Selalu pesakit saya akan menyatakan mereka bertawakkal atas apa sahaja kaedah berubat yang mereka lakukan. Ada yang datang jumpa saya bawa ubat gentel bulat dibeli di pasar malam. Tidak kurang juga yang bawa sejenis piring ajaib katanya aliran air magnetik itu ubat mustajab bagi darah tinggi dan batu karang yang dihadapi. Diselitkan dalam pertemuan itu kita berusaha, berikhtiar dan bertawakkal.
Sedangkan tawakkal itu satu perkataan yang memang mudah disebut, tetapi apakah tawakkal itu hanya melepaskan begitu sahaja agar penyakit sembuh tanpa ikhtiar yang meyakinkan? Adakah ikhtiar sedemikian (perubatan yang tiada asas sahih) boleh diambil kira, lantas disandarkan kepada tawakkal bagi kaedah berubat?
Tawakkal itu tidak berdiri sendirian tanpa ikhtiar. Sebagai orang awam, kita tidak dikurniakan mukjizat, karamah atau irhasy. Sesuatu yang diluar dari lingkungan keistimewaan tersebut bagi orang awam adalah menyalahi adat atau hukum akal.
Kisah Pertama:
Suatu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab menjumpai sekumpulan pemuda yang sedang melepak di pinggir jalan.
“Siapa kamu dan apa yang kamu lakukan di sini?” tanya Umar kehairanan.
“Kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah”, Jawab kumpulan pemuda itu.
“Kamu berbohong. Kamu bukan orang yang bertawakal. Orang yang bertawakal ialah orang yang menanam benih kurma dan gandum,” Jelas khalifah.
Kisah Kedua:
Pada waktu yang lain Khalifah Umar bin al-Khatab menghampiri beberapa orang yang selalu dilihat duduk di serambi masjid.
Umar bertanya, ” Bagaimana kamu mencukupi keperluan hidup kamu? “
Mereka menjawab, “Kami ini orang yang bertawakal.”
Umar menolak jawapan mereka seraya berkata, “Bukan, kamu ini tidak lain ialah orang yang berpeluk tubuh dan tidak mahu mencari rezeki. Kemudian kamu berdoa kepada Allah, ‘ Ya Allah, berikanlah aku rezeki.’. Sebab kamu mengetahui bahawa langit itu tidak pernah  menurunkan hujan emas ataupun perak.”
Sebagaimana kisah di atas, Umar menyuruh agar tidak hanya sekadar berdoa dan berserah kepada Allah S.W.T, namun harus disertai usaha, berikhtiar dan bekerja keras.
Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap badwi yang memahami konsep tawakal dengan hanya berserah sahaja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
(عَنْ أَنَسِ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَعْقِلُهَا وَأَتَوَكَّلُ أَوْ أُطْلِقُهَا وَأَتَوَكَّلُ قَالَ اعْقِلْهَا وَتَوَكَّلْ  (رواه الترمذي
Suatu ketika seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tungganganya, seraya berkata, ” Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal.” Maka Nabi menjawab,
” Ikatlah untamu dan bertawakallah kau.”
Ikat unta itu mestilah dengan tali sengkang unta yang kukuh, bukannya tali pelepah pisang! Tidak kuat dan senang putus. Sedangkan sebelum bertawakkal perlulah dijalankan ikhtiar sekukuhnya. Kaedah fekah menyebut, الْيَقِنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ. “Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan (Syak)”. Dengan maksud bahawa sesuatu yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.
Ikhtiar bagi mencari jalan mencegah dan merawat sesuatu penyakit adalah dituntut oleh agama. Hatta semasa hayat Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf kaedah pencegahan dan perawatan sesuai dengan kebolehcapaian kaedah perubatan pada masa tersebut.
Ianya dipertegaskan lagi dalam sabda Rasulullah SAW, antaranya:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).[2]
أَنَّ عُمَرَ خَرَجَ إِلَى الشَّأْمِ، فَلَمَّا كَانَ بِسَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الوَبَاءَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّأْمِ – فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ
Bahawa Umar pernah berangkat menuju ke Syam. Ketika dia sampai di daerah Sargha, diberitahu kepadanya bahawa negeri Syam sedang merebak wabak penyakit menular, lalu Abdurrahman bin ‘Auf memberitahukan kepadanya bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Jika kalian mendengar wabak menjangkiti suatu tempat, maka janganlah kalian pergi ke sana, namun jika wabak itu menjangkiti suatu tempat dan kalian telah berada disana, maka janganlah kalian keluar daripada sana. [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]
Justeru haruslah bagi kita untuk berikhtiar mencari kaedah penyembuhan dan pencegahan. Bukan bermakna jika kita mengambil ubat, kita dikira sebagai menentang kejadian yang Allah turunkan kepada seseorang. Bukan bermakna juga kita melawan fitrah kejadian manusia yang cukup sempurna.
Sedangkan Rasulullah SAW juga mencari penawar bagi penyakit yang ditimpanya sebagai salah satu ikhtiar, apatah lagi kita yang berada di akhir zaman ini? Hospital pun ikhtiar. Cuma ikhtiar berdasarkan kaedah yang paling hampir dengan keberkesanan, selamat dan berkualiti. Takdir sembuh, hidup dan mati atas Nya jua. Jika kita meletakkan ikhtiar itu kepada sesuatu sandaran yang tiada jaminan keyakinan dari sudut sunatullah, bukan bermakna ikhtiar namanya. Contohnya produk jenis A yang baru dipromosi dalam laman maya, dengan pelbagai testimoni yang tiada asas kaedah kajian, dakwaan tersebut masih kabur. Berapa jumlah atau peratus pesakit yang sudah sembuh hasil dari mengambil produk tersebut? Berapa tempoh yang perlu diambil? adakah kesan sampingan timbul? dan banyak lagi persoalan yang perlu dinyatakan.
Sebagai pengamal perubatan, apabila pesakit bertanya isu pengambilan produk sedemikian, saya akan cuba melontarkan kembali soalan-soalan seperti di atas. Ini kerana setiap patah perkataan doktor, jika membenarkan sesuatu produk yang masih belum diuji, akan menjadi pegangan kepada pesakit dan terus menjaja nama kita di mana-mana.
Ini berbeza dengan ubat-ubatan atau alat-alatan yang sudah teruji dalam premis kesihatan moden. Doktor akan memberikan sesuatu ubat itu mengikut zhan yang kuat setelah mengikut ghalib pengalaman beliau. Ianya bukan disandarkan seratus peratus kepada ubat, tetapi dihujung konsultasi penyerahan kuasa penyembuh itu kepada Allah jua. Doktor sekadar wasilah kesembuhan, jika berbetulan dengan qodar Allah, maka sembuh lah.
Inilah pegangan saya dalam merealisasikan erti tawakkal dalam berubat.
Suhazeli Abdullah
_Insan Faqir_
Fb.com/drsuhazeli
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleProduk Stent Saluran Jantung 
Next articleBahayakah Ultrasound Bayi
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com