​#Kita_Aidil_Fitri_Mereka_Aidil_Pasrah
Dr Maxwell Maltz, seorang pakar bedah hebat sekitar tahun 1950, mendapati pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan berperangai pelik selepas sesi bedah. Kebanyakan mereka mengambil masa paling minima 21 hari untuk menyesuaikan diri dalam bentuk imej yang baharu. Contohnya pesakit beliau yang membuat pembedahan hidung, tempoh 21 hari diperlukan untuk melakukan adaptasi kehidupan dengan bentuk hidung yang berlainan dari sebelum ini. 

Dalam kajian lain, ahli psikologi mengesyorkan tempoh 30 hari kepada pesakit untuk melakukan perubahan sikap dan perangai positif seperti yang dikehendaki oleh masyarakat awam. Kemudian, latihan kemantapan perlu diteruskan lagi selepas sebulan tempoh ‘induksi’ tersebut. 

Sebulan Ramadhan yang kita lalui, sebenarnya tempoh induksi untuk kita melakukan perubahan diri ke arah perangai, sikap dan budaya yang lebih baik. Fitrah dan naluri seorang manusia inginkan sesuatu yang positif di dalam diri mereka. Perangai yang disukai oleh ahli keluarga dan masyakarat perlu ditanam sebaik mungkin. Sesuai dengan kaedah psikologi perubatan, sepanjang sebulan kita berpuasa, boleh menghapuskan sikap, perangai dan budaya buruk. 30 hari itu cukup mantap untuk kita tekuni bagi mengelakkan kita masih berbudaya lama yang tidak sihat itu. Kita akan mampu meninggalkan kelaku tidak sihat seperti merokok, lewatkan subuh, tidak tepat waktu, makan berlebihan, leka dari ibadah dan pelbagai lagi. Kemudian sesi pengukuhan perangai dan budaya yang baik dilangsungkan lagi dengan berpuasa 6 di bulan syawal. Enam hari dibulan syawal ini, penting bagi memastikan kita terus mempunyai azam yang tinggi dan istiqomah dalam meneruskan akhlak yang baik. 


Jamuan raya secara besar-besaran sebenarnya tidak elok, kerana kita kembali menjamu nafsu kita yang sudah tertindas sebulan di Ramadhan lepas. Jamuan sana-sini di setiap premis rasmi atau persatuan boleh menyebabkan kita lupa sesi pengukuhan sikap, perangai dan budaya baik yang telah kita latih itu. Justeru berpada-padalah dalam membuat jamuan raya.

.

Saya kira negara kita sahaja bermewah dengan jamuan rumah terbuka ini. Pengalaman saya dibeberapa negara yang saya lawati seperti Filifina, Kemboja, Bangladesh, Mesir, Jordan, Turkey dan Sudan, tiada pun majlis sambutan raya yang melebihi hawa. Mereka melakukan sekadar menyambut kegembiraan menang berpuasa secara biasa. Mereka sambut hanya sehari dua di bulan syawal. Kemudian kembali kepada rutin normal. Amat berbeda dengan kita, sebulan dipulun untuk disajikan dengan jamuan Aidilfitri. 

Saya tidak melarang sambut Aidilfitri, tetapi bersederhana dan berpada-pada lah. Elok kita kenangkan juga sahabat-sahabat semuslim kita dinegara yang dhaif. Mereka hanya makan sekali sehari. Itupun jika ada stok makanan. Jika tidak, mereka akan berlaparlah sepanjang hari. Mengharapkan belas ehsan dari saudara seagama dari negara luar, amat jauh sekali dek kerana kekangan sosiopolitik yang terjadi. Akhirnya mereka hanya mampu menyambut setiap hari Aidilpasrah, manakala kita Aidilfitri… 

Maaf Zahir Batin dari saya. 

Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 
9.7.2017

Ketengah Jaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous article2 Faktor Pelaris Jualan 
Next articleJangan Tertipu Dengan Kod Warna Ubat Gigi: Ini Fakta Sebenarnya
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com