Bahagian 2

Yang berbahagia Ustaz Muhammad Hagia pernah menulis dalam tesis belaiau yang bertajuk ”Isu-isu perubatan terpilih dalam perlaksanaan ibadat puasa”. Banyak kupasan ilmiah telah disentuh oleh beliau. Saya mengambil sebahagian dari perbahasan yang beliau kemukakan di sini.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan hukum menggunakan inhaler mulut bagi pesakit yang sedang berpuasa. Sebahagian ulama berpendapat penggunaan inhaler mulut ini membatalkan puasa, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat penggunaan alat ini tidak membatalkan puasa.

 

Pendapat tidak batal puasa

Antara ulama yang berpendapat penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa ialah As-Shaikh Abd Aziz bin Baz,[2] As-Shaikh Muhammad Bin Salih al-UthaÊmin,[3] As-Shaikh Dr. As-Sodik  al-Darir [4] dan  Dr. Muhammad Haitham al-Khayat.[5]

 

Mereka berhujah antara lain;

  1. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang akan terhembur keluar setelah inhaler dipicit ke dalam mulut, sebahagian besarnya akan menyerap dalam paru-paru melalui kerongkong. Hanya terlalu sedikit dari kandungan inhaler yang berkemungkinan akan masuk kedalam rongga kerongkong seterusnya ke dalam perut.[6]
    Penggunaan alat ini tidak membatalkan puasa jika diqiyaskan kepada berkumur-kumur, kerana satu inhaler yang berkuantiti 10 mililiter cecair dan ubat ubatan, boleh digunakan untuk 200 kali semburan. Setiap semburan hanya mengeluarkan kurang daripada 0.1 ml cecair, tambahan pula, cecair yang terhembur keluar ini terdiri daripada ubat-ubatan yang sebahagian besarnya akan menyerap pada saluran pernafasan, manakala sebahagian yang lain pula melekat pada dinding rongga mulut. Hanya kandungan cecair yang terlampau sedikit yang berkemungkinan akan masuk ke dalam perut.[2]
    Kadar kandungan cecair yang berkemungkinan masuk ke dalam perut amat sedikit jika dibandingkan dengan kadar kuantiti kandungan air yang tertinggal di dalam saluran kerongkong bagi orang yang berkumur-kumur atau orang yang beristinsyak.
    Hal ini dapat diketahui dengan jelas jika seseorang berkumur-kumur menggunakan air yang bercampur dengan kandungan bahan tertentu; Tidak berapa lama selepas itu, bahan tersebut boleh ditemui di dalam perut yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut. Akan tetapi kewujudan bahan ini dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan dan dikira tidak membatalkan puasa. Kuantiti sisa air dari berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dari segi keyakinannya adalah lebih banyak dan melebihi kuantiti kandungan cecair yang akan memasuki kerongkong dan seterusnya ke perut bagi pengguna inhaler, jika diandaikan bahan tersebut sampai ke perut.[5]
  2. Kandungan cecair yang berkemungkinan masuk ke dalam perut adalah sesuatu yang tidak pasti. Boleh jadi kandungan tersebut masuk ke dalam perut dan boleh jadi juga tidak masuk ke dalam perut. Sedangkan mengikut hukum asal puasa pengguna inhaler ini adalah sah, manakala perkara yang menyebabkan batal puasa ini masih diragukan. Sesuatu ketentuan hukum dibina berdasarkan keyakinan bukan diatas keraguan berdasarkan kaedah:

    “اليقين لا يزول بالشك “

    Maksudnya: Sesuatu yang diyakini tidak dapat dihilangkan dengan sesuatu yang diragui.[7]

  3. Penggunaan inhaler mulut tidak menyamai makan dan minum, bahkan penggunaan inhaler ini hanya menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan penggunaan suntikan yang tidak mengandungi zat makanan (nutritive).[2]

 

Pendapat yang mengatakan batal puasa

Di antara ulama yang berpendapat menggunakan inhaler bagi orang yang sedang berpuasa membatalkan puasa ialah  Dr Fadhal Hasan ‘Abas, Shaikh Muhammad MukhtÉr al-SulÉmiy, Dr Wahbah al-ZuhailÊy, Dr Muhammad al-alfÊ, dan As- Shaikh Muhammad TaqÊuddin al-‘uthmÉni.[5]

 

Mereka berpendapat, Penggunaan inhaler membatalkan puasa dan tidak boleh digunakan bagi orang yang sedang berpuasa kecuali terpaksa, kerana bahan yang yang terdapat dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, penggunaan inhaler ini dianggap membatalkan puasa.

 

Alasan yang dikemukakan oleh golongan pertama yang menyatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana wujudnya hanya sedikit kandungan daripada inhaler yang berkemungkinan masuk ke dalam perut melalui mulut, sebagai kias kepada berkumur-kumur, masih boleh dipertikaikan kerana ada kemungkinan kandungan inhaler yang digunakan akan masuk ke dalam perut.

 

Ulasan penulis

Namun jika kita meneliti kepada bentuk pengoperasian inhaler dan nebulizer, setiap wap yang terhembur daripada inhaler/nebulizer hanya akan menyerap ke dinding dalam mulut dan pada dinding saluran pernafasan, manakala yang selebihnya akan masuk ke dalam paru-paru bukannya masuk ke dalam perut.[3] Hal ini bertepatan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Pickering H dan rakan rakan (Clinical Therapy Journal 2000) yang menyatakan kebanyakan wap yang terhembur akan menyerap ke dinding orofaring (kerongkong) dan dinding paru-paru.[8]

 

Alasan yang menyatakan puasa seseorang yang menggunakan inhaler akan terbatal kerana wujudnya kandungan yang akan menyerap sampai ke perut boleh dipertikaikan. Ini kerana jika seorang yang sedang berpuasa mengunakan ubat gigi semasa berpuasa tidak dihukumkan membatalkan puasa.

 

Sedangkan mengikut pandangan ahli perubatan, ubat gigi yang digunakan mengandungi lapan jenis bahan kimia yang berfungsi untuk mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu akan meresap pada lidah dan kerongkong ketika seseorang itu menggosok gigi.[4]

 

Rasulullah S.A.W, sendiri bersiwak dalam jumlah yang kerap sehingga tidak dapat dihitung, sedangkan baginda berpuasa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin RabÊah :

 

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَاكُ وَهُوَ صَائِمٌ مَا لَا أُحْصِي أَوْ أَعُدُّ   [9](صحيح البخاري)

 

Maksudnya:

 

Aku melihat Rasulullah S.A.W bersiwak dalam jumlah yang tidak terhitung banyaknya sedangkan baginda berpuasa.

 

Dengan ini dapat disimpulkan, jika bahan kimia yang terdapat dalam ubat gigi yang digunakan ketika bersiwak tidak membatalkan puasa, sudah tentu pengggunan inhaler yang menjadi keperluan untuk digunakan kepada pesakit lebih utama tidak membatalkan puasa. Tambahan pula, kemungkinan bahan yang terkandung dalam inhaler masuk ke dalam perut adalah diragukan. Kerana ketetapan sesuatu hukum dibina di atas keyakinan dan bukan di atas andaian.

 

Mengharmonikan kedua-dua pandangan

Asas yang saya ambil dalam mengharmonikan kedua-dua pandangan adalah seperti berikut:

  1. Jika pesakit berkenaan sakit dan tak layak puasa. Maka tidak wajib berpuasa
  2. Jika dia berkeras juga untuk puasa, nasihatkan dia agar tidak berpuasa kerana sudah tidak menjadi kewajiban. Rujuk dalil surah al Baqorah 184.
  3. Tapi pesakit yang warak, nak puasa juga, ok… minta doktor terangkan kepada dia bahawa prosedur/ubat yang nak beri tu wajib diambil, jika tidak ia boleh bawa mudarat pada badan. Jadi dia akan membatalkan puasanya (jika ambil mazhab Syafie). Boleh bawa perbincangan dengan doktor untuk dibuat pada malam hari. Tetapi tidak semua prosedur mampu dibuat oleh doktor pada malam hari, malah jarang dilakukan kecuali special case atau emergency.
  4. Jika dia seorang yang boleh terima pandangan mazhab lain, beri pilihan kepada beliau bahawa prosedur yang dilakukan itu sebenarnya sudah dibincang di peringkat ulama antarabangsa pelbagai mazhab. Prosedur/ubat berkenaan tidak mendatangkan batal puasa. Boleh rujuk panduan oleh Dr Abu Anas Madani [http://www.abuanasmadani.com/puasa-perkara-yang-membatalkannya/] atau Prof Zulkifli Al Bakri [http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/edisi-ramadan/1321-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-15-hukum-menggunakan-inhaler-ketika-berpuasa]

 

Rujukan:

[1]       D. Edward, “Applications of capsule dosing techniques for use in dry powder inhalers,” Therapeutic Delivery, 2010. .

[2]       Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Abd Rahman bin Baz, Majmu Fatawa wal maqalat al-Mutanawwiah, Jld 15. Riyadh: Dar al-Qasim lil an nashri.

[3]       Shaikh Muhammad Soleh al-UthÉimin, No TiMajmu FatÉwÉ, Jld 19. RiyaÌh: Dar al TharÉya lil nashri wa at-Tauzi, 2003.

[4]       Dr. As-Øodik al-Öarir, Majalah Majma al-Fiqh al- Islamiy. Persidangan ke sepuluh bagi muktamar fiqh al-Islamiy, Jld 2. Jeddah: Majma al- fiqh al -Islamiy, 1997.

[5]       Dr. Muhammad HaÊtham al-KhayyÉt, Majma fiqh Islamy, vol. Jld 2. 1997.

[6]       Dr. Ahmad bin Muhammad al -khalil, Muftirat as-siyam al-muasoroh. Mauqi saidu al-Fawaid.

[7]       Z. bin I. B. M. Ibn Najim Al-Misriy, Al- Ashbah Wa An-naÐair ala madhhabi abi hanifah an nu’mÉn. Beirut.

[8]       et al. Pickering H Fau – Pitcairn GR, Pitcairn Gr Fau – Hirst PH, Hirst Ph Fau – Bacon PR, “Regional lung deposition of a technetium 99m-labeled formulation of mometasone furoate administered by hydrofluoroalkane 227 metered-dose inhaler,” Clin Ther, vol. 22, no. 12, pp. 1483–1493, 2000.

[9]       Øé. A.-B. Muhammad bin Ismail Al-BukhÉriyy, Siwaku al-Ratbu li As-SÉim, 3rd ed. .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articlePerbincangan berkaitan penggunaan Inhaler dan Nebulizer semasa Ibadah Puasa
Next articleRice Cooker Penyebab Diabetes dan Kanser
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com