Pagi tadi seorang pesakit separuh umur datang jumpa saya di klinik. Beliau adalah pesakit kencing manis tegar tak terkawal. Ubat pil sudah optima, saya cadang pada beliau agar ambil suntikan insulin pula. Huh macam nak perang kat klinik kerana tuduh insulin ini agenda Yahudi dan ada kandungan babi. Saya terangkan dengan tenang akan kebaikan insulin dan kandungannya yang bebas dari unsur kinzir. Tapi seperti biasa…minda tersekat dengan doktrinasi entah dari mana beliau dapat.

Saya buat pemeriksaan menyeluruh atas beliau. Ternampak ketuat yang berjengket-jengket atas tengkuk. Awalnya cuba beliau sembunyikan kerana tak nak saya rawat. Setelah bertanya lebih, beliau mengaku ketuat itu sudah 6 bulan melekat, semakin membesar.
“Bomoh tradisional Segamat, Kelang, Tanah Merah sudah saya pergi doktor…..macam-macam petua secara alami sudah mereka beri. Bermula air jampi hinggalah daun yang original tanpa bahan kimia…setakat ini tak berdegih (sembuh/hilang) langsung.” Akuan jujur dari beliau.
“Lepas ni saya nak ke perubatan Islam kat Serada pula doktor……katanya sudah ramai yang sia (sembuh)”. Tambah beliau dengan penuh yakin.
“Tuan haji, ketuat ni bagi kami senang aje. Doktor akan beri bius sedikit di kawasan tengkuk tu dan potong (pembedahan kecil). Sekejap aje tak sampai setengah jam pun. Kemudian kita boleh hantar ketuat tu untuk ujian makmal, mana tahu jika ianya salah satu kanser kulit. Minta dijauhkan.” Nasihatku sebagaimana biasa dengan nada memujuk agar terima candangan rawatan moden.
“Huh tak nak doktor, saya nak cara alami juga….Penyakit Raja Satung (ketuat tersebut) ini boleh sia dengan alami je doktor. Sudah ramai yang sia”. Ujarnya dengan yakin.
“okay…….”. Aku menjadi setuju dalam tidak bersetuju. Malas nak ulangi perbahasan sama seperti isu insulin sebelum ini.
Allahu yasfiika….doaku dalam hati. Tak apa, next time aku pujuk lagi
Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli
Ketengah Jaya

2.4.2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePersiapan Pesakit Menghadapi Ramadhan
Next articleProduk Stent Saluran Jantung 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com