) Melalui sistem itu, pekerja asing perlu melakukan pengecaman cap jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik yang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA). /oleh kerana itu menjadi tugas penting kepada klinik-klinik swasta yang telah dilantik agar telus dalam melaksanakan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing.

7) Jika para doktor mendapati seseorang pekerja asing tersebut dijangkiti penyakit berjangkit, wajib mereka membuat pelaporan (notifikasi) kepada pihak berkuasa kesihatan dalam tempoh segera. Notifikasi kes ini termaktub dalam akta di bawah seksyen 10 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Terdapat 24 penyakit yang wajib dibuat pelaporan. Selain dari Notifikasi Bertulis, penyakit berikut perlu dinotifiksi melalui telefon dalam tempoh 24 jam iaitu: Acute Poliomyelitis, Cholera, Dengue, Diptheria, Ebola, Food Poisoning, Plague, Rabies dan Yellow Fever.[4] Jika tidak berbuat demikian penalti akan dikenakan mengikut akta yang sama.

.

Kesimpulan: Masyarakat awam tidak perlu risau dan panik dengan pendedahan yang dilakukan. Sistem yang dibangunkan, kawalan yang dibuat dari masa ke semasa oleh pihak berkuasa dan akta yang boleh mengikat pihak berkenaan, seutuhnya akan menjamin penjagaan kesihatan maksimum.

.

Sekian komentar dari suhazeli.com

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com

.

Pautan

[1] Negara tinggi penyakit TB. http://www.stoptb.org/countries/tbdata.asp

[2] TB dikalangan warga asing. http://today.mims.com/topic/tb-on-the-rise-in-malaysia-due-to-undocumented-migrant-workers

[3] Sistem pengecaman biometrik. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/307639/sistem-biometrik-saring-kesihatan-pekerja-asing

[4] Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. https://www.yumpu.com/id/document/view/29329495/akta-342-akta-pencegahan-dan-pengawalan-penyakit-berjangkit-1988

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.