Bahagian 1

Perbahasan sah batal penggunaan inhaler dan nebulizer ke atas pesakit lelah (Asma atau Paru-paru tersekat kronik) sering menjadi hangat apabila masuknya bulan puasa.

Ada pihak yang mengatakan batal kerana ubat tersebut memasuki rongga, dengan asas bahawa memasukkan sesuatu dalam rongga terbatal puasa. Manakala ulama kontemporari pula membawa perbahasan dari gabungan ilmu perubatan dan fekah, mengatakan tidak batal puasa kerana ubat tersebut memasuki paru-paru bukannya perut.

Penyakit asma adalah satu keadaan kesukaran untuk bernafas akibat dari salur pernafasan yang sempit. Ianya berlaku akibat terdapat rangsangan dari luar atau dalam saluran pernafasan itu sendiri. Manakala penyakit paru-paru tersekat kronik (Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)) pula sejenis penyakit halangan salur pernafasan akibat kerosakan dinding salurannya. Mengakibatkan pesakit sukar bernafas dengan sempurna. Kedua-dua penyakit ini adalah kronik sehingga ditanggung kesengsaraannya sepanjang hayat.

Rawatan kedua-dua penyakit ini dengan menggunakan inhaler atau nebulizer. Penggunaan alat sedut/Inhaler (mulut) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menyampaikan ubat ke paru-paru melalui saluran pernafasan. Begitu juga mekanisme sama penggunaan nebulizer.

 

Apakah perbezaan antara inhaler dan nebulizer?

 

Inhaler adalah sejenis alat khas yang terdapat di dalamnya ubat bagi melegakan atau membuka saluran pernafasan pesakit Asma atau COPD. Banyak jenis inhaler terdapat dalam pasaran, tetapi dua jenis inhaler utama yang biasanya digunakan.

  1. Inhaler dos tersukat atau dikenali sebagai Metered Dos Inhaler (MDI); Bagi kategori ini ubat-ubat yang disimpan dalam botol atau tiub akan terhembur keluar apabila dipicit pada butang pemicit pada alat tersebut. Bagi inhaler kategori ini, ia menghemburkan dos yang tersukat setiap kali digunakan.
  2. Turbuhaler; Ia berasaskan debu (powder base), di mana tiada campuran air bersama ubat.

Manakala Penebula/ Nebulizer bermaksud sejenis alat yang digunakan untuk menghemburkan ubat yang asalnya dalam bentuk cecair ditukarkan dalam bentuk hemburan wap untuk disedut masuk ke dalam kerongkong seterusnya ke dalam paru-paru. Alat ini terdiri daripada Mask (pemekup) yang didakapkan pada mulut pesakit yang bersambung dengan tiup udara dan bersambung dengan mesin (compressor) yang menghasilkan semburan udara. Semburan udara melalui tiub yang ke pemekup yang memiliki tabung kecil yang berinjap yang diisi dengan ubat cecair akan menghasilkan semburan ubat dalam bentuk wap akan memasuki rongga kerongkong (orofaring) penggunanya dan terus ke paru-paru. Penggunaan nebulizer ini bergantung kepada sukatan yang diarahkan oleh doktor semasa memberikan nebulizer.

Kedua-dua jenis ini menghemburkan dos yang tersukat setiap kali digunakan. Jumlah ubat yang masuk ke dalam paru-paru bergantung kepada kekuatan pesakit menyedutnya melalui kaedah tertentu.

 

Bagaimana mekanisme alatan ini bertindak?

 

Wap air atau debu yang disedut memerlukan teknik yang tersendiri bagi memastikan ubat masuk ke dalam paru-paru secara maksima. Pergerakan rongga mulut dan orofaring begitu unik membuat koordinasi kemasukan hemburan ubat tersebut. Di pangkal rongga orofaring, terdapat dua saluran pembahagi fungsi yang berbeza iaitu saluran makanan dan saluran pernafasan. Di mana saluran makanan (esofagus), lokasinya adalah dibelakang saluran pernafasan. Fungsi kedua-duanya ini berbeza sebagaimana namanya. Mekanisma ia bertindak juga tidak sama. Apabila kita menelan makanan, di saat melalui pangkal orofaring tersebut, saluran esofagus akan terbuka. Uniknya pula saluran pernafasan akan tertutup secara fisiologi. Begitulah sebaliknya.

 

Apabila inhaler dihemburkan, pesakit dikehendaki menarik nafas sedalam mungkin dan menahan pernafasan sekitar sepuluh saat. Dengan harapan semua wap atau debu ubat masuk secara optima ke dalam paru-paru. Teknik menyedut ubat inhaler ini penting bagi kemasukan maksima ke dalam paru-paru. Jika teknik tidak betul, ubat inhaler akan hanya berlegar disekitar rongga mulut dan orofaring, dan akhirnya ditelan ke dalam mulut.

 

Apabila berlakunya Asma atau COPD, salur pernafasan bernama bronkiol akan mengecut, disebabkan pengecutan otot yang menyaluti salur bronkiol sekaligus menyebabkan ruangan yang menjadi saluran peredaran udara menjadi sempit dan menghalang peredaran udara secara normal. Ini menyebabkan ganguan kepada proses pernafasan dan menyebabkan tanda-tanda kepada pesakit seperti kesukaran bernafas, mencetuskan gejala alergi seperti hidung tersumbat, reaksi kulit, mata gatal, dan dalam banyak kes keradangan saluran udara.

 

Bagi pesakit yang mengalami gejala atau simpton seperti kesukaran  bernafas disebabkan pengecutan salur bronkiol ini, membendung pengecutan otot bronkiol dilakukan  dengan menghemburkan wap mengandungi kimia seperti Bronkodilator  atau Steroid (ubat ini terdapat dalam alat inhaler atau nebulizer) yang boleh merangsang pembukaan otot pada salur bronkiol.

 

Apabila hemburan wap daripada inhaler masuk ke dalam rongga bronkiol, wap tersebut akan menyerap terus ke dinding otot bronkiol. Hampir kesemua wap yang di hemburkan tersebut akan menyerap ke dalam otot bronkiol untuk menghasil kenduran pada dinding otot bronkiol.

 

Bagi satu inhaler yang mengandungi 10 mililiter cecair yang terdiri daripada cecair dan ubat-ubatan  (Bronkodilator atau steroid), dapat di picit sebanyak 200 kali. Ini bermakna setiap kali picikan pada inhaler menghemburkan sebanyak 0.05 mililiter. Satu kuantiti cecair yang cukup sedikit.

 

Hal yang sama juga inhaler yang berasaskan debu ubat. Setiap kali hemburan dari inhaler jenis debu ini hanya mengandungi tidak lebih dari 40 mg debu.[1]

 

Setiap kali hemburan wap yang masuk ke dalam mulut, terlampau sedikit kandungan wap tersebut akan memasuki ke dalam kerongkong setelah inhaler dipicit. Sebahagian besar kandungan ubat yang terhembur keluar akan menyerap ke dalam dinding dalam mulut dan pada dinding otot bronkiol. Hanya sedikit sahaja kandungan ubatan tersebut yang akan sampai ke perut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePancut Air Dalam Hidung
Next articlePerbahasan Ulama mengenai hukum penggunaan inhaler
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com