,

Berubat dengan Air Kencing Unta

Keratan akhbar yang bertajuk “SCIENTIST BACKS URINE CURES CANCER CLAIMS” berbunyi “Seorang pakar sains negeri China telah menyatakan, sejenis kimia yang terdapat dalam air kencing manusia boleh menolong mengubati penyakit barah, dengan sokongan dakwaan berpertikai oleh ahli terapi dalam Persidangan Antarabangsa bahawa najis manusia mempunyai bahan-bahan yang boleh menyembuhkan barah.”

DR. Ming Chen Liau, Timbalan Pengurus Besar Long Life Biondical Co. Ltd di Selatan Hefei, China telah membentangkan hasil penyelidikannya pada hujung minggu kepada Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai “Auto Urine Therapy” di bahagian barat India.

Setelah saya terjemahkan daripada bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu yang tidak seberapa makna terjemahannya itu, sukacita saya ingin mengetahui jika fakta itu benar untuk digunakan sebagai ubat oleh oleh orang Islam atau bukan Islam.

Apakah hukum Al-Qur’an dan hadis sebenar-benarnya dalam hal tersebut?

Dipohonkan ulasan daripada Mufti Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين والصلاة ةالسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه ومن تبعه بإحسان الى يوم الدين ، وبعد

Hukum Air Kencing

Air kencing salah satu jenis najis mutawassitah, dan semua jenis najis ini dan yang berasal daripadanya adalah haram di makan, diminum atau di bawa sembahyang dan thawaf.

Haram Berubat Dengan Yang Diharamkan.

Pada dasarnya berubat dengan yang diharamkan itu tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan kecuali di dalam keadaan kecemasan atau apa yang disebut sebagai dalam keadaan darurat. Ini jelas bersandarkan sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam di antara lain menyebutkan:

إِنّ الله أَنْزَلَ الدّاءَ وَالدّواءَ وَجَعَلَ لكُلّ دَاءٍ دَوَاءً ، فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

(رواه أبو داود )

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Imam Bukhari pula ada menyebut dalam Shahihnya daripada ibnu Mas’ud katanya:

إِنّ اللهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرّمَ عَلَيكُمْ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata:

نَهَى رَسُول اللهِ صلى الله عليهِ وَسَلّمَ عَنِ الدّوَاءِ الخَبِيثِ

(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya: “Rasullullah Shallallahu alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis-hadis ini, jika penyakit itu masih dalam peringkat tidak membahayakan, maka sesetengah ulama berkata bahawa adalah haram beruabat dengan benda-benda najis atau yang diharamkan.

Adapun susut rahsia atau hikmat ia diharamkan, mengikut para ulama Islam; najis itu menjijikkan dan tidak disukai oleh akal dan naluri. Jadi ia tidak layak dipakai atau dijadikan untuk penawar penyakit.

Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah ada menerangkan lebih jelas lagi rahsia ini, bahawa larangan tidak dibenarkan menjadikan benda-benda yang diharamkan sebagai ubat penawar penyakit itu ialah, kerana antara syarat boleh mendapat kesembuhan menerusi sesuatu ubat itu ialah jika terdapat sikap menerima (suka) kepada ubat berkenaan, dan ada keyakinan terhadap khasiat (manfaatnya), disamping percaya padanya ada keberkatan yang dijadikan oleh Allah Ta’ala.

Kemudian bagi seorang Islam pula, yang haram itu adalah memang kotor, najis dan menjijikkan. Setiap yang kotor dan menjijikkan tiadalah ia diterima bahkan ditolak oleh naluri yang sihat.

Demikian itulah kedudukan najis yang diharamkan, mengapa ia tidak sesuai untuk dijadikan ubat, kerana syarat untuk ianya dapat diterima oleh naluri yang sihat, tidak ada lagi. Inilah antara rahsia atau sebab mengapa berubat dengan yang haram itu dilarang. (Ath-Thibb An-Nabawi :126)

Demikian antara pendapat ulama mazhab lain di luar mazhab Syafi’e.

Berubat Dengan Najis Mengikut Ulama-ulama Mazhab Syafi’e Pula.

Mengikut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi’e , adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat merupakan perkara darurat, sedang darurat mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَقَدْ فَصّلَ لَكُمْ مَا حَرّمَ عَلَيْكُمْ إِلّا مَا اضْطُرِرْتُم الَيهِ

(سورة الأنعام : 119)

Tafsirnya : “Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.”

(Surah Al-An’am : 119)

Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat yang seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah ini:

الضّرُورَات تُبِيحُ المَحْظُورَاتِ

Ertinya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Namun begitu, ia masih juga terikat ( penggunaannya itu) hendaklah tidak melampau batas. Firman Allah :

فَمَنِ اضْطُرّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيرَ مُتَجَانِفٍ لإِثْمٍ فإِنّ اللهَ غَفُورٌ رّحِيمٌ

(سورة المائدة :3 )

Tafsirnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan ) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Maidah : 3)

FirmanNya lagi :

فَمَنِ اضْطُرّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا أِثمَ عَلَيهِ اِنّ اللهَ غَفُورٌ رّحِيمٌ

(سورة البقرة : 173)

Tafsirnya : “ Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Baqarah : 173)

Imam An-Nawawi Rahimahullah berkata:

“Adapun berubat dengan najis itu harus, selain arak. Hukum padanya sama sahaja bagi semua najis melainkan yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab Syafi’e yang telah ditetapkan dan telah diputuskan oleh jumhur ulama.”

Di antara alasan Imam An-Nawawi ialah hadis Anas Radhiallah ‘anhu yang berikut :

أنّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ، ثَمانِيَةٍ قَدِمُوا على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فَبَايِعُوه عَلى الإسلام ، فَاستوخَمُوا الأرضَ فَسَقِمتْ أجسَامِهِم ، فشَكَوْا ذلك الى رسول الله صلى عليه وسلم ، قال : ( أفَلاَ تَخْرُجُونَ مَعَ راعينًا في إِبِلِه فَتُصيبُونَ من البَانِهَا وأبوالها ) قالوا : بلى ، فخرجوا فشربوا من البانها وأبوالها فَصَحّوا فَقَتَلُوا رَاِعيَ رسول الله صلى الله عليه وسلم وأطردوا النّعَمَ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahualaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudia cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab : “baiklah”.

Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam itu dan merampas itu dan merampas unta-untanya.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Di dalam kitab Ar-Raudh dan syarahnya sebagaimana yang dinukil oleh Syibramalisi disebutkan:

ويجوز التداوى بِنَجَسٍ غير مسكر كلحم حَيّةٍ وَبَولٍ

Ertinya: “Dan harus berubat dengan najis, kecuali yang memabukkan, seperti daging ular dan air kencing,”

(An-Nihayah 8/14)

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebutkan lagi pendapat lain, katanya:

“Ashhab kita berkata harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.”

(Al-Majmu’ 9/55)

Apabila dipadankan pendapat ini dengan hadis yang melarang berubat dengan najis, maka pendapat inilah yang lebih sesuai, kerana larangan itu tetap tertakluk kepada : jika tidak ada ubat lain yang suci dan tidak pula dalam keadaan darurat.

Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata :

جَازَ التّدَاوِى بالنّجَاسَاتِ إِذَالَمْ يجِدْ طَاهِرًا يقوم مَقَامِهَا ، لأن مَصْلِحَة العافية والسلامة أكمل من مصلحة اجتناب النجاسة ، ولا يجُوز التّداوى بِالخَمْرِ على الأصح

Ertinya: “ Harus berubat denagn najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang ashah.”

(Qawaid al-Ahkam 1/18)

Merujuk perkara yang diminta fatwa, maka menurut pendapat ulama mazhab Syafi’e berdasarkan analisis kepada ayat Al-Quran dan Hadis, bahawa berubat dengan air kencing itu adalah harus, termasuk kimia yang terkandung di dalam air kencing. Ini ialah apabila tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.

Disusun oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Pensyarah Fakulti Kotemporari UniSZA

Sumber:

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned

Tarikh Diisu: 2000

***

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

Ubat-Ubatan Bercampur Gelatin Atau Alkohol. Percampuran Gelatin Atau Alkohol.

Sukacita dipohonkan jasa baik daripada Jabatan tuan mengenai ubat-ubatan bercampur gelatin atau alcohol, untuk rujukan Bahagian Farmasi Hospital Panaga, Seria.

Jawapan :

الحمد لله الفتاح الوهاب الهادى الى الحق والصواب ، والصلاة والسلام على رسوله خاتم الأنبياء والرسول ، واله وصحبه أجمعين

Persoalan berubat di dalam pandangan islam adalah jelas suatu perkara yang diharuskan, bahkan ia boleh menjadi salah satu jenis ibadat apabila ia dilakukan dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk melaksanakan tuntutan syara’ agar dapat beribadat kepada Allah dengan lebih sempurna. Walaupun begitu, berubat hanyalah dianggap sebagai salah satu sebab untuk mendapat kesembuhan dan yang menyembuhkan hanyalah Allah Taala. Jadi disamping berubat, hendaklah disertai tawakal kepada Allah.

Nabi Muhammad Shallahu alaihi wassalam sendiri pernah berubat dan menyuruh berubat kerana dalam hadis Baginda ada menerangkan bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya.

Baginda bersabda:

لكل دَوَاء دواءٍ فَإِذَا اُصِيبَ دَواء الدّاءِ ، بَرَأ بِإِذنِ الله عز وَجَّل

(رواه مسلم )

Maksudnya: “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi denagn penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajjala”.

(Hadis riwayat Muslim)

Abu Daud mentakhrijkan daripada Usamah bin Syuraik :

أنّ بَعضَ الأَعْرَابِ قَالُوا : يَا رَسول الله ، أَنتَداوى ؟ فَقَال صلى الله عليه وسلم : تَدَاوَوْا فَإِنّ الله تعالى لَم يَضَعْ دَاءً الا وَضَع لهُ دَوَاءٍ غير داء واحدٍ : الهَرَمَ

Maksudnya: “Bahawa segolongan orang arab kampong bertanya: “wahai rasulullah, adakah boleh kami berubat ? “nabi Shallahualaihi wasallam menjawab : “ berubatlah kamu, kerana Allah Taala tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua.”

Pada dasarnya ubat atau penawar yang dianjurkan supaya dipakai ialah ubat-ubatan yang bersih, suci, tidak yang diharamkan dan dapat diterima oleh naluri pesakit, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:

….. فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِالحرام

(رواه البخاري )

Maksudnya: “berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda-benda yang diharamkan.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kemudian jika ubat yang sedemikian tidak diperolehi atau tidak bersesuaian, maka barulah beralih kepada ubat-ubatan lain walaupun ia tidak bersih, tidak suci atau tidak yang diharamkan.

Menurut pendapat ulama Syafie keharusan berubat dengan benda-benda najis atau yang di haramkan adalah berdasarkan bahawa berubat itu merupakan salah satu bentuk darurat, maka dalam keadaan darurat itulah diharuskan mengambil atau menggunakan sesuatu yang ditegah. Firman Allah Ta’ala :

وقَد فَصّلَ لَكُم مَا حَرّمَ عَلَيْكُم إِلّا مَا اضْطُرِرْتُم الَيهِ

( سورة الأنعام : 119)

Tafsirnya: “ Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkannya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.”

(Surah Al-An’am : 119)

Dalam konteks ini bagaimanakah kedudukan ubat yang suci bercampur dengan gelatin dan alcohol? Sebelum membuat rumusan mengenai perkara ini terlebih dahulu dihuraikan apa itu gelatin dan alcohol.

Gelatin

Gelatin merupakan satu jenis bahan yang diperolehi ( dengan mendidih dalam air) dari hidrolisis separa kelogen terbitan daripada kondrum, tulang, tendon dan kulit binatang.

Walaupun gelatin satu protein yang berasal daripada binatang, namun bahan ini mempunyai nilai biologi yang rendah.

Gelatin digunakan secara meluas dalam industry makanan dan merupakan salah satu bahan asasnya. Di antara makanan berkenaan ialah jeli. Gelatin juga digunakan untuk membuat manis-manisan, agar-agar dan aiskrim.

Demikian dinukilkan secara ringkas mengenai pengertian gelatin daripada Ensiklopedia Malaysiana (5/77) dan Encyclopedia Britannica ( G . 165)

Dengan itu dapatlah diketahui bahawa yang dinamakan gelatin ialah sesuatu bahan yang berasal daripada binatang.

Seorang Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam di dalam satu Majlis Halaqah Ilmu di Jabatan Mufti Kerajaan (20 Muharram 1420 / 6 Mei 1999) dalam hal ini menerangkan bahawa gelatin memang asalnya di perolehi daripada binatang.

Walaupun begitu di dalam Ensiklopedia Malaysiana di catatkan bahawa “Gelatin sayur-sayuran adalah sama dengan gelatin binatang dari segi fungsinya dan ia diperolehi daripada gluten gandum atau bijirin lain.” (5/77)

Dan mengikut keterangan ini, bererti ada juga jenis gelatin yang berasal daripada sayur-sayuran.

Hukum gelatin.

Persoalan asas di sini ialah jika gelatin itu berasal daripada binatang, bukan sayur-sayuran, maka hukumnya tertakluk kepada kedudukan binatang itu.

Apabila binatang itu binatang halal yang disembelih mengikut cara sembelihan Islam, maka gelatin itu adalah halal dan suci, tetapi apabila binatang itu bukan binatang halal, seperti khinzir, ataupun ia binetang halal tetapi tidak disembelih mengikut cara Islam, maka gelatin itu haram dan najis.

Untuk lebih jelas, hukum gelatin adalah mengikut kepada hukum sumber atau punca asalnya. Di dalam kaedah usul fiqh disebutkan :

التابع تابع

Ertinya : “Pengikut itu hukumnya tetap sebagai pengikut yang mengikut.”

التابع لا يفرد بالحكم

Ertinya : ‘Pengikut tidak berasingan dengan hukum tersendiri.” (Qawa’id –qawa’id Fiqh :58)

Dengan yang demikian, gelatin yang berasal daripada binatang haram, ataupun binatang halal tetapi tidak di sembelih secara sembelihan Islam adalah haram dan najis, kemudian jika ia di campurkan dengan ubat atau makanan, maka ubat dan makanan itu turut menjadi najis.

Alkohol

Alcohol merupakan bahan cecair tanpa warna yang dihasilkan menerusi dua cara pemprosesan. Pertama menerusi fermentation ( penapaian), iaitu proses khas untuk

Menghasilkan arak, dan kedua menerusi bahan kimia, iaitu suatu proses bagi menghasilkan alcohol daripada petroleum.

Hasil pemprosesan ini dikenali juga sebagai etanol atau etil alcohol. Dalam bidang perubatan, alcohol digunakan sebagai antiseptic dan sebagai pelarut. Methanol yang dikenali sebagai alcohol metal atau alcohol kayu ialah satu bahan yang sangat beracun. (Malaysiana :1/277)

Hukum Alkohol

Imam-imam mazhab yang empat ( Hanafi, Maliki,syafie dan hanbali) sepakat menagtakan bahawa alcohol yang bersumber daripada arak adalah najis dengan mengqiyaskannya kepada arak, kerana kesamaam ‘illah atau sebab, iaitu sama-sama memabukkan.

Adapun kenajisan arak sendiri ialah berdasarkan firman Allah ta’ala:

يأيها الذين ءامنوا إنما الخَمْرُ والمَيْسَر والأَنصَابُ وَالأَزْلَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الّشيطَان فَاجْتَنِبُوهُ لعلكم تُفْلِحُونَ

(سورة المائده : 9)

Tafsirnya: “wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor ( keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu Berjaya.”

(Surah Al-Ma’idah : 90)

Dan juga berdasarkan hadis Abu Tsa’labah katanya:

انا نجاور اهل الكتَابِ وَهُم يَطْبَخُوْنَ فِي قُدُورِهِم الخِنزِيرِ وَيَشرَبُونَ في انيتهم الخَمْرَ ، فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم : اِنْ وَجَدتُم غَيرَهَا فَكُلًوا فيها واشْرَبُوا وَاِنْ لَم تَجِدُوا غيرهَا فَارْحَضُوهَا بِالمَاءِ وَكلوا واشْرَبُوا .

(رواه أبو داود )

Maksudnya: “ Kami berkunjung kepada orang-orang Ahli Kitab ( semasa berlalu kawasan mereka) mereka memasak daging khinzir di dalam periuk mereka dan minum arak menerusi perkakas minuman mereka. Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda: “ Jikalau kamu boleh mendapatkan (peralatan ) yang lain, pakailah yang lain itu, tetapi jikalau tidak ada yang lain, maka basuhlah terlebih dahulu dengan air, lalu makan dan minumlah padanya.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Suruhan Nabi membasuh bekas arak mereka itu kemudian membenarkan mempergunakan bekasnya, bererti arak itu najis termasuk kesan-kesannya yang tinggal di dalam bekasnya.

Berubat dengan Najis

Allahyarham Pehin Dato Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Azis (Mufti kerajaan Brunei) berkata:

“adapun berubat dengan ‘ain benda-benda yang najis adalah harus, sama ada ‘ain benda-benda-benda najis itu telah dibancuh dengan lain-lain benda, atau ‘ain benda-benda najis itu bulat-bulat , dan semata-mata dijadikan ubat melainkan arak, maka tiadalah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dan dibancuh dengan lain-lain benda.” (Siri Fatwa 34/70)

Ibnu Hajar berkata :

يَجوزُ التّدَاوِى بحَافِرِ المَيْتَةُ وَعِظَامِهَا بِسَائِرَ النجَاسَات صِرْفِهَا وَمخلوطِهَا الا الخمر فلا يجُوزُ التّدَاوَى بِصِرفِهَا ويجوز بمخلُوطِهَا

Ertinya: “Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang-tulangnya dan segala jenis najis – sama ada zatnya atau campurannya, melainkan arak, maka tiada harus berubat dengan zat (‘ain) arak, tetapi harus dengan campuran (bancuhannya).”

(al- Fatawa Al-Kubra 1/28)

Ulama Mazhab Syafi’e berpendapat bahawa haram hukumnya berubat jika hanya semata-mata dengan zat (‘ain) arak atau alcohol. Pengharaman ini berlaku selama ia tidak dicampur dengan bahan lain, disamping itu tidak pula ada ubat lain selain ubat yang bercampur alkohol itu.

Selain itu, pemakainnya hendaklah berdasarkan ahli perubatan yang dipercayai dan penggunaanya pula hanya sekadar keperluan sahaja.

Dengan yang demikian, ubat yang bercampur alkohol atau gelatin yang ditanyakan, smalah kedudukannya berubat dengan najis kerana darurat jua.

والله اعلم بالصواب

Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam

Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned

Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan Brunei 2000

Ubat Yang Mengandungi Alkohol Soalan:

Terdapat ubat homeopati yang menyembuhkan sakit kepala, campuran ubat itu mengandungi 1/1000 alkohol, apakah hukum samada halal atau haram dimakan ubat itu.

Jawapan:

Ubat-ubatan yang ada kandungan alkohol yang sedikit adalah harus dan boleh di maafkan untuk di jadikan ubat. Ini adalah berdasarkan nas dari kitab الأشاه والنظائر m/s. 90.تخفيف ترخيص كصلاة المستجمر مع بقية النحو وشربالخمر للغصة وأكل النجاسة للتداوي..

Bermaksud: “Bagi keringanan dan kemudahan seperti sembahyang orang yang beristinjak’ dengan batu serta ada tempat yang bersih dan meminum arak kerana mengkelan dan memakan benda-benda yang najis kerana perubatan.

Negara asal : Malaysia

Negeri : Pulau Pinang

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Ugama Pulau Plnang

Penulis/Ulama : Dato’ Haji Hassan Bin Haji Ahmad ( Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang)

Tarikh Diisu : Nov. 1986

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
1 reply

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply