*#2_Faktor_Pelaris_Jualan*

Akhir-akhir ini makin banyak sebaran maya berkaitan khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran dari sudut perubatan. Terdapat dakwaan dari mereka bahawa buah-buah tertentu mempunyai daya kesembuhan seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, buah pinggang dan lain-lain lagi.

.

Saya seperti biasa, tidak akan terus menjawab dakwaan tersebut kecuali mencari kesahihan pemberitaan, terutama sekali kajian-kajian yang berkaitan. Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, saya tegaskan di sini bahawa saya bukan anti-buah, bukan anti-sayur, bukan anti-ulam, bukan anti-makanan sunnah. Malah pemakanan yang sihat dan halal saya selalu anjurkan kepada pesakit saya sepanjang masa. Selain ubat diberikan, saya akan menasihati para pesakit agar senantiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Di mana 4 komponen utama gaya hidup sihat ini ialah; Penjagaan makanan yang sihat serta berkhasiat, penjagaan berat badan, amalkan hidup cergas dengan bersenam dan elakkan stres dalam kehidupan.

.

Mana-mana makanan, buah-buahan, sayur-sayuran samada pernah disebut oleh Nabi atau tidak, boleh dimakan. tiada larangan. Silakan selagi tidak mendatangkan mudarat pada tubuh seperti alergik. Syaratnya mengikut sukatan yang dibenarkan. Bersederhanalah, jangan membazir. Kesemuanya itu adalah membantu dalam menjadikan kehidupan kita semakin sihat. Kita tidak memerlukan bukti sains pun dalam mengambil makanan ini, kerana ianya adalah makanan asas kita semua.

.

Manakala ubat pula, sebagai pengawal supaya penyakit kronik kita hadapi tidak melepasi paras bahaya. Tidak dinafikan terdapat segelintir kecil dari para pesakit boleh mengawal penyakit kronik mereka dengan mengamalkan empat komponen gaya hidup sihat semata-mata. Akan tetapi mereka perlu berdisiplin dan patuh dengan secara ketat amalan pemakanan, senaman dan sebagainya. Sebagai contohnya crash diet dengan pengiraan pengambilan kalori seharian sebanyak  <1000-1200 sehari.[1] Tetapi kebanyakan dari kita tidak dapat mengamalkannya. saya pun tidak mengesyurkan kecuali pesakit yang terlalu bermotivasi untuk mengamalkannya.

.

Ada rakan netizen yang menempelak saya kerana menerangkan bukti kajian isu-isu yang berkaitan dengan buah-buahan dari segi perubatan. Setakat bacaan saya, sehingga kini tiada lagi buah-buahan atau pati buah tersebut menandingi ubat-ubat moden yang sedia ada. Apabila saya berhujah sedemikian, segelintir dari mereka cuba memperli saya kerana telalu mengagungkan perubatan moden. Asas yang kita wajib kita pegang adalah bukti kajian, bukan kaedah perubatan, samada moden atau alternatif. Jika perubatan alternatif boleh membawa bukti kajian mengikut metodologinya, kami dengan senang boleh menerimanya. Senang sahaja asas itu untuk difahami.

.

Contohnya dalam isu khasiat petai, terdapat netizen yang mendakawa kajian ke atas petai sudah ada, dan terbukti. Lalu disertakan link rujukan. Apabila saya menbaca artikel rujukan tersebut, pemahaman mereka membaca artikel berbeza dengan metodologi dan hasil akhir kajian. Phytosterol yang terdapat dalam petai, kacang, dan sebagainya itu dikaji berkaitan dengan penyerapan kolesterol di usus. Di mana wujudnya phytosterol berkenaan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah. Metodologi dan objektif kajian itu bukan mengkaji penurunan kolesterol dalam darah. Dan penulis pun mengaku kajian lanjut perlu dijalankan bagi mencari potensi kesan Phytosterol terhadap metabolisma kolestrol dalam badan seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung.

.

Tetapi malangya mereka memahami dengan kefahaman lain. Kajian itu tidak memberi konklusi yang konkrit. Saya mengesyurkan lebih baik ambil sesuatu yang telah terbukti dari apa yang masih belum diyakini. Kenapa mereka memberi konklusi yang berbeda sedangkan tulisan dalam kajian itu sebut perkara lain. Penelitian saya mendapati,

1) Kebanyakan mereka adalah penjual produk-produk kesihatan yang berasaskan buah-buahan ini. Di zaman orang tidak suka membuat bacaan lanjut, masyarakat awam akan mudah terpengaruh. Terutama sekali diselitkan pautan kajian saintifik. Masyarakat hanya membaca tajuk dan terus menelan gorengan dari para penjual. Sedangkan hakikat sebenar mereka dikelentong. Keuntungan akan semakin meningkat dengan semakin ramai yang mempercayai.

2) Perkataan klise yang mereka selalu dipancing adalah pemakanan sunnah. Sebaris dua hadis diselitkan. Membeli dan memakan produk mereka akan memperolehi dua kenikmatan, pertama pahala menghidupkan sunnah. Kedua penyakit akan sembuh sepenuhnya. Dipertegaskan sekali lagi bahawa kita wajib yakin dengan sunnah kerana ianya bersumberkan dari Rasulullah dan Nabi tidak menipu ummat dengan hadis-hadis sahih.

.

Haruslah bagi kita untuk berikhtiar mencari kaedah penyembuhan dan pencegahan. Bukan bermakna jika kita mengambil ubat hospital, kita dikira sebagai menentang sunnah atau kejadian yang Allah turunkan kepada seseorang. Bukan bermakna juga kita melawan fitrah kejadian manusia yang cukup sempurna. Arahan mencari ubat itu juga adalah sunnah, bukan tertakluk kepada bahan apa yang digunakan. Ubat-ubatan itu juga pun makhluk Tuhan yang diciptakan bagi kegunaan manusia. Para saintis telah menggunakan kepintaran yang diberikan oleh Allah dalam menyusun sebab akibat sesuatu itu berlaku. Jika bertepatan dengan ubat itu, maka sembuhlah ia.

.

Sedangkan Rasulullah SAW juga mencari penawar bagi penyakit yang ditimpanya sebagai salah satu ikhtiar, apatah lagi kita yang berada di akhir zaman ini? Hospital pun ikhtiar. Cuma ikhtiar berdasarkan kaedah yang paling hampir dengan keberkesanan, selamat dan berkualiti. Takdir sembuh, hidup dan mati atas Nya jua. Jika kita meletakkan ikhtiar itu kepada sesuatu sandaran yang tiada jaminan keyakinan dari sudut sunatullah, bukan bermakna ikhtiar namanya. Contohnya produk jenis A yang baru dipromosi dalam laman maya, dengan pelbagai testimoni yang tiada asas kaedah kajian, dakwaan tersebut masih kabur. Berapa jumlah atau peratus pesakit yang sudah sembuh hasil dari mengambil produk tersebut? Berapa tempoh yang perlu diambil? adakah kesan sampingan timbul? dan banyak lagi persoalan yang perlu dinyatakan.

Sebagai pengamal perubatan, apabila pesakit bertanya isu pengambilan produk sedemikian, saya akan cuba melontarkan kembali soalan-soalan seperti di atas. Ini kerana setiap patah perkataan doktor, jika membenarkan sesuatu produk yang masih belum diuji, akan menjadi pegangan kepada pesakit dan terus menjaja nama kita di mana-mana.

Ini berbeza dengan ubat-ubatan atau alat-alatan yang sudah teruji dalam premis kesihatan moden. Doktor akan memberikan sesuatu ubat itu mengikut zhan yang kuat setelah mengikut ghalib pengalaman beliau. Ianya bukan disandarkan seratus peratus kepada ubat, tetapi dihujung konsultasi penyerahan kuasa penyembuh itu kepada Allah jua. Doktor sekadar wasilah kesembuhan, jika berbetulan dengan qodar Allah, maka sembuh lah.

.

Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak melarang pesakit saya untuk memakan buah-buahan, ulama-ulaman, makanan ti0emur tengah dan sebagainya. Teruskan.

.

Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazelli

9.7.2017

Ketengah Jaya

Rujukan: 

[1] Very Low Calorie Diet. http://www.nhs.uk/Livewell/loseweight/Pages/very-low-calorie-diets.aspx

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleVirus HIV dalam Tin? 
Next articleKita Aidil Fitri, Mereka Aidil Pasrah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com