Minggu lepas hangat dikalangan warga netizen berbincang isu meruang. Bagi mereka yang menyokong meruang ini, memberikan dalil riwayat sahabat Nabi SAW yang bahawa pernah satu ketika Saidina Abu Bakar ditegur oleh seekor ular yang melingkari mayat. Ular berkenaan memberi sebab kenapa mayat tersebut digigitnya, antaranya tidak membersihkan kemaluan dengan sempurna. Kemudian mereka menganjurkan teknik meruang bagi membersihkan kotoran faraj. Anjuran teknik meruang ini diselitkan dengan penggunaan bahan pencuci tambahan seperti jamu agar saluran vagina semakin ketat, tidak keputihan dan menghilangkan bau. Teknik yang mereka berikan agak terperinci. Siap dengan gambar yang berkaitan, yang menunjukkan wanita wajib mengorek dan membersihkan vagina bagi membuang sisa-sisa kekotoran terutama selepas haid.

.

Golongan yang menentang pula berhujah, teknik ini tidak perlu, malah ianya boleh mendatangkan mudarat pula kepada iklim vagina. Bakteria baik akan terhapus dan berisiko peningkatan kes kanser pangkal rahim jika menggunakan alatan seperti paip getah. Malah doktor pakar sendiri pernah mencatatkan berlaku jangkitan kuman yang teruk ke salur peranakan akibat dari meruang ini.[1] Begitu juga dengan kajian-kajian perubatan yang dijalankan, boleh mendatangkan banyak mudarat dari manfaat. [2]

.

Dalam satu perbincangan lain, masyarakat dinasihatkan agar semasa membasuh air besar (berak) dengan mengorek lubang najis (anus). Nasihat mereka; sangat penting untuk memasukkan satu jari ke dalam dubur bagi tujuan membersihkan saki baki najis. Putarkan beberapa kali supaya najis keluar dari dinding dubur, sambil siram dengan air hingga terasa najis benar-benar telah hilang dan bersih. Begitu juga khas kepada wanita mereka menasihati agar semasa membasuh kencing mengorek faraj mereka bagi mengeluarkan kotoran yang tersisa.

.

Adakah Islam menganjurkan teknik-teknik sedemikian? Korek najis di dubur menggunakan jari serta memutar-mutarkannya? Begitu juga korek saluran faraj dengan jari dan menyembur air supaya kotoran terkeluar?

.

Definisi meruang yang setepatnya adalah seperti yang disebut dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka; definisi meruang ini adalah mengorek, atau membersihkan najis dalam perut mayat semasa memandikan mayat. Terdapat kaedah khusus bagi pemandi mayat yang perlu dipatuhi bagi meruang mayat ini. 

.

Istilah perubatan pula meruang disebut sebagai ‘vaginal douching’. Meruang (vaginal douching) ini hanya digunapakai dalam salah satu kaedah pencegahan kehamilan. Kaedah ini kurang berkesan tetapi terdapat catatan dalam ilmu perubatan kaedah yang berkenaan. Selain itu vaginal douching tidak digalakkan. 

.

BASUH BERAK

.

Bersuci adalah penting bagi memastikan kekotoran yang melekat pada badan dibersihkan. Kaedah yang dilakukan bagi membersihkan air kecil dan air besar (berak) seperti di atas itu boleh dilakukan. Sebagimana yang disebut oleh Syeik Tuan Muhammad Yasin Tuan Muhammad Taha. Beliau pernah menulis dalam kitab Majmak Salasa Rasail menyatakan kaedah membasuh najis berak adalah teran sedikit. Tetapi tidak dinyatakan mengorek secara berputar. Kefahaman dari kitab yang menyuruh dilakukkan putaran jari dikira sebagai pelik walaupun ianya tidak salah dari segi adat.

.

Manakala kitab Hashiah Tuhfah pula menyatakan:

وَاعْلَمْ أَنَّ الْوَاجِبَ عَلَيْهَا غَسْلُ مَا ظَهَرَ بِجُلُوسِهَا عَلَى قَدَمَيْهَا

Ketahuilah bahawa yang wajib ke atasnya (perempuan) membasuh apa yang zahir ketika dia duduk di atas dua kakinya (duduk macam orang berak).

.

BASUH VAGINA

Dalam kitab Kifayah Al Nabih Syarh Al Tanbih oleh Ibnu Rif’ah pula menyebut:

ولفظ القاضي الحسين: “أنه: هل [يجب] إدخال الماء والأصبع في الفرج؟ فيه

أوجه: أحدها: يجب؛ لأنه صار في حكم الظاهر.

الثاني: لا؛ لأنه يزيده فساداً.

الثالث: يجب ذلك في الغسل من الحيض، دون الجنابة؛ لأنها نجاسة عينية،

بخلاف الجنابة.

وقال القفال: ما يبدو منها عند القعدة، يجب إيصال الماء إليه.

.

Lafaz al Qodi Al Husain adakah wajib memasukkan air dan jari ke dalam faraj? Terdapat khilaf (perbahasan hukum) dikalangan ulama.

1. Wajib kerana ianya sama seperti anggota zahir.

2. Wajib ketika mandi dari haid.

3. Tidak wajib ketika mandi junub (selepas bersetubuh atau keluar air mani). 

Pun begitu, apakah had memasukkan jari atau air itu? Menurut al Qaffal apa yang zahir ketika perempuan itu duduk, wajib disampaikan air kepadanya.

.

Persoalannya, adakah meruang seperti yang diistilahkan oleh bahasa sekarang sama dengan menyucikan kotoran dengan menggunakan jari secara sederhana ke dalam faraj? Jika meruang itu sama dengan vaginal douching seperti yang didefinisikan oleh ahli perubatan, bermakna meruang itu sesuatu yang keterlaluan sehingga menggunakan getah paip atau alatan khas sebagai alat semburan. Isu menggunakan alatan khas itu pun perlu diteliti kerana kandungan phthalet boleh menjadi risiko kepada kanser.[3] Begitu juga penggunaan bahan-bahan seperti jamu herba yang tidak diketahui tahap keselamatannya, perlu diperhalusi oleh kaum wanita. Adakah perlu sehingga tahap itu kaedah bersuci? Keseronokan ketat dan bau yang harum tidak mendatangkan nilai jika kesan buruk jangka panjang yang akan menjengah tiba. 

.

Kaedah menyucikan najis samada air kencing atau kotoran haid/nifas/cairan lain dari faraj wanita cukup setakat zahir sesuatu najis itu wujud. Tidak perlu melepasi had sempadan batin kemaluan wanita. Sempadan zahir memang perlu.

.

Isunya apakah sempadan zahir dan batin kemaluan? Had zahir kemaluan perempuan berkahwin, janda dan dara ialah bahagian terbuka ketika duduk buang air (duduk mencangkung atas kedua kakinya seperti kedudukan berak). Proses meruang (vaginal douching) tidak wajib dilakukan kecuali jika najis dari dalam keluar terkeluar secara zat zahirnya. Adapun kotoran darah haid, selama mana belum keluar ke had zahir kemaluan, ianya tidak dinamakan haid.

.

KESIMPULAN

.

Wajib bersuci dengan ratakan air sekadar mampu. Bagi menyempurnakan rata air sebaik mungkin hadis menyatakan kita duduk atas dua kaki dan teran (basuh berak) agar kulit dalam anus terkeluar sekadar boleh. Tidak menjadi satu kemestian mengorek atau memasukkan jari serta memutarkannya.

Islam itu mudah, jangan kita menyusahkan. 

◻Intaha

Pusat Talaqqi Batu Rakit

fb.com/PTBT.Official

15.8.2017

Wallauaklam

Pautan

[1] Basuh. Tulisan Hana Hadzrami. https://www.facebook.com/drsuhazeli/posts/1483010045071647

[2] Kajian sistematik. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2567125/

[3] Douching, Talc Use, and Risk of Ovarian Cancer. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27327020

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleKuasa Bromolin dalam Empulur Nenas
Next articleAir Rebusan Tali Pusat?  
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com