Syarat Lulus Pemeriksaan Haji 

#Syarat_Lulus_Haji

Cabaran besar kepada para doktor semasa sesi pemeriksaan bakal haji adalah ketika ingin tandatangan meluluskan suntikan vaksin. Syarat ketat telah ditetapkan oleh Tabung Haji dan Kementerian Wakaf & Haji Arab Saudi adalah wajib disuntik vaksin meningococcal. Sebelum diluluskan suntikan bakal haji wajib diperiksa dan sahkan beliau sihat fizikal dan mental.

.

Sebilangan kecil mereka yang dikehendaki membuat rawatan susulan beberapa kali kerana tidak lulus dari piawaian garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Majoriti dikalangan mereka itu pula mempunyai penyakit² kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. 

“Saya dari muda sampai leni kumpul samah-seriyal untuk pergi haji. Jika doktor tak sign juga kali ni, kesianlah saya.” Keluh seorang bakal haji yang paras gulanya naik mencanak setiap kali lawatan. Bacaan HbA1c pula berbelas-belas. Mereka hanya diluluskan untuk ke tanah suci setelah lulus pemeriksaan doktor. 

.

“Jika ikut garis panduan ni memang Pak Cik tak layak. Saya mohon maaf. Kerja haji ni kena guna tenaga. Pergerakan yang jauh dan memerlukan ketahanan fizikal. Sebab tu penting tubuh badan sihat dan senantiasa cergas. Jika lagu ni bacaan… ish gelap gambo.” Hujah balasku supaya beliau faham prosedur yang tetapkan. 

Sememangnya syarat² yang ditetapkan oleh Tabung Haji sedemikian. Bagi penyakit² kronik perlu benar-benar terkawal, baru boleh diluluskan. Jika bakal haji masih tidak dapat mengawal kencing manis atau darah tinggi mereka, bermakna mereka tidak diluluskan ke sana. Penyakit Kencing Manis dan Darah Tinggi biasanya dua penyakit kronik yang menjadi masalah dalam kelulusan haji. 

Pengalaman saya sebagai petugas haji pun mendapati dua penyakit ini sering menimbulkan kesulitan kepada jemaah haji untuk melaksanakan kerja-kerja haji dengan sempurna. Pemerhatian saya mendapati terdapat beberapa punca boleh berlaku sedemikian. 

1) Tidak patuh arahan pemakanan ubat-ubatan yang diberikan. Walaupun sudah berpuluh tahun ada penyakit, tetapi mereka tidak mengambil ubat secara tetap. Mereka ambil bila rasa badan ‘berat’, tinggalkan ubat bila badan rasa segar. 

2) Tidak berpantang makan minum. Pantang lihat terus terkam. Sedangkan mereka perlu berdisiplin bab makan minum ni. Jika betul² patuh, mereka wajib mengira jumlah kalori seharian. 

3) Ubat-ubatan yang diberikan tidak optimum. Perawat yang tidak berpengalaman dalam penentuan ubat-ubatan serasi dengan keadaan semasa pesakit juga boleh menjadi faktor. Akhirnya ubat yang diberikan tidak diambil sepenuhnya atau dos tidak optima. 

4) Selalu tidak patuh dengan arahan temujanji. Ramai dikalangan mereka berminggu-minggu kehabisan stok ubat, tetapi masih liat untuk jumpa doktor bagi pemeriksaan ulangan dan membekalkan ubat baru. 

5) Mengamalkan ubatan alternatif. Kawalan penyakit makin parah apabila mereka selang seli dengan ubatan alternatif. Sehingga kini tiada lagi ubatan alternatif secara solo boleh mengawal gula dan tekanan darah. Lebih menyeksakan lagi apabila ubatan alternatif itu dicampur dengan bahan terlarang seperti steroid dan seumpamanya. Bacaan gula dan tekanan darah jadi bengong terus. 

6) Masih lagi mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok. Tabiat yang sukar dibasmi, hatta sudah berada di tanah suci sekali pun mereka tidak insaf. Sepatutnya tarikh panggilan Ilahi untuk mengunjungi rumahNya itu dijadikan tarikh keramat untuk terus berhenti menghisap bahan haram. 

Saya amat mengharapkan para bakal haji akan terus mengambil pesanan ini supaya dapat menjalani ibadah dengan sempurna. 

.

Siirualabarakatillah 

Dr Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 

13.7.2017

Ketengah Jaya 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.