Air Kangen

#Mitos_Air_Kangen
Oleh Nazzatush Shimar Jamaluddin
Post ini panjang, melibatkan serba sedikit penjelasan berkenaan kimia. Tolong baca dan fahamkan. Nampak sukar difahami tapi sangat penting dalam aplikasi kehidupan seharian.
Apa itu ASID, BES dan ALKALI?
Di sekolah, kita diajar tentang konsep ASID & BES yang mudah menggunakan konsep Arrhenius. Sebatian itu dikatakan asid apabila ia membebaskan ion hidrogen atau hydrogen ion atau H+. Bes pula adalah apabila sebatian itu membebaskan ion hidroksida atau hydroxide ion atau OH-. Ini akan berlaku apabila sebatian2 tersebut berada dalam keadaan akueus atau berair. Memandangkan OH- dibebaskan atau dihasilkan apabila sebatian bes tersebut berada dalam larutan berair, ini bermakna sebatian bes itu larut air. MAKA, SEBATIAN BES TERSEBUT DIKENALI SEBAGAI SEBATIAN ALKALI.
Di peringkat sekolah, ion logam sentiasa bercas positif dan ion bukan logam sentiasa bercas negatif. Ion logam (daripada kumpulan I sehingga XIII) sentiasa bersifat bes dan tidak akan bersifat asid. Ini adalah konsep mudah di sekolah supaya pelajar faham konsep asas asid bes.
**PERINGATAN: Tanda ‘+’ dan ‘-‘ sepatutnya dalam saiz superscript.
Apabila kita berada di peringkat Form 6 atau Matrikulasi atau Asasi Sains, kita didedahkan dengan konsep asid bes yang lebih advance, iaitu konsep Bronsted-Lowry. Di sini, asid ditakrifkan sebagai sebatian yang kehilangan proton atau menderma proton. Proton, di sini bermaksud H+. Bes pula adalah sebatian yang menerima proton atau menerima H+. Memandangkan tidak semua sebatian bes boleh larut air, maka definisi bes adalah berbeza mengikut sebatian.
Apabila berada di peringkat universiti (khas untuk orang yang mempelajari kimia secara khusus juga untuk bidang sains yang lain), konsep asid bes akan dipelajari dengan lebih advance berbanding Arrhenius dan Bronsted-Lowry. Di sini, konsep Lewis diperkenalkan. Dalam konsep Lewis, asid adalah sebatian yang menerima elektron atau mempunyai ruang kosong yang masih boleh membenarkan elektron ditambah. Bes pula adalah sebatian yang menderma elektron atau mempunyai elektron yang berlebihan yang membenarkan ia mendermakannya pada sebatian lain yang kekurangan elektron. Ion logam bukan lagi sentiasa bersifat bes tapi juga bersifat asid.
Isu Kangen Water adalah isu yang mengaitkan kepentingan alkali dalam tubuh. Ye, tidak dinafikan yang badan kita perlukan alkali dan asid. Kedua-duanya sama penting. Strategi marketing pihak Kangen sangat misleading dan memutar fakta untuk disajikan kepada golongan berikut:
1. terdesak untuk sembuh daripada penyakit kronik

2. tidak pernah belajar sains (melibatkan orang kampung + orang kota metropolitan)

3. golongan pencen dan bakal mendapat durian runtuh dalam bentuk kepingan wang

4. golongan yg dilihat mementingkan agama, dalam hal ini agama Islam (dengan cara menyamakan air kangen dengan air zam-zam)
Persamaan air kangen dan air zam-zam: kedua-duanya bersifat ALKALI. Yeay!!! Marketing Kangen telah berjaya dalam hal ini.
Pihak penjual mengatakan bahawa badan berasid adalah punca kanser. Sebenarnya, sel kanser yang menyebabkan pengumpulan asid laktik di sekeliling sel tersebut. Perlu diingatkan di sini bahawa AIR ALKALI yang diwar-warkan dan dihasilkan oleh mesin Kangen TIDAK MENCEGAH ATAU MERAWAT KANSER DAN PENYAKIT-PENYAKIT LAIN.
Air alkali yang dihasilkan melalui mesin Kangen sebenarnya hanyalah mengandungi ion hidroksida (OH-) yang menyebabkannya bersifat alkali. Apabila diminum, air ini masuk ke dalam perut. Perut kita merembeskan jus gastrik yang mengandungi asid hidroklorik atau hydrochloric acid atau HCl. Apabila OH- memasuki perut, ion ini akan mengalami PROSES PENEUTRALAN dengan H+ daripada HCl dalam perut. Dalam hal ini, konsep asid bes Arrhenius diaplikasikan sebab melibatkan OH- dan H+. Proses peneutralan berlaku apabila bes/alkali bertindak balas dengan asid seperti persamaan di bawah:
                         Asid + Alkali —> Garam + Air
Garam ini bukan semestinya garam yang kita jumpa di dapur. Ada beribu jenis garam akibat tindak balas kimia yang berlaku daripada peneutralan asid dan bes/alkali.
Tindak balas peneutralan yang berlaku antara OH- dan H+ akan menghasilkan AIR. Ya, kawan-kawan sekalian, air yang akan terhasil. Untuk pengetahuan semua, air adalah sebatian neutral, bermakna ia bukanlah bersifat asid atau bes/alkali. Ini bermakna, meminum air Kangen yang alkali (sebab kehadiran OH-) itu samalah seperti meminum air yang bukan mengandungi OH- kerana akhirnya yang diserap oleh badan adalah molekul atau sebatian air.
Soalan: Kalau begitu, apa manfaat yang air alkali boleh beri?

Jawapan: Takda apa-apa manfaat. Minum ke tak minum ke, sama saja……
Untuk pengetahuan semua, molekul air tidak tercerai kepada H+ dan OH- begitu saja. Kalau begitu, bagaimana mesin Kangen menghasilkan air alkali yang mengandungi OH-? Ini terjadi melalui proses ELEKTROLISIS, iaitu perceraian menggunakan tenaga elektrik. Perhatikan bahawa mesin itu berfungsi hanya apabila disambungkan ke plug.
Persoalannya: Apa yang menyebabkan para agen mesin Kangen mencanang keistimewaan air Kangen seolah-olah menyerupai sifat alkali air zam-zam? Memang air zam-zam bersifat alkali. SANGAT BENAR tapi kealkalian air zam-zam tidak sama dengan kealkalian air Kangen. Adalah sangat penting untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sebalik kedua-dua air ini.
ADAKAH AIR KANGEN SAMA DENGAN AIR ZAM-ZAM?
SAMA DAN TIDAK SAMA. Bagaimana tu?
1. Sama sebab kedua-duanya adalah beralkali.

2. Tidak sama sebab faktor penyumbang pada kealkalian mereka tidak sama menyebabkan manfaatnya juga berbeza.
Kealkalian air Kangen adalah disebabkan oleh penghasilan ion OH- daripada proses elektrolisis. Kealkalian air zam-zam adalah disebabkan kewujudan mineral penting yang terdiri daripada ion logam daripada unsur-unsur kumpulan II pada Jadual Berkala, iaitu;

Ion kalsium atau calcium ion atau Ca2+

Ion magnesium atau magnesium ion atau Mg2+
** ‘2+’ mestilah dalam bentuk superscript.
Agen Kangen mengatakan dalam beberapa video demonstrasi mereka, bahawa kalau takda air zam-zam, boleh gantikan dengan air Kangen. Kononnya sebab air Kangen beralkali seperti air zam-zam. KEKARUTAN MELAMPAU SEDANG MENELUSURI MASYARAKAT KITA. INI BERLAKU BUKAN SAHAJA DI MALAYSIA MALAH DI SELURUH DUNIA.
Mineral dalam air zam-zam adalah berguna pada badan. Ion logam yang terdapat dalam air zam-zam menyebabkan air zam-zam bersifat alkali. Manfaat ion Ca2+ dan Mg2+ adalah penting untuk kesihatan tulang dan otot manakala ion OH- dalam air Kangen adalah TIDAK BERGUNA pada badan, walaupun air Kangen beralkali.
Kealkalian atau keasidan adalah sama penting tapi manfaatnya dalam memberikan kesan terapeutik (kesihatan) bergantung pada kandungan unsur-unsur tertentu dalam air atau makanan tersebut. Apa yang berlaku selepas dimakan atau diminum adalah jauh lebih penting kerana setiap zat atau unsur yang terdapat dalam makanan dan minuman tidak mengekalkan struktur asal apabila masuk ke dalam badan. Zai-zat ini akan digunakan untuk menjalankan fungsi badan tetapi kalau zat itu tidak berguna, sistem badan akan mengeluarkannya.
Dalam hal air Kangen, kealkaliannya TIDAK BERGUNA atau TIDAK MEMBANTU dalam memberikan kesan pada kesihatan. Agen Kangen yang suka membuat kenyataan palsu secara besar-besaran hanyalah untuk menjual mesin. Memang penjualan mesin Kangen mendapat kelulusan KKM tapi itu untuk dijual sebagai penapis air, bukan sebagai alat untuk merawat. Selain itu, agen Kangen memandai-mandai mengatakan tentang pH terbaik untuk kesihatan. pH 11.5 untuk pesakit kanser, pH 5.5 untuk cuci muka dan sebagainya. Apa semua ini?
Kawan-kawan sekalian, pH 11.5 adalah hampir menyamai pH detergent di rumah. Kalau anda biasa cuci baju guna tangan menggunakan detergent seperti Breeze, Fab, Dynamo etc., anda tentu sangat arif yang tangan anda akan rasa panas. Detergent di rumah kita juga bersifat alkali. Kealkalian detergent sangat penting dalam memastikan cucian kita bersih tapi kealkalian air Kangen boleh dicurah ke longkang untuk memastikan longkang rumah anda bersih.
Saya tak terkejut kalau ada golongan yang mindanya tertutup tapi sangat pandai bercakap tentang ilmu Allah itu luas, ubat tidak menyembuhkan tapi Allah yang menyembuhkan dan sebagainya. Kalau begitu,
1. kalau anda rasa panas, jangan buka kipas atau penghawa dingin sebab kipas dan penghawa dingin tidak menyejukkan, Allah yang memberikan kesejukan.

2. lampu tak perlu pasang sebab lampu tidak berkuasa memberikan cahaya tetapi Allah yang beri cahaya.

3. kalau anda takda duit, tak perlu kerja sebab kerja bukan jaminan dapat duit, Allah yang berkuasa bagi duit.

4. kalau berlaku kecurian, jgn laporkan pada pihak berkuasa sebab nanti masuk TV, akan buka aib orang. Biarkan jenayah dia sebab itu antara dia dengan Allah.

5. SILA ISI SENDIRI heheheheh……
Faham tak maksud points di atas? Sila banyakkan bertanya dan berfikir. Kalau anda ditipu sebab pengetahuan anda terbatas berbanding orang lain, anda tak salah sebab bukan semua orang tau tentang semua perkara. Kalau anda dah cuba selidik tapi tidak jumpa jawapan atau dah tanya orang tapi orang tu tipu anda, anda tidak bersalah.
-Sekian-
Tulisan Nazzatush Shimar Jamaluddin
Bahagian 1.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327363757422&id=1122954457
Bahagian 2.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327979252809&id=1122954457
Bahagian 3.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209328273860174&id=1122954457

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.