#Kesan_Metformin_vs_Herba

.

Ramai pesakit saya bertanya mengenai ubatan herba yang banyak dijual di pasar-pasar malam. Jenis produk yang paling banyak dijual adalah rawatan kencing manis. Mereka cuba membandingkan ubat metformin yang diberikan dengan herba yang dijual itu. Mereka tergugat dengan kempen para penjual produk. Kononnya penjual berkenaan menuduh ubat kencing manis hospital boleh merosakkan buah pinggang serta kesan sampingan lain. Sedangkan produk mereka adalah natural/semulajadi dan tiada bahan kimia.

.

Betul ke doktor?

.

Setiap ubat sudah pasti ada kesan jangka pendek dan jangka panjang. Bukan sahaja ubat, tetapi setiap bahan yang kita ambil semuanya tidak terkecuali dari kesan sampingan. Hatta nasi yang kita ambil boleh mendatangkan mudarat kepada golongan tertentu. Air putih berlebihan juga akan beri mudarat kepada pesakit buah pinggang. Adakah kita wajib melarang mereka memakan nasi dan air?

.

Kencing Manis adalah suatu penyakit yang progressive. Samada dirawat atau tidak, kesan komplikasi dari kencing manis itu sendiri akan terjelma. Samada secara makro atau micro. Kajian menyatakan 8-10 tahun pesakit kencing manis yang tidak terkawal gulanya, akan menghidapi komplikasi-komplikasi seperti stroke, sakit jantung, buah pinggang dll.[1]

.

Ya, metformin, gliclazide, insulin dan ubatan kencing manis lain mempunyai kesan jangka panjang, tetapi mudarat yang diperolehi dari kawalan gula melalui ubatan lebih kecil berbanding keseriusan kencing manis itu sendiri.

.

Tahun 1994 dahulu, Pihak Berkuasa Kawalan Ubat (FDA) telah memberi amaran kepada pengguna metformin bahawa ubat kencing manis tersebut boleh mengakibatkan asid laktik dalam darah. Tandanya badan semakin lesu, pening, sakit urat dan beberapa tanda lain.[2] Namun kajian lanjut berikutnya mendapati asid laktik wujud dalam darah hanya kepada pesakit yang mempunyai kegagalan buah pinggang. Itupun kes jarang-jarang dilaporkan.
Setelah penambahbaikan dalam proses pembuatan metformin, kajian terbaharu telah dibuat. Mendapati ianya selamat digunakan. Profil lengkap keselamatan metformin boleh disertakan dengan kajian-kajian sokongan. Malah dalam satu kajian mereka, walaupun pesakit mempunyai kegagalan buah pinggang tahap 4 pun masih mendapat manfaat dari penggunaan metformin. Lebih dari 1.67 juta pesakit layak untuk diselamatkan dari kemerosotan buah pinggang.[3] Apabila meninggalkan metformin, kegagalan buah pinggang semakin teruk akibat tekanan gula dalam darah yang tidak dikawal. Gula kencing manis penyebab utama, bukannya ubat-ubatan.

.

Bagaiamana dengan ubatan herba? Tiada jaminan bahawa herba tidak merosakkan buah pinggang. Ini kerana syarikat pengeluar herba tidak pernah perihatin untuk melakukan kajian ringkas ke atas profil keselamatan produk mereka. Sudah banyak saya temui pesakit yang mengambil ubatan herba, berakhir dikerusi hemodialisis. Adakah herba itu yang menjadi punca? Mungkin ya dan mungkin tidak. Ya, akibat herba kerana bahan campuran herba boleh merosakkan sistem penurasan buah pinggang. Jika tidak, herba tidak terbukti keberkesanan menurunkan paras gula. Mengakibatkan gula dalam darah senantiasa tinggi. Kerosakan buah pinggang akan berlaku akibat kencing manis tak terkawal.

.

Takkan lah herba itu tiada nilai langsung dari sudut perubatan?

.

Kawan saya Sdr Fahmi Hassan pernah menulis berkaitan dengan asal usul sesuatu ubat. Penemuan ubat-ubatan kini sebenarnya dari ramuan herba juga. Hasil pengalaman manusia terdahulu yang menggunakan fikiran menjalankan ekplorasi dan ujikaji, akhirnya mencipta ubat. Pembeza antara mereka dengan penjual ubat herba, ialah mereka mengkaji, itulah suruhan dalam agama kita juga.

.

Sebagai contohnya ubat bernama Digoxin. Ia berasal dari tumbuhan herba bernama Foxglove. Digunakan dalam rawatan sakit jantung. Begitu juga tumbuhan opium, hasil darinya sejenis dadah merbahaya bernama

Morphine. Tetapi beribu-ribu kajian santifik dijalankan ke atas morphine itu. Dos yang tersukat, morphine berguna sebagai penahan sakit. Jika diambil tanpa sukatan, kita akan masuk kategori salah guna. Setaraf dengan penagih dadah. Kita lihat pula tumbuhan herba Vinca Rosea yang ekstaknya menghasilkan Vincristine. Di mana vincristine ini salah satu ubat kimoterapi (anti kanser). Contoh lain adalah Pokok Willow yang menjadi asas dalam ubat bernama aspirin (anti radang dan cair darah); Pokok Pacific Yew yang menghasilkan Paclitaxel, sejenis ubat anti kanser/kemoterapi; Pokok Betik, juga terbukti dalam kajian mengandungi papain, ubat anti radang. Asal usul metformin juga dari herba yang bernama Galega officinalis. Banyak lagi ubat-ubatan sekarang, berasal dari herba.

.

Semua ubat-ubatan di atas dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan. Sebenarnya hampir 25% dari ubat-ubatan ‘moden’ adalah berasal dari sumber semulajadi.

.

Kalau orang kata lepas ni asalkan tumbuhan itu selamat, cuba tengok ubat anti kanser yang berasal dari tumbuhan. Yakin tak untuk rebus sendiri pokok Vinca Rosea dan minum air rebusan?

.

Yang membezakan sesuatu bahan itu selamat atau tidak adalah DOS yang tersukat. Justeru, sebelum sesuatu bahan diiktiraf untuk digunakan sebagai rawatan penyakit, perlu ada kajian tentang DOS yang berkesan untuk merawat penyakit, dan DOS yang selamat untuk manusia.

.

Kajian makmal samada ke atas haiwan atau tisu kultur mungkin boleh tunjukkan sesuatu bahan itu boleh merawat kencing manis, sakit jantung, sakit buah pinggang, kanser atau sebagainya, namun belum tentu dos yang perlu digunakan sesuai untuk manusia.

.

Yang menentukan sesuatu bahan itu selamat bukannya sumbernya samada sintetik atau semulajadi, tapi DOS.

.

Bagaimana dos ini disukat mengikut keperluan seseorang pesakit? Kajian santifik secara klinikal lah diperlukan. Fasa-fasa kajian klinikal wajib dilalui, sebelum sesuatu ubat itu selamat digunakan atau tidak kepada manusia. Testimoni bukan fasa klinikal!

.

Sekian.

.

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
26.7.2017

Kuala Berang

.

Rujukan:

[1] Diabetes Complications. http://www.diabetes.org/living-with-diabetes/complications/
[2] Lactic Acidosis. http://www.medicinenet.com/script/main/mobileart.asp?articlekey=45336#Warning
[3] Metformin in People With Kidney Disease.

P/s: Kencing orang lebih bahaya dari kencing manis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.