​KENAPA Negeri Lain Tidak Mengambil Inisiatif Ambil Keuntungan Dari Kredit Karbon Anjuran Bangsa2 Bersatu Daripada Hutan Simpan Perlindungan Seperti Kelantan?

Tahniah Kelantan Kerana Mendahului.
Tulisan bawah yg menarik…
*Persoalan Kerajaan Negeri Kutip Wang Haram : Datuk Husam Guna Peluru Penabur?*
_Catatan : Nazman Che Iberahim_
1. Belum lagi reda isu *pertabalan Menteri Besar Negeri Kelantan oleh Kit Siang*, yang banyak memberi impak negatif kepada parti Amanah di Kelantan berbanding nilai positif, maka satu isu perlu diperbesarkan segera yang bertujuan untuk mengalih isu pertabalan tersebut. Lalu dibuat dan disebar satu tulisan yang penuh dengan ‘link’ di sana sini dan ‘copy paste’ dari laman itu dan ini. Ia menyukarkan pembacaan seolah olah tulisan Datuk dibuat dengan tergesa gesa.
2. Dan sejurus itu juga, juak juak Tuan mulai menularkan tulisan berkenaan. Umpama peluru penabur yang ditembak secara rawak ke hutan, belum pun tahu ada tangkapan yang mengena atau tidak, tapi juak juak tersebut terus sahaja berlari menonong ke hutan untuk menunjukkan taat setia mereka. 

3. *Mereka sebut sejuta ekar tanah Kelantan ‘digadai’ dan dipertaruhkan*. Mereka kait secara langsung Ecobit, Bitcoin, token, dana dan apa jua yang tidak berkaitan dengan Kerajaan Negeri untuk menampakkan betapa seriusnya isu ini.
4. Namun, apa cerita sebenarnya di sebalik *Inisiatif Melindungi Alam Sekitar daripada Pemusnahan Hutan dan Degradasi (REDD)* itu yang ditandatangani kerajaan Kelantan dengan sebuah syarikat swasta ini?
5. Tanah seluas 396,000 hektar atau hampir sejuta ekar ini dicagar atau digadai? Ia tercagar macam mana tuan? *Hutan kita ada dua jenis iaitu Hutan Simpan Pengeluaran dan Hutan Simpan Perlindungan.*
6. HS Perlindungan langsung tidak terlibat dengan apa apa aktiviti pengusahasilan seperti pembalakan dan perladangan. Ia hanya berfungsi untuk mengawal alam sekitar, yang bermaksud dari sudut ‘monetary value’, atau nilai ringgit, ia tidak dapat dinilai secara langsung kerana tidak dibalak dan diusaha-hasil untuk menjana ekonomi.
7. Jadi karbon kredit diberi kepada HS Perlindungan atas nilai karbon. *Ia menilai stok karbon dalam kayu* dan boleh dinilai dalam stok karbon antarabangsa. Sejuta ekar yang kumpulan tuan sebut sebagai digadai itu tidak akan terusik pun, tidak akan dibalak. Apa masalahnya? Apa maksud gadai itu?
8. Dalam tempoh 30 tahun, Kerajaan Negeri perlu dan wajib terikat dengan sejuta ekar kepada Climate Protector ini yang mana hutan tidak boleh dibalak atau dibuka untuk perlombongan mahupun perladangan. *Bahkan ia lebih mudah kerana keluasan HS berkenaan sememangnya adalah HS Perlindungan.*
9. Perjanjian itu juga tidak mengikat aktiviti pelancongan (Taman Negara), kegiatan orang asli, kepentingan awam seperti jalan raya, hospital ataupun sekolah. Jadi apa risiko yang ditakutkan?
10. Isu pengumuman oleh Bank Negara Malaysia, ia adalah ‘Financial Consumer Alert’. Ia menggunakan kemudahan perjanjian antara Climate Protector Sdn Bhd dengan kerajaan negeri untuk mengutip dana awam. 
11. Bukan maksud syarikat ini membuat penipuan secara terus. Ia hanya amaran kepada awam oleh BNM agar tiada pihak yang akan menyertai perniagaan melalui laman web berkenaan.
12. Normalnya, jika syarikat ini memang ada melakukan kegiatan haram, syarikat ini sudah pasti akan dikenakan tindakan undang undang, malahan boleh dibatalkan. Dan kerajaan negeri boleh menamatkan semua urusan dengan syarikat berkenaan.
13. BNM memberi ‘alert’ agar rakyat tidak terlibat. Adapun Kelantan tidak menerima apa apa laporan daripada Pihak Berkuasa seperti Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun keterangan mahkamah atas isu dan kedudukan syarikat ini.
14. Apa lagi isunya projek ini kepada “Sejuta Ekar” yang digegerkan itu? Ia tidak merubah apa pun daripada segi kemandirian hutan tersebut. Ada program karbon kredit atau tidak ada, hutan tersebut tetap Hutan Simpan Perlindungan! *Mudahnya, kalau projek ini berjaya, HS ini mampu menjana duit untuk negeri, walaupun tiada pembalakan ataupun perladangan yang dijalankan*. Ia memberi gambaran bahawa, walaupun Hutan ini disimpan dan dilindungi, ia tetap memberi keuntungan kepada rakyat apabila didagangkan ke peringkat antarabangsa.
15. Dan kesimpulannya juga,  mengikut perjanjian sekarang, syarikat berkenaan diberi tempoh percubaan selama dua (2) tahun. Sebarang penipuan atau kesalahan yang dilakukan oleh syarikat yang bertentangan dengan undang undang negara sekiranya wujud, maka perjanjian akan secara automatik terbatal. Kerajaan Negeri sudah pasti akan memanggil syarikat ini bagi mendapatkan penjelasan sebenar atas isu ‘amaran’ oleh BNM.
16. Apatah lagi, turut tular petang ini akan pengumuman oleh Climate Protector bahawa mereka tidak terlibat dengan apa apa kutipan wang haram yang dikaitkan dengan projek karbon kredit.
17. Namun kenyataan yang dibuat oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), tentang program karbon kredit Kelantan yang akan menjejaskan program REDD Peringkat Nasional ada juga kebenarannya. Apabila Kelantan menjalankan aktiviti ini, secara tidak langsung penilaian stok karbon nasional akan berkurangan di mana kementerian terpaksa menolak stok karbon di Negeri Kelantan dan akan menyebabkan jumlah stok karbon nasional yang akan dimasukkan dalam program UNFFCC akan berkurangan dan kementerian mungkin terpaksa menjalankan semula kajian “National Baseline Carbon Stock”.
18. Adapun “teguran” daripada Kementerian pada awal tahun ini, berkaitan program stok karbon Kelantan yang dikatakan tidak selari dengan REDD, ia terlalu teknikal dan rumit. Sehingga kini, tiada lagi dasar dan perundangan tentang karbon di negara ini, yang menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengambil apa apa tindakan kepada Kelantan. Sama ada pemilikan hasil karbon itu menjadi hak negeri atau pusat, juga tiada hitam putih di dalam perundangan negara.
19. Harapan kami kepada Datuk sempena sidang media atas isu ini dalam masa beberapa jam lagi, dedahkan juga mengenai individu yang terlibat dengan wang *RM90 juta yang Datuk gegerkan sebelum daripada ini ya!*

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleHukum Membela Anjing 
Next articleBudu dan Pegaga Ubat Kanser?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com